Rasulullah Muhammad Saw Menyusun Strategi Perang Badar

Posted on

Baginda dan Pasukan Ketenterannya 

Lanjutan dari penyusunan strategi pertahanan di Madinah dan mempersiapkan pasukan ketenteraan dari ancaman musuh Islam terutamanya dari kafir Quraisy Baginda telah melakukan beberapa perkara. Antaranya adalah,
1. Pada bulan Ramadan tahun pertama Hijrah, satu pasukan yang diketuai oleh Hamzah dengan jumlah 30 orang telah diperintahkan untuk menyekat rombongan pedagang yang dipimpin oleh Abu Jahal yang balik dari Syam yang berjumlah 300 orang. Rombongan Abu Jahal berada di penempatan suku Dhamrah yang diketuai oleh Mujdey Bin Amr telah menghalang Hamzah dari menuju menghampiri rombongan Abu Jahal. Tujuan Hamzah bukan untuk berperang hanya sekadar menyekat mereka manakala rombongan Abu Jahal berjaya melepaskan diri kembali ke Mekah.
2. Pada bulan berikutnya Syawal, Baginda mempersiapkan satu pasukan berjumlah 60 orang lagi yang dipimpin oleh Ubaidah Bin Harith Bin Abdul Mutalib. Pasukan bertugas ini meninjau dan mengintip pergerakan di luar kota Madinah yang kesemuanya disertai oleh sahabat-sahabat Muhajirin. Manakala di kota Madinah sahabat-sahabat Ansar berupaya mempertahankan Baginda. Pasukan yang dipimpin Ubaidah Bin Harith telah bertembung dengan rombongan Abu Sufyan yang berjumlah sekitar 200 orang. Abu Sufyan telah mengarahkan pasukannya memanah pasukan Islam agar tidak mara kehadapan. Abu Sufyan dan rombongannya berjaya melepaskan diri.
3. Saad Bin Abi Waqqas memimpin satu pasukan berjumlah 20 penunggang pada awal Zulkaedah. Misi mereka adalah untuk memintas pedagang Quraisy. Baginda telah memberi arahan agar mereka tidak melepasi sempadan al Kharrar semasa memintas rombongan Quraisy. Strategi pasukan Saad adalah berjalan kaki dan bersembunyi pada waktu siang dan pada malamnya bergerak hingga tiba di Kharrar. Namun misi ini tidak berjaya kerana mereka lewat tiba satu hari dan terlepas untuk memintas rombongan ini.
4. Seterunya Baginda sendiri keluar dengan pasukannya berjumlah 70 orang pada bulan Safar tahun ke dua Hijrah. Kesemua yang bersama Baginda adalah sahabat-sahabat Muhajirin. Sepeningalan Baginda telah memberi amanah kepada Saad Bin Ubaddah menggantikan tugas Baginda di Madinah. Peristiwa ini dikenali dengan Gazwah al Abwa atau Widan bagi menyekat Quraisy. Ketua kabilah Dhamrah telah meminta Baginda agar tidak berlakunya peperangan di penempatan mereka. Mereka juga meminta perjanjian keamanan dimeterai dengan Baginda dan dipersetujui oleh Baginda. 
5. Seterusnya Baginda memimpin satu pasukan berjumlah 200 orang pada bulan Rabiul Awwal. Misi ini dikenali sebagai Ghazwa Bawat bagi menyekat jumlah 2500 orang Quraisy yang dipimpin oleh Umayyah Bin Khalaf iaitu bekas tuan kepada Bilal Bin Rabah. Rombongan ini dikawal oleh para pahlawan Umayyah Bin Khalaf dan mereka berjaya melepaskan diri sebelum berhadapan dengan Baginda. 
6. Sekali lagi Baginda memimpin pasukannya pada bulan Rabiul Awwal dengan jumlah pasukan 70 orang. Pasukan ini telah memburu sekumpulan perompak yang telah menyerang ladang ternakan di Madinah. Pasukan Baginda telah mengejar mereka sehingga ke satu lembah Safwah berdekatan dengan Badar. Perompak ini meninggalkan hasil rompakan mereka dan berjaya melarikan diri. Peristiwa ini dikenali sebagai Badar al Awwal.
