Nasih Tawanan Perang Badar Setelah Kalah Dari Kaum Muslimin Yang di Pimpin oleh Rasulullah Muhammad Saw

Posted on

Perang Badar & Para Tawanan

 

Setelah ketua musyrikin iaitu Abu Jahal kecundang, para tentara beliau lemah dan dengan mudah ditawan oleh tentera muslimin. Antara yang dapat ditawan adalah Abbas Bin Abdul Mutalib. Abdullah Bin Mas’ud yang tubuhnya lebih kecil dan kurus telah berjaya menawan Abbas yang bertubuh besar menyebabkan para Sahabat merasa heran. Beliau telah membawa Abbas dalam keadaan tangan yang diikat kebelakang tanpa apa-apa bantahan dari Abbas.
Apabila ditanya pula kepada Abbas bagaimana pula beliau boleh mudah menyerah kepada Abdullah Bin Mas’ud. Dijawabnya bahawa ketika Abdullah memegang tangannya beliau merasakan seolah-olah kekuatan tangan Abdullah Bin Mas’ud boleh menghancurkan tangannya.
Baginda Rasulullah s.a.w yang mendengar perbualan ini berkata kepada Abdullah bin Mas’ud,
“Wahai Abdullah, jangan kamu merasa kamu yang kuat. Sebenarnya yang membantu kamu tadi adalah Malaikat. Malaikatlah sebenarnya yang menawan Abbas.”
Kini tentera muslimin sudah mempunyai tawanan perang bagi kali yang pertama. Apakah tindakan yang perlu dikenakan kepada tawanan ini menjadi satu persoalan. Baginda Rasulullah s.a.w telah meminta pendapat dikalangan para Sahabat.
Abu Bakar telah memberikan pendapatnya. “Wahai Rasulullah, tawanan ini pada umumnya, mereka adalah anak-anak saudara dan sanak keluarga serta juga rakan taulan. Pada pendapat hamba kita berikan peluang mereka untuk ditebus, apabila dengan nilai yang kita ambil itu akan menjadi satu kekuatan untuk menentang kuasa kafir. Dan semoga Allah memberi taufiq dan hidayah kepada mereka nanti, kelak mereka menjadi kekuatan penyumbang kepada kita.”
Kemudian Rasulullah s.a.w meminta pandangan Umar. “Apa pula pendapat kamu wahai Ibnu al-Khattab?
Jawab Saidina Umar al Khattab. “Pendapat hamba tidak seperti pendapat Abu Bakar, bagiku dalam sangkaan aku tuan hamba tidak akan bertemu dengan musuh tetapi yang aku sangka ialah Kafilah yang membawa barangan perniagaan, kalau aku tahu ianya musuh pasti tidak akan aku lepaskan peluang ini.” (Maksud Umar tawanan ini hendaklah dibunuh)
Jawab Rasulullah, “Ya kata-kata mu itu benar.”
Setelah mendengar pandangan para Sahabat maka Baginda membuat keputusan iaitu bersetuju agar mereka dibebaskan dengan syarat penduduk Mekah membayar tebusan sebagimana cadangan Abu Bakar. Seterusnya tawanan ini dibawa balik ke Madinah. Setibanya di Madinah Baginda membahagikan tawanan perang antara para Sahabat Baginda. Bahkan Baginda ketika membuat pembahagian berpesan supaya bertindak baik terhadap mereka. Para Sahabat mematuhi perintah Rasul sehinggakan pada satu-satu masa para sahabat memakan tamar sedangkan tawanan dilayan dengan baik dan diberi makan roti mematuhi pesanan Rasulullah s.a.w.
Sementara itu berita telah sampai ke Mekah tentang tumpasnya tentera yang dipimpin oleh panglima-panglima Quraisy. Abu Lahab dan Abu Sufyan merupakan golongan paling senior kini yang menguasai Mekah. Mereka terperanjat dan seolah-olah tidak percaya dengan berita yang mereka dengar. Bagaimana mungkin tentera yang 1000 lebih gagal menewaskan tentera muslimin yang berjumlah 313 orang. Bahkah ada pula tawanan perang oleh tentera yang lebih kecil jumlahnya.
