Komando Kafir Quraisy Untuk Menyerang Kota Madinah

Posted on

Quraisy Memberi Amaran Menyerang Madinah

Perancangan kafir Quraisy membuat provokasi serangan dari dalam Madinah oleh penduduk Madinah terhadap Baginda telah gagal. Namun kemarahan mereka tetap tidak reda dan kali ini mereka memberi amaran untuk menyerang Madinah. Mereka menghantar wakil ke Madinah dan berkata,
“Jangan kamu terpesona dengan kejayaan kamu melepas diri dari kami ke Yathrib sana, pada satu hari kami akan menyerang kamu, akan kami banteras kamu hingga ke akar umbi dan akan kami musnahkan tanaman-tanaman di halaman kediaman kamu.”
Kaum muslimin menyedari ancaman ini bukanlah satu ugutan semata-mata bahkan perlu kepada persiapan dan persediaan terhadap sebarang kemungkinan. Bahkan Rasulullah s.a.w sendiri tetap berkawal pada waktu malam di kota Madinah. Namun kawalan Baginda sudah bermula sebelum ancaman dari kafir Quraisy lagi. Aisyah meriwayatkan,
“Rasulullah s.a.w telah berjaga malam pada malam pertama ketibaan Baginda ke Madinah dan Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Semoga ada seseorang lelaki soleh dari kalangan sahabat-sahabatku mengawalku di malam ini. Kata Aisyah Semasa kami sedang duduk terdengar bunyi senjata, 
Baginda bertanya, “siapa itu?” 
Jawab orangnya, “aku, Sa’ad bin Abi Waqas.” 
Bersabda Rasulullah s.a.w kepadanya, “apa yang membawa kamu ke mari.” 
Jawab Saad, “aku telah berasa sesuatu terhadap Rasulullah s.a.w, maka aku pun terus ke sini untuk mengawal Rasulullah s.a.w.” 
Lalu Rasulullah s.a.w berdoa kepada Allah sesuatu kebaikan kepada Saad, kemudian itu Rasulullah s.a.w pun tidur dan lena. 
Semenjak itu kaum muslimin Madinah bergilir menjaga Rasulullah s..a.w setiap malam. Sehingga turunlah wahyu kepada Baginda, 
وَاللَّهُ يَعْصِمُكَ مِنَ النَّاسِ
Maksudnya : Dan Allah Azza wa Jalla menjagamu dari manusia (orang-orang kafir). (al-Maidah 5:67)
Lalu Rasulullah s.a.w bersabda kepada para Sahabat yang setia menjaga beliau,
يَا أَيُّهَا النَّاسُ انْصَرِفُوا فَقَدْ عَصَمَنِي اللَّهُ
Maksudnya : Wahai sekalian manusia ! Bersurailah kamu kerana Allah Azza wa Jalla telah menjagaku. (HR Tarmidzi)
Ancaman bukan semata-mata kepada kaum muslimin yang berhijrah dari Mekah bahkan kaum Ansar yang telah memberi perlindungan kepada Baginda. Antara yang diberi amaran adalah sahabat yang bernama Sa’ad Bin Muaz yang telah singgah dalam perjalanannya berdagang ke Mekah untuk tawaf di Baitullah. Kisah ini diriwayatan oleh Imam Bukhari, katanya.
“Sa’ad bin Mu’az berangkat untuk menunaikan umrah. Di Mekah, Sa’ad tinggal di kediaman Umayyah bin Khalaf bin Abu Sufyan. Ketika itu, jika Umayyah melakukan perjalanan dagang ke Syam dan melalui Madinah, dia kebiaasaanya akan berehat di kediaman Sa’ad bin Mu’az. Sa’ad Bin Mu’az ada kesempatan masa untuk melakukan tawaf (beribadah dengan mengelilingi Kaabah), Umayyah membawa tetamunya untuk melakukannya. Tanpa disangka, mereka bertemu dengan Abu Jahal. 
Abu Jahal bertanya, “siapakah yang sedang melakukan tawaf di Kaabah ini ?”
Sa’ad menjawab, “aku Sa’ad.”
Abu Jahal mengatakan, “kamu melakukan tawaf dengan aman, sementara kamu telah melindungi Muhammad beserta para Sahabatnya ?”
Sa’ad menjawab, “ya.”
Kemudian kedua orang ini berbalah, saling meninggikan suara. Umayyah mengatakan kepada Sa’ad,“janganlah engkau meninggikan suaramu di hadapan Abul Hakam (Abu Jahal), kerana dia ahli penduduk lembah ini (Mekah)!”
Sa’ad mengatakan, “demi Allah, jika kamu melarangku melakukan tawaf di Kaabah, maka sungguh aku akan menghalangi perjalanan dagangmu ke Syam.”
Umayyah kembali mengingatkan Sa’ad agar tidak meninggikan suaranya kepada Abu Jahal seraya memegang Sa’ad. Akhirnya, Sa’ad yang agak emosi dan mengatakan, “tinggalkan kami ! Sungguh aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda bahawa Baginda akan membunuhmu.
Umayyah mengatakan, “aku?”
Sa’ad menegaskan : “Ya dan demi Allah Azza wa Jalla , Muhammad s.a.w jika berbicara tidak pernah berbohong.”
Mendengar ini, Umayyah pulang menemui isterinya. Dia mengatakan, “tahukah kamu, apa yang dikatakan oleh saudaraku yang berasal dari Madinah itu ?”
Isterinya balik bertanya,“apa katanya?”
Umayyah mengatakan, “dia (tadi) berkata pernah mendengar Muhammad akan membunuhku.” 
Isterinya berkata, “demi Allah, Muhammad tidak pernah berdusta !”
Ketika kafir Quraisy hendak menuju perang Badar dan seruan sudah terdengar, isteri Umayyah mengingatkan suaminya : 
“Tidakkah engkau ingat perkataan saudaramu yang berasal dari Madinah itu.” Mendengar ini, Umayyah hendak membatalkan niatnya untuk berangkat, akan tetapi Abu Jahal terus memujuknya. Akhirnya dia berangkat ke Badar. Di sana, dia dan Abu Jahal terbunuh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *