Berikut Kisah Perang Badar Lengkap || Pertempuran Besar Umat Islam Dengan Kafir Quraisy

Posted on

 

Nekad Abu Jahal untuk meneruskan peperangan tidak dapat dibendung lagi. Api kemarahan dan syaitan telah sebati dalam dirinya. Namun rombongan dari Bani Zuhrah menarik diri dan tidak mahu meneruskan peperangan setelah mendapat isyarat dari Abu Sufyan bahawa rombongan dagangnya telah selamat hampir sampai ke Mekah. Dengan ini jumlah rombongan Bani Zuhrah seramai 300 orang balik ke Mekah meninggalkan Abu Jahal.
Bani Hashim juga berangkat pulang ke Mekah dan tidak berhasrat meneruskan peperangan dengan keturunannya kecuali beberapa orang yang menyebelahi Abu Jahal. Kini tentera musyrikin sudah berkurang menjadi 1000 orang yang akan meneruskan perjalanan untuk berperang dengan rombongan Baginda.
Abu Jahal terus menerus menyemarakkan api pemusuhan dan mengungkit keturunan dikalangan Quraisy yang perlu dibela dan diletakkan ditempat yang mulia. Sebenarnya itulah hasutan iblis kepada mereka. Akhirnya tentera Abu Jahal kekal dan bersedia untuk berperang dan mereka terus berjalan mencari di mana tempat perkhemahan rombongan Baginda.
Pada masa yang sama Baginda dan Abu Bakar keluar mencari maklumat dan mereka mendapat berita tentang kafir Quraisy sedang bergerak mencari rombongan kaum muslimin untuk berperang. Meneliti maklumat yang diperolehi maka Baginda membuat keputusan untuk terus mara dan menghadapi tentera musyrikin Quraisy. Keputusan yang sukar ini terpaksa diambil bagi memastikan beberapa perkara:
1. Peperangan yang akan dimulakan oleh kafir Quraisy tidak akan berhenti jika Baginda berundur.
2. Maruah Islam akan tercemar dan kafir Quraisy akan merasakan mereka kuat serta akan terus mara ke pintu kota Madinah jika rombongan kaum muslimin berundur.
4. Sejauh mana keyakinan rombongan kaum muslimin mampu dan sanggup untuk berubah dan mematuhi arahan untuk menjadi tentera mempertahankan Islam.
5. Musuh perlu dihadapi walaupun bilangannya lebih ramai dan lengkap bersenjata kerana tentera muslimin mempunyai senjata yang lebih besar iaitu pertolongan Allah.
Setelah keputusan dicapai dalam perbincangan Baginda dan tentera muslimin untuk terus menghadapi musuh dalam peperangan. Ada jiwa yang bergoncang apabila mendengar tentang peperangan kerana ianya melibatkan soal hidup dan mati. Apatah lagi pada awalnya mereka sedikit pun tiada terlintas untuk berperang hanyalah untuk menghalang rombongan dagang Abu Sufyan dan merampas barang dagangannya. Tentulah ianya lebih mengembirakan berbanding mempertaruhkan nyawa di medan perang. Allah menegur sikap orang beriman dalam firmannya,
وَإِذْ يَعِدُكُمُ اللَّهُ إِحْدَى الطَّائِفَتَيْنِ أَنَّهَا لَكُمْ وَتَوَدُّونَ أَنَّ غَيْرَ ذَاتِ الشَّوْكَةِ تَكُونُ لَكُمْ وَيُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُحِقَّ الْحَقَّ بِكَلِمَاتِهِ وَيَقْطَعَ دَابِرَ الْكَافِرِينَ
Maksudnya : Dan (ingatlah) ketika Allah menjanjikan kepada kamu salah satu dari dua angkatan, menjadi untuk kamu (menghadapinya), sedang kamu suka kiranya (angkatan perniagaan) bukan angkatan (perang) yang mempunyai kekuatan itu yang dijadikan untuk kamu (menghadapinya). Padahal Allah menghendaki untuk menetapkan yang benar (agama Islam) dengan kalimah-kalimahNya dan untuk membinasakan kaum yang kafir seluruhnya. (Al Anfal 8:7)
Seterusnya Baginda memberi peluang kepada para sahabat untuk memberi cadangan. Mereka hanya berdiam diri dan tidak memberi pandangan kerana beranggapan wahyu akan datang membantu mereka menyusun strategi perang. Tetapi dijelaskan oleh Baginda bahawa peperangan adalah strategi dan perancangan yang tidak memerlukan penurunan wahyu untuk mengajar mereka hal yang berkaitan dengan urusan dunia. Dengan itu para sahabat telah memberi beberapa pandangan dan cadangan bagaimana untuk menyusun strategi yang tepat dan berkesan bagi memastikan kemenangan.