Berita sahih tentang kekalahan tentera musyrikin Quraisy telah dibawa oleh Haisuman Al Khuza’i ke Mekah. Masyarakat Mekah terperanjat besar apabila diberitahu bahawa Abu Jahal, Utbah dan Walid telah terbunuh. Suatu yang menghairankan bagaimana panglima hebat dari Quraisy tewas menjadi bualan penduduk Mekah. Namun berita Haisuman Al Khuzai diyakini benar apabila tentera musyrikin yang lari dari pertempuran Badar tiba di Mekah.
Abu Sufyan yang merasa marah dan geram telah memberi arahan agar tidak ada siapa menangisi, meratapi kemataian ahli keluarga mereka dan tidak dibenarkan sesiapa pun menebus para tawanan perang. Pada masa yang sama Abu Lahab bertemu dengan Ummu Al Fadl iaitu isteri Abbas Bin Abdul Mutalib untuk mengetahui sama ada beliau ada mendengar berita tentang Abbas yang telah ditawan. Ketika Abu Lahab tiba beliau mendapati seorang tentera musyrikin yang lari dari Badar sedang menceritakan kepada Ummu Al Fadl apa yang telah berlaku di Badar.
Abu Lahab telah bertanya kepadanya siapakah yang paling menyerlah di perang Badar dari kalangan tentera Islam. Beliau berkata orang tersebut adalah Hamzah Bin Abdul Mutalib. Kemudian Abu Lahab bertanya lagi “bagaimana kamu boleh kalah dalam keadaan jumlah tentera yang sangat ramai.”
Beliau berkata, “kami melihat tentera-tentera yang berpakaian putih datang dan tidak ada sesiapa pun yang boleh mengatasi mereka.”
Seorang hamba yang telah dibebaskan oleh Abbas bernama Abu Rifai yang berada di situ mendengar kisah ini lantas berkata, “demi Allah itulah para Malaikat.” Beliau telah masuk Islam dan menyembunyikan keislamannya.
Abu Lahab menjadi marah mendengar perkataan Abu Rifai lantas memukulnya sehingga berdarah. Ummu Al Fadl cuba menghalangnya dari terus memukulnya namun tapi tidak berjaya. Kemudian Ummu Al Fadl telah mengambil sebatang kayu dan memukul kepala Abu Lahab sehingga luka. Abu Lahab balik ke rumah dengan luka di kepala. Luka di kepala Abu Lahab menjadi semakin teruk dan melarat seperti penyakit kulit. Hinggakan penyakit itu memberi kesan buruk padanya. Ramai yang melarikan diri dari Abu Lahab khuatir mereka akan menjangkiti penyakit itu.
Kesan peyakit itu anak-anaknya meninggalkannya sehinggalah Abu Lahab mati dengan penyakit itu. Mayatnya tinggal keseorangan tiada yang mahu menguruskannya sehingga menjadi busuk. Akhirnya mereka menyembur air dari jauh dan menimbus mayatnya dengan batu-batu.
Begitulah kesudahan riwayat Abu Lahab yang paling keras menentang dakwah Baginda. Beliau sentiasa menyakiti, mengaibkan, menghina Rasulullah s.a.w dan menzalimi para Sahabat yang memeluk Islam. Janji Allah pasti benar tiada yang terlepas dari siksaan Allah. Bahkan sudah ada yang menerima sedikit balasan di dunia lagi. Di Akhirat pula neraka yang kekal abadi menanti para musuh-musuh Allah.
Manakala keluarga dikalangan penduduk Mekah yang ditawan sudah tidak dapat menahan diri lagi untuk menebus ahli keluarga mereka yang ditawan di Madinah. Apakah yang mereka lakukan?
Penduduk Mekah ingin sekali menebus tawanan perang dikalangan keluarga mereka. Ada yang berharta berjaya menebus sanak keluarga mereka manakala ada yang miskin tidak dapat berbuat demikan. Abu Sufyah turut mempunyai seorang anak lelaki iaitu Amru Bin Abu Sufyan yang ditawan manakala seorang lagi anaknya iaitu Hanzalah telah terbunuh di medan Badar. Beliau sangat berharap agar anaknya akan dibebaskan namun Abu Sufyan tidak mahu membayar tebusan.