7. Pada bulan antara Jamadil Awwal dan Jamadil Akhir, Baginda telah memimpin pasukan tentera Muslimin dari golongan Muhajirin berjumlah 150 orang (ada pandangan mengatakan 200 dan 250 orang). Perjalanan ini membawa unta 30 ekor yang bergilir ditunggangi oleh tentera muslimin. Tujuannya bagi menyekat rombongan dari Quraisy yang berdagang ke Syam. Namun apabila Baginda dan tentera Muslimin tiba di tempat Bani Mudlij, mereka telah menghalang Baginda dari menemui rombongan Quraisy bahkan mereka meminta dimeterai perjanjian keamanan dengan Rasulullah s.a.w. Baginda bersetuju dengan perjanjian keamanan dengan Bani Mudlij serta sekutu-sekutu Bani Dhamrah. Peristiwa ini dikenali dengan Ghazwah zul-Asyirah.
8. Pada bulan Rejab tahun ke 2 Hujrah Rasulullah s.a.w telah mengirimkan Abdullah Bin Jahsy al-Asadi ke Nakhlah dengan rombongan kecil iaitu 12 orang dari kalangan Muhajirin. Saad Bin Abi Waqas turut serta dalam rombongan ini. Dalam perjalanan ini unta yang ditunggangi oleh Saad telah hilang menyebabkan beliau dan seorang sahabat lagi iaitu Utbah bin Ghuzwan keluar mencari unta tersebut. Akibatnya mereka berdua telah tertinggal dari kumpulan yang dipimpin oleh Abdullah Bin Jahsy.
Rasulullah s.a.w telah mengirimkan satu surat kepada Abdullah Bin Jahsy sebelum perjalanan dengan perintah tidak membuka surat tersebut melainkan setelah 2 hari perjalanan. Abdullah Bin Jahsy mematuhi perintah Baginda, apabila sudah sampai 2 hari perjalanan maka barulah dibuka surat tersebut dan dibacanya. Kandungan surat tersebut adalah seperti berikut,
“Setelah mana kamu membaca suratku ini teruskan perjalananmu sehingga tiba ke tempat bernama Nakhlah yang terletak di antara Mekah dan al-Taif, kemudian hebdaklah kamu cuba menghalang pergerakan kabilah Quraisy dan mengumpul maklumat mengenainya ” 
Setelah membaca perintah Baginda itu maka Abdullah Bin Jahsy telah memberi arahan kepada pasukannya. Mereka menuju ke Nakhlah dan dapat melihat rombongan Quraisy yag balik dari Syam. Rombongan Quraisy ini bersama mereka adalah Amru Bin al-Hadrami, al-Hakam Bin Kaisan hamba Bani al- Mughirah, Uthman Bin Abdullah Bin Al-Mughirah dan saudaranya iaitu Naufal.
Abdullah Bin Jahsy telah membuat perancangan menyerang rombongan ini kerana menyangka bulan Rejab telah berakhir. Ini kerana menjadi peraturan diharamkan berperang pada bulan haram termasuk bulan Rejab. Tujuan serangan itu bagi mengelakkan mereka memasuki tanah haram. Pasukan muslimin telah memanah dan kena kepada Amru Bin al-Hadrami menyebabkan beliau terbunuh. Inilah kematian pertama akibat serangan dari kaum muslimin. Manakala Uthman Bin Abdullah dan al-Hakam Bin Kaisan ditawan oleh tentera muslimin. Lalu tawanan dibawa balik ke Madinah.