Antara para sahabat yang memberi pandangan untuk bersama Baginda berperang adalah Abu Bakar dan Umar al Khattab. Mereka berdua telah memberi ikrar akan bersama dalam peperangan ini. Kemudian berkatalah seorang sahabat bernama Miqdad Bin Amru,
“Wahai Rasulullah teruskanlah sebagaimana yang telah Allah perlihatkan kepada tuan hamba. Sesungguhnya kami akan tetap bersama-sama tuan. Demi Allah, kami tidak akan berkata kepada tuan sebagaimana yang pernah diungkapkan oleh Bani Israel berkata kepada Musa: “Pergilah kamu bersama Tuhan kamu dan berperanglah kamu berdua dan kami akan tunggu di sini. Tetapi kami akan berkata: “Ayuh maralah kamu bersama Tuhan kamu dan berperanglah, sesungguhnya kami bersama kamu untuk berperang, demi Dia Tuhan yang telah mengutuskan kamu dengan kebenaran, seandainya kamu membawa kami ke “Birak al-Ghimad” nescaya kami bertempur bersama tuan tanpa menghiraukan apa-apa pun, sehinggalah kita sampai ke sana”.
Mendengar kata-kata Miqdad, Rasulullah s.a.w membalas kepadanya dengan baik dan berdoa untuk beliau. Baginda telah mendengar pandangan sahabat dari kalangan Muhajirin yang merupakan jumlah teramai dalam kumpulan perang Badar ini. Lalu Baginda mahu mendengar pandangan kaum Ansar pula. Mereka adalah kumpulan paling ramai mewakili umat Islam. Berkatalah Baginda, “wahai kalian berilah pandangan kamu.”
Kata-kata Baginda disahut oleh Saad Bin Muaz, “demi Allah seolah-olah tuan hamba memaksudkan kami (iaitu Ansar).”
Jawab Baginda, “ya.”
Maka berkatalah Saad, “sebenarnya kami telah pun beriman kepada mu ya Rasulullah, kami membenarkan mu, kami menjadi saksi apa yang dibawa oleh mu adalah kebenaran. Kami telah berjanji dengan kepercayaan kami untuk mendengar dan mentaati. Ayuh teruskanlah ya Rasulullah untuk mencapai apa yang kamu kehendaki. Demi Tuhan yang telah mengutus mu dengan kebenaran, seandainya kamu membawa kami mengharungi lautan nescaya kami harungi. Tidak ada seorang pun dari kami akan berkecuali. Kami akan senang hati bertemu dengan musuh pada esok hari. Kami adalah jenis yang sabar dan bertahan dalam peperangan. Bahkan kami penuh yakin untuk bertarung dengan musuh. Semuga Allah menyenangkan mata melihat. Ayuh bawalah kami ke hadapan penuh dengan keberkatan dari Allah.”
Di dalam riwayat yang lain menyatakan, Saad bin Muaz berkata kepada Rasulullah: “Boleh jadi tuan hamba merasakan bahawa pihak Ansar berpendapat sokongannya kepada tuan hamba hanya di perkarangan kampung mereka sahaja. Di sini hamba menegaskan bagi pihak Ansar dan menjawab bagi pihak mereka. Ayuh bergeraklah ke mana sahaja, hubungilah siapa yang tuan hamba suka, putuskanlah hubungan dengan sesiapa yang tuan hamba suka, ambillah harta kami sesuka tuan hamba, tinggalkanlah kadar mana harta harta itu kepada kami sesuka hati tuan hamba, sesuatu yang tuan ambil dari kami itu adalah paling kami senangi lebih dari apa yang tuan tinggalkan, sesuatu yang tuan perintahkan itu, maka urusan kami adalah ikutan kepada suruhan tuan itu. Demi Allah sekiranya tuan membawa kami untuk sampai di Birak al-Ghimad nescaya kami turuti. Dan Demi Allah seandainya tuan hamba membawa kami mengharungi lautan nescaya kami akan harungi”.
Mendengar kata-kata ini maka Baginda merasa terharu dan terasa segar serta bertenaga. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Ayuh bergeraklah dan bergembiralah dengan berita baik kerana sesungguhnya Allah telah menjanjikan daku salah satu dari dua kelompok itu, demi Allah sekarang bagaikan daku sedang menyaksikan kemusnahan kaum musyrikin .
Begitulah para sahabat Baginda dari kalangan Muhajirin dan Ansar tetap setia bersama Baginda. Keimanan yang berada di jiwa mereka tidak dapat digoncangkan dengan ketakutan lagi. Sanggup mereka mempertahankan Baginda dan Islam walaupun nyawa menjadi pertaruhan.
