Selasa, 01 September 2020

Kisah Perjanjian Aqobah Yang ke Dua || Baiatul Aqobah 2

Perjanjian Aqabah Kedua


Islam mula diterima dengan jayanya di Madinah. Pada tahun terakhir sebelum Baginda berhijrah ke Madinah, rombongan dari Madinah berjumlah tujuh puluh tiga orang telah datang untuk menunaikan Haji. Rombongan ini telah merancang untuk bertemu Baginda dan membuat perjanjian taat setia kepada Rasulullah s.a.w. Mereka telah mendengar tentang kerasulan Baginda semasa di Madinah lagi. Ketika berada di Aqabah mereka telah membuat pertemuan dengan Baginda pada hari-hari Tasriq secara senyap tanpa diketahui oleh kafir Quraisy.

Kaab Bin Malik seorang wakil dari Ansar menceritakan detik pertemuan dengan Baginda. 

“Kami telah keluar ke tempat haji, sebelumnya telah pun kami membuat janji dengan Rasulullah s.a.w untuk bertemu di al-Aqabah di iaitu pada pertengahan hari-hari tasyriq. Pada malam yang kami janjikan itu turut serta ialah Abdullah bin Amru bin Hiram, salah seorang ketua pimpinan kami dan orang yang kami muliakan. Ketika perjumpaan itu sengaja kami rahsiakan dari kaum sebangsa kami yang masih musyrik lagi yang turut bersama untuk mengerjakan haji. Pada malam itu kami telah berbicara dengan Abdullah bin Amru, lalu kami berkata,

“Wahai Abu Jabir, tuan adalah salah seorang pemimpin kami dan tokoh yang kami muliakan, sebenarnya kami tidak rela engkau dicampakkan ke dalam api neraka sebagai bahannya pada suatu hari esok.”

Seterusnya kami menyeru kepadanya untuk menerima Islam dan kami ceritakan tentang rancangan pertemuan kami dengan Rasulullah s.a.w di Aqabah. 

Berkata Kaab, “tanpa berlengah, beliau mengucap dua kalimah syahadah dan beliau turut serta dipertemuan di Aqabah serta beliau menjadi naqib dan ketua.”

Kemudian berkata Kaab lagi, “pada malam itu kami segera tidur bersama-sama kaum kami di samping peralatan perjalanan. Apabila berlalu sepertiga malam, kami pun keluar dari perkarangan khemah untuk menemui Rasulullah s.a.w. Kami keluar bersembunyi  seperti  burung puyuh melalui denainya, hinggalah kami semua bertemu dan berkumpul di persimpangan Aqabah. Jumlah kami kesemuanya adalah tujuh puluh tiga lelaki dan dua wanita iaitu Nusaibah binti Kaab yang dikenali sebagai Ummu 'Ammarah dari kabilah Bani Mazin bin al-Najar yang kedua ialah Asma' binti Amru dikenali sebagai Ummu Mani' dari kabilah Bani Salamah.”

“Kami semua berkumpul di persimpangan yang dijanjikan, menunggu ketibaan Rasulullah s.a.w, kemudian tepat pada masanya, Rasulullah s.a.w. pun tiba. Bersama turut serta mengiringi Rasulullah s.a.w ialah al-Abbas bin Abd al-Muttalib, beliau masih lagi dengan agama kaumnya, namun beliau rela menyertai dan menyokong urusan anak saudaranya itu dan beliau pula orang pertama bercakap di dalam majlis itu.”

Apabila kesemua tujuh puluh tiga orang telah sampai di Aqabah maka mereka telah mengucap syahadah. Kemudian Baginda memberi nasihat hidup secara berakhlak mengikut panduan dari Allah terhadap mereka. Seterusnya salah seorang wakil mereka bertanya bagaimana pula syarat untuk Rasulullah s.a.w.? Baginda menjelaskan,

“Sekiranya aku ke Madinah ke tempat kamu maka hendaklah kamu mempertahankan aku sebagaimana isteri-isteri dan anak-anak kamu.”

Lalu mereka bertanya lagi apakah ganjaran yang mereka dapat dengan mempertahankan Baginda. Dijawab oleh Rasulullah s.a.w,

“Untuk kamu syurga Allah, tiada janji-janji dunia tetapi untuk kamu syurga Allah.”

Kemudian mereka berikrar tidak akan membatalkan perjanjian ini.  Maka  bangun seorang demi seorang memeterai baiahnya dengan Rasulullah s.a.w dan Baginda menjaminkan syurga Allah buat mereka. Manakala baiah kaum wanita yang dimeteraikan di dalam kedua-duanya adalah melalui lafaz akad baiah sahaja tanpa Baginda berjabat tangan dengan mana-mana perempuan ajnabi. 
  
Seterusnya berkata Baginda, "kamu semua adalah penjamin seperti mana golongan al-Hawariyun adalah penjamin kepada Isa bin Mariam dan aku adalah penjamin kepada umat ku." 

Lalu dijawab oleh mereka sebulat suara dengan lafaz; "Ya". 

Setelah perjanjian ini dipersetujui tiba-tiba kedengaran satu suara dari atas bukit yang dilaungkan oleh syaitan. Syaitan agak lewat mengetahui perjanjian yang dilakukan oleh Baginda dan penduduk Madinah. Syaitan menyeru dengan kuat,

“Wahai orang-orang yang nyeyak tidur adakah kamu masih tidur? Muhammad dan orang-orang keluar dari agama kamu sepakat untuk memerangi kamu.”

Apabila mendengar suara itu, Saad Bin Malik lantas menghunus pedangnya dan berkata,

“Ya Rasulullah sekiranya kamu izinkan sekarang juga kami akan memerangi mereka.”

Baginda berkata belum diperintahkan lagi untuk mereka berbuat begitu dan menasihati semua kembali ke khemah masing-masing. Hebat sungguh iman mereka, walaupun jumlah mereka sedikit iaitu tujuh puluh tiga orang dan baru sahaja melafazkan perjanjian namun keberanian untuk mempertahankan aqidah dan Rasulullah s.a.w sudah bersinar. 

Keesokkan hrinya kafir Quraisy mengambil tindakan menuju ke khemah-khemah  rombngan Madinah yang didiami oleh kabilah Aus dan Khazraj untuk mengetahui benarkah ada perjanjian sulit mereka dengan Rasulullah s.a.w. Kemudian berkatalah wakil mereka,

“Wahai kaum Khazraj, sebenarnya sudah sampai ke pengetahuan kami bahawa kamu telah menemui saudara kami (Muhammad), dengan hasrat untuk membawanya keluar dari pangkuan kami, malah kami sudah berjanji setia untuk memerangi kamu, demi Allah sesungguhnya tidak ada satu kabilah Arab pun yang senang untuk menyaksikan peperangan di antara kami dan mereka manakala kamu pula sebahagian darinya". 

Abdullah bin Ubai bin Salul, yang mewakili musrikin Madinah tidak menyedari perjanjian yang telah dimenterai oleh muslimin dengan Rasulullah s.a.w. Lalu dia telah berdepan dengan wakil Quraisy dan berkata,

"Ini semua adalah palsu belaka, tidak munasabah perkara ini berlaku dan tidak munasabah kaumku boleh bertindak dengan berbuat demikian, kalau aku di Madinah mereka tidak akan bertindak sesuatu, kecuali setelah mengambil pendapatku". 

Kaum muslimin yang telah berbaiah semuanya tidak bersuara dan mendiamkan diri sahaja melihat kata-kata oleh kafir Quraisy dan Abdullah Bin Ubai. Akhirnya kafir Quraisy beredar dengan perasaan yang tidak aman. Mereka masih menyakini ada sesuatu yang berlaku namun tidak mempunyai bukti dan saksi yang melihat perjanjian Aqabah ini.

Tidak lama selepas musim Haji tamat,  rombongan Madinah beredar kembali menuju ke Madinah. Kafir Quraisy masih mencari informasi kerana jika benarlah berlakunya perjanjian antara penduduk Madinah dengan Rasulullah s.a.w. pastinya hidup mereka tidak aman dan peperangan sudah pasti akan berlaku. Kafir Quraisy masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang mereka terima dari rombongan Madinah bahawa tiada perjanjian dengan Rasulullah s.a.w lalu mereka mengambil keputusan mengejar rombongan ini. Namun mereka telewat kerana rombongan ini sudah hampir sampai ke Madinah.

Dalam pada itu mereka sempat melihat Saad bin 'Ubbadah dan Munzir bin Amru maka mereka memburu kedua-duanya. Al-Munzir sempat melepaskan dirinya tetapi Saad gagal melepaskan dirinya dan menyebabkan dia ditangkap dan dibawa ke Mekah. Mereka mula menyiksanya dan memintanya mengaku memang ada perjanjian dengan Rasulullah s.a.w. Namun keimanan beliau sangat tinggi walau apa jua bentuk penyiksaan yang dilakukan keatasnya beliau tetap menafikan adanya perjanjian itu.

Mut'am bin 'Adi dan al-Harith bin Harb bin Umaiyah telah melihat Saad dalam keadaan yang tersisksa dengan tangan berikat lalu beliau terus membuka ikatan dan memberi perlindungan kepadanya. Berita tentang penyiksaan kepada Saad sampai ke Madinah, akhirnya kafir Quraisy membebaskan Saad dan beliau kembali ke Madinah.

Islam terus berkembang di Madinah. Selanjutnya Mus’ab mengirim berita kepada Rasulullah s.a.w untuk mengajak berhijrah ke Madinah. Penduduk Madinah sudah bersedia dan tidak sabar untuk bertemu Rasul yang telah mereka dengar namun wajahnya masih belum mampu mereka tatapi. Ikatan perjanjian Aqabah kedua bukan hanya satu perjanjian biasa tetapi

perjanjian antara hamba-hamba Allah dengan Rasulullah s.a.w. 


EmoticonEmoticon