Abu Sufyan telah membuat satu perancangan untuk menahan orang Islam yang datang mengerjakan Umrah ke Mekah dan menjadikannya tawanan. Tindakan Abu Sufyan sangat tidak dipersetujui oleh penduduk Mekah kerana ianya akan menyebabkan orang ramai takut untuk datang ke Mekah bagi menyempurnakan umrah atau haji. Namun Abu Sufyan tetap dengan keputusannya dan beliau telah menangkap Saad bin al-Nu’man yang datang ke Mekah untuk menunaikan umrah. Baginda Rasulullah s.a.w mendapat berita tentang penangkapan Saad Bin al Nu’man dan tawaran pembebasannya dengan syarat Amru Bin Abu Sufyan dibebaskan. Seterusnya Baginda mengambil keputusan membebaskan Amru Bin Abu Sufyan dan Saad Bin Al Nu’man dibebaskan dan kembali ke Madinah.
Seorang tawanan bernama Abu Al-Asi iaitu suami kepada Zainab dan menantu Rasulullah s.a.w. Tidak ada sesiapa yang menebus Abu Al-Asi kemudiannya Zainab telah mengirimkan kalung kesayanganya yang telah dihadiahkan oleh ibunya iaitu Khadijah Bin Khuwalid semasa perkahwinannya untuk menebus suaminya. Apabila kalung itu dipersembahkan kepada Rasulullah s.a.w maka Baginda teringat kepada Khadijah yang telah banyak membantu dan berkorban untuk perjuangan Islam.
Para Sahabat dapat melihat kesedihan pada wajah Baginda apabila kalung itu diberikan kepada Baginda. Kemudiannya para Sahabat bersetuju untuk membebaskan Abu Al-Asi dan menyerahkan kembali kalung itu kepada Zainab dan hendaklah beliau mengizinkan Zainab untuk berhijrah ke Madinah. Abu Al Asi bersetuju dengan syarat tersebut dan beliau dibebaskan. Baginda telah mengirimkan Zaid Bin Harithah untuk menemani Zainab dalam perjalanan ke Madinah dan akhirnya Zainab tiba di Madinah. Gembira sungguh Baginda melihat anaknya selamat tiba di Madinah.
Terdapat juga para tawanan perang yang tidak ditebus kerana faktor kemiskinan. Ada di antara mereka diberi peluang oleh Baginda untuk mengajar 10 orang anak-anak di Madinah sehingga mahir kemudiannya mereka dibebaskan. Adu juga tawanan perang yang membuat rayuan agar dibebaskan dan akan menjelaskan wang tebusan setelah dibebaskan. Antara yang dibebaskan adalah Sofiyy Bin Rifa’ah.
Ada juga yang dibebaskan oleh Baginda tanpa apa-apa bayaran seperti Muttalib Bin Hantab, Saifi bin Abi Rifaah dan Abi Uzzah al-Jumahi. Manakala seorang yang ditawan oleh tentera muslim iaitu Suhail Bin Amru. Beliau seorang ahli pidato yang hebat di Mekah. Beliau sering berpidato menghina dan menyakiti Baginda. Umar al Khattab berkata kepada Rasulullah s.a.w, “wahai Rasulullah cabutlah dua batang gigi depannya agar lidahnya terjelir dengan itu beliau tidak lagi berupaya menghina Islam. Namun Bginda tidak mengizinkannya. Lalu berkata Baginda, “mudah-mudahan satu hari nanti
 beliau akan membuat sesuatu yang baik untuk Islam.”
Kata-kata Baginda memang benar, akhirnya Suhail masuk Islam dan menjadi seorang muslim yang baik. Selepas kewafatan Baginda ada yang kembali menjadi kufur dan murtad. Suhail telah berjaya mengajak mereka kembali kepada Islam.
Di Mekah pula Abu Sufyan merancang untuk menyerang Madinah bagi membalas kekalahan tentera Mekah. Bersambung esok, insya Allah.
Pos Terkait:  Apakah Belut Moray Bisa Dimakan?