Kini janji setia telah terikat yang perlu seterusnya adalah strategi peperangan.
Seorang Sahabat bernama Khabbab Bin Munzir seorang pakar strategi menemui Rasulullah s.a.w bertanya perihal peperangan dan beliau telah memberikan cadangannya. Beliau bertanya, “wahai Rasulullah, adakah tempat ini pilihan wahyu daripada Allah ataupun ianya strategi peperangan?”
Baginda menjawab, “tidak dari Allah, hanya strategi peperangan sahaja.”
Mendengar jawapan dari Baginda maka, beliau telah mencadangkan agar tentera muslimin bergerak lebih ke hadapan lagi iaitu dekat dengan perigi di sekitar Badar. Beliau mencadangkan semua perigi dikambus dan hanya satu sahaja perigi yang dibiarkan untuk kegunaan mereka kaum muslimin. Apabila berlakunya peperangan pastinya bekalan air menjadi sumber utama untuk minum. Pastinya tentera Quraisy akan kehausan bahkan juga unta dan kuda yang dibawa oleh mereka. Kesukaran mereka untuk mendapat bekalan minuman akan menjejaskan kekuatan ketenteraan mereka.
Apabila Baginda mendengar cadangan Khabbab lantas Baginda bersetuju dan mereka kaum muslimin bergerak dan mula mendirikan khemah di sekitar Badar. Mereka semua membuat persiapan untuk menghadapi musuh di medan pertempuran. Pada malam tersebut Allah telah menurunkan hujan yang lebat menyebabkan kawasan perkhemahan tentera muslimin tanahnya menjadi lebih kejap manakala di tempat perkhemahan Quraisy hujannya lebih lebat sehingga tanahnya berselut dan sukar untuk bergerak. Ini adalah salah satu bantuan Allah kepada tentera muslimin.
Pada malam tersebut iaitu malam Jumaat 17 Ramadhan tahun kedua hijrah semua tentera muslimin tiba-tiba merasai mengantuk yang amat sangat sehingga mereka tertidur dengan nyenyak dalam penuh kerehatan. Mereka bangun malam solat dan bermunajat kepada Allah sebelum peperangan yang bakal di tempuh esok paginya. Peristiwa ini dirakamkan oleh al Quran,
إِذْ يُغَشِّيكُمُ النُّعَاسَ أَمَنَةً مِنْهُ وَيُنَزِّلُ عَلَيْكُمْ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً لِيُطَهِّرَكُمْ بِهِ وَيُذْهِبَ عَنْكُمْ رِجْزَ الشَّيْطَانِ وَلِيَرْبِطَ عَلَىٰ قُلُوبِكُمْ وَيُثَبِّتَ بِهِ الْأَقْدَامَ
Maksudnya : (Ingatlah) ketika kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai satu (pemberian) aman dari Allah (untuk menghapuskan kecemasan kamu). Dan (ingatlah ketika) Ia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya dan menghapuskan dari kamu gangguan Syaitan dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian (kamu di medan perjuangan). (Al Anfal 8:11)
Segala bantuan Allah datang bagi memberi ketenangan dan ketenteraman kepada tentera muslimin untuk berhadapan dengan musuh. Cuaca yang panas disejukkan, air yang sedikit ditambah, keletihan diberikan kerehatan, manakala syaitan gagal mempengaruhi jiwa mereka yang bermunajat kepada Allah pada malam harinya. Seterusnya keyakinan mereka kepada Allah dan Rasul bertambah dan tidak sedikit pun gentar untuk menghadapi bala tentera musyrikin yang jauh lebih besar bilangannya.
Tentera Quraisy menghantar wakilnya meninjau pasukan tentera muslimin dan mereka membuat kesimpulan jumlah tentera muslimin sekitar 300 orang sahaja dan ianya adalah satu peperangan yang mudah sahaja untuk dimenangi.
Masa yang ditunggu telah tiba waktu siang sudah muncul. Alam menjadi saksi atas segala yang akan berlaku. Sejarah peperangan pertama Islam akan dikenang.
Ketika peperangan hampir sudah tidak dapat dihalangi lagi, tiba-tiba berlaku perpecahan dan percanggahan pandangan di kalangan kafir Quraisy. Ada diantara mereka yang mencadangkan agar mereka kembali ke Mekah dan biarkan tentera Rasulullah s.a.w. Antara yang mencadangkan adalah Hakim Bin Hizam dan Utbah Bin Rabiah. Hakim Bin Hizam telah mencadangkan kepada Utbah Bin Rabiah dan beliau pun bersetuju dengan cadangan Hakim Bin Hizam namun masalah besarnya adalah Abu Jahal yang memimpin tentera musyrikin. Apabila Hakim Bin Hizam bertemu Abu Jahal dan memberi cadangan dan pandangan dari Utbah Bin Rabiah, maka Abu Jahal dengan bongkaknya menolak cadangan tersebut bahkan memperkecilkan cadangan Utbah Bin Rabiah. Abu Jahal tetap dengan keputusannya dan bersiap memakai baju besi untuk berhadapan dengan tentera muslimin.
Di pihak tentera Islam, Baginda Rasulullah s.a.w tidak putus-putus berdoa kepada Allah agar diberi bantuan dan kemenangan. Sejak malam hari ketika para tentera muslimin tidur Baginda tetap solat dan bermunajat kepada Allah. Antara doa Baginda,
Ya Allah! Jika (kalah dan) musnah kumpulan ini pada hari ini (Perang Badar), Engkau tidak akan disembah selama-lamanya. Ya Allah! Berikanlah kemenangan (pada hari ini) yang telah Engkau janjikan kepada aku.”
Doa Baginda didengar oleh Abu Bakar yang menemani Baginda di khemahnya. Beliau merasa sayu mendengar munajat Baginda yang bersungguh-sungguh yang sangat mengharapkan pertolongan dari Allah.
Kini waktu yang dinanti-nantikan telah tiba, pasukan tentera musyrikin telah bertentang mata dengan tentera muslimin. Masing-masing dapat melihat kekuatan dan jumlah mereka. Yang menguatkan tentera Islam bukanlah senjata tetapi keimanan dan itulah yang membezakan antara mereka dengan tentera kafir Quraisy.
Baginda menyusun pasukannya dengan teratur, hingga tiba pada seorang sahabat yang bernama Suwad Bin Ghaziah yang terkeluar sedikit dari saf. Lalu Baginda telah menolak dengan tongkatnya pada perut beliau dan berkatalah Baginda, “Suwad betulkan saf.”
Suwad telah berkata tolakan oleh tongkat Baginda menyakitinya dan beliau menuntut untuk membalas kembali. Kata-kata Suwad itu telah memeranjatkan para Sahabat yang lain. Namun Baginda tenang dan mengangkat bajunya dan berkata kepada Suwad sila balas kembali. Suwad tanpa berlengah lagi terus mendapatkan Baginda dan mencium tubuh Baginda. Bertanyalah Baginda kenapa beliau berbuat begitu? Suwad berkata, “wahai Rasulullah hari ini adalah hari yang paling cemas. Aku merasakan aku akan syahid pada hari ini tetapi sebelum aku syahid aku ingin mendapat keberkatan dari tubuh mu.”
Mendengar kata-kata Suwad maka Rasulullah s.a.w. pun mendoakan sesuatu kebaikan untuk beliau. Kemudian Baginda memberi arahan kepada pasukan tentera muslimin agar mendengar arahan sebelum melakukan apa-apa serangan. Serangan hanya akan dilakukan apabila musuh yang memulakan pertempuran. Setiap anak-anak panah hendaklah disasarkan dengan tepat dan tidak dibazirkan. Pedang-pedang hanya akan terhunus apabila musuh mula menyerang pasukan tentera muslimin. Kemudian Baginda kembali ke khemahnya menanti tindakan dari pihak musyrikin.
Kaum musyrikin yang menyelewengkan ajaran agama tetap berdoa memohon kemenangan dari Allah. Abu Jahal turut berdoa dengan menyebut nama Allah. Namun doa Abu Jahal dijawab oleh al Quran,
إِنْ تَسْتَفْتِحُوا فَقَدْ جَاءَكُمُ الْفَتْحُ ۖ وَإِنْ تَنْتَهُوا فَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ ۖ وَإِنْ تَعُودُوا نَعُدْ وَلَنْ تُغْنِيَ عَنْكُمْ فِئَتُكُمْ شَيْئًا وَلَوْ كَثُرَتْ وَأَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya : Jika kamu (wahai orang-orang musyrik) memohon supaya diberi kemenangan (bagi pihak yang benar) maka sesungguhnya kemenangan (yang kamu pohonkan) itu telah datang (dan disaksikan oleh) kamu. Dan jika kamu berhenti (daripada memusuhi Nabi Muhammad) maka yang demikian amat baik bagi kamu, dan jika kamu kembali (memusuhinya), Kami juga kembali (menolongnya mengalahkan kamu); dan golongan (angkatan perang) kamu tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan kamu sedikitpun, sekalipun ia lebih ramai, dan (yang demikian itu adalah kerana) sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang beriman. (Al Anfal 8:19)
Pos Terkait:  Cara Menjadi Hacker Game: Panduan Lengkap