Tindakan Abdullah adalah satu kesilapan besar kerana sebenarnya serangan yang dilakukan oleh pasukannya masih dalam bulan Rejab yang dimaklumi diharamkan berperang. Apabila mereka tiba di Madinah Baginda tidak gembira dengan tindakan Abdullah Bin Jahsy dan pasukannya. Baginda berkata tidak diberikan arahan disuruh mereka berperang pada bulan haram ini. Akibatnya Baginda menangguhkan keputusan dan mahu melihat reaksi Quraisy atas tindakan yang berlaku. Apakah yang dilakukan oleh Baginda?
Pihak Quraisy mengambil kesempatan atas kesilapan serangan pasukan Abdullah Bin Jahsy sebagai tindakan menghalalkan peperangan dalam bulan yang diharamkan berperang. Mereka menyebarkan propaganda mengatakan Islam telah menghalalkan sesuatu yang telah diharamkan. Dalam keadaan ini Baginda masih berdiam dan tidak membuat apa-apa tindakan. Baginda juga menyedari tindakan melanggar budaya Arab berperang pada bulan yang diharamkan akan memberi kesan peperangan yang besar. Dalam pada itu Allah menurunkan wahyu menenangkan Baginda dan kaum muslimin,
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الشَّهْرِ الْحَرَامِ قِتَالٍ فِيهِ ۖ قُلْ قِتَالٌ فِيهِ كَبِيرٌ ۖ وَصَدٌّ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ وَكُفْرٌ بِهِ وَالْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَإِخْرَاجُ أَهْلِهِ مِنْهُ أَكْبَرُ عِنْدَ اللَّهِ ۚ وَالْفِتْنَةُ أَكْبَرُ مِنَ الْقَتْلِ ۗ وَلَا يَزَالُونَ يُقَاتِلُونَكُمْ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمْ عَنْ دِينِكُمْ إِنِ اسْتَطَاعُوا ۚ وَمَنْ يَرْتَدِدْ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُولَٰئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۖ وَأُولَٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
Maksudnya : Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati katakanlah: “Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid Al-Haraam (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati). Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari ugama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian) dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu dia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat dan mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya (selama-lamanya). (Al Baqarah 2:217)
Ayat ini menjelaskan bahawa kaum kafir Quraisy cuba menyeleweng dari kebenaran. Mereka cepat menghukum tindakan yang dilakukan oleh kaum muslimin sebagai dosa besar sedangkan mereka lupa tindakan menzalimi, menganiaya, membunuh, mengusir dan melakukan segala bentuk penindasan kepada umat Islam ketika berada di Tanah Haram. Bukankah tindakan mereka lebih zalim, sejak dari awal dan masih berterusan hingga kini. Mereka merancang sampai ke peringkat membunuh Baginda kerana tidak senang dengan kebenaran yang dibawa kepada mereka. Ketika itu di mana mereka meletakkan diri sebagai kaum yang berpegang dengan keadilan?
Seterusnya tindakan yang dilakukan oleh Quraisy ialah menghantar wakil untuk mengambil tawanan perang di Madinah iaitu Hakam Bin Kaisan dan Uthman Bin Abdullah. Namun Baginda tidak menyerahkan tawanan perang ini sehingga Saad Bin Abi Waqas dan Uthbah Bin Ghazwah kembali ke Madinah. Ini kerana mereka berdua dari awal lagi telah terpisah dari rombongan Abdullah Bin Jahsy ketika keluar mencari unta yang hilang. Baginda khuatir mereka telah ditawan oleh Quraisy. Akhirnya apabila keduanya kembali ke Madinah barulah tawanan perang ini dibebaskan.
Tawanan perang Hakam Bin Kaisan mengambil keputusan untuk tidak mahu kembali ke Mekah dan memilih Islam sebagai agamanya manakala Uthman Bin Abdullah kembali ke Mekah bersama wakil Quraisy. Baginda juga telah membayar diat (gantirugi) atas kematian Amru Bin Hadrami kepada warisnya.
Insya Allah sambungan Tazkirah Jiwa akan kembali pada 6hb. Sept. 2017. Saya akan berada diluar negara menguruskan ibadah Qurban. Apabila sudah berada Malaysia nanti kita sambung semula.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *