Iblis Menyamar Menjadi Suroqoh bin Malik Dalam Perang Badar | Terbunuhnya pimpinan kaum musyrikin

Posted on

Pimpinan kaum musyrikin telah terbunuh oleh tentara perang islam

Tanda-tanda kekalahan tentera musyrikin semakin jelas kelihatan. Ramai di kalangan mereka yang sudah lari meninggalkan medan tempur. Antara yang turut serta melarikan diri adalah Iblis yang menyamar sebagai Suraqah Bin Malik. Iblis telah melihat tentera dari kalangan Malaikat bersama dengan tentera muslimin bertempur dengan tentera musyrikin. Harith Bin Hisham melihat Iblis yang hendak lari maka dipegangnya tangan beliau. Berkata Harith, “ ke mana kamu mau pergi wahai Suraqah (iblis yang menyamar) bukankah kamu berkata akan membantu kami dan tidak akan meninggalkan kami?
Iblis menjawab, “sebenarnya aku melihat sesuatu yang kamu tidak melihatnya, aku takut siksaan Allah yang amat pedih itu.” Beliau menolak Harith dan melarikan diri.
Abu Jahal, melihat bala tenteranya ramai yang mati dan melarikan diri namun beliau tetap berdegil untuk tidak berhenti dari memerangi umat Islam. Laungan seruan perang Abu Jahal sudah tidak mendapat sambutan lagi. Musuh-musuh Islam tidak berupaya dan bersemangat lagi setelah melihat mayat panglima-panglima Quraisy terbujur kaku dengan kesan kematian yang dahsyat. 
Menurut kitab sirah Ar Reheeq Makhtum, pada waktu itu Abdul Rahman Bin Auf memerhatikan musuh-musuh di medan Badar. Kemudian berkatalah beliau,”sesungguhnya aku berada di saf peperangan Badar, bila aku memerhatikan di hadapan, aku dapati di kiri dan di kananku dua orang belia masih muda, aku bagaikan tidak berasa selamat terhadap diri mereka. Salah seorang dari mereka bertanyakan padaku dan meminta merahsiakan penyataannya itu dari kawannya yang seorang lagi, katanya: “Pak Cik tunjukkan saya satukah Abu Jahal.”, 
Jawabku, “anakku, apa yang kamu hendak buat dengannya?” 
Berkata beliau, “saya mendapat tahu yang beliau selalu memaki Rasulullah s.a.w.”
Lalu tambahnya lagi, “demi Tuhan yang nyawa ku di tanganNya, kalaulah aku ternampaknya (Abu Jahal) nescaya diri ku tidak akan renggang dari dirinya, kecuali kematian sahaja yang akan meragut mana-mana satu yang lebih segera ajalnya. 
Kata Abdul Rahman aku merasa hairan dengan sikapnya itu. Sekali lagi aku dipandang pula oleh pemuda yang seorang lagi dengan isyarat sambil beliau berkata kepadaku seperti pemuda yang pertama juga, aku pun terus memandang-mandang ke arah Abu Jahal yang terkial-kial di tengah-tengah orang ramai. Kemudian aku berkata kepada mereka berdua, “kamu nampak tak? Itu dia orang yang kamu bertanyakan tadi.”
Kedua-dua mereka pun dengan segera meluru dengan pedang ke arah Abu Jahal dan segera membunuhnya. Kemudian mereka terus pergi menemui Rasulullah s.a.w dan menceritakan kepada Baginda, lantas Rasulullah s.a.w pun bertanya: “Siapa di antara kamu yang membunuhnya? Jawab mereka berdua, “saya Rasulullah”. 
Lalu bertanya Baginda, “apakah kamu sudah mengesat pedang kamu?” 
Jawab mereka: “Tidak.”
Rasulullah pun melihat kepada kedua-dua pedang mereka lalu bersabda Rasulullah s.a.w, “ya kedua-dua kamulah yang membunuhnya”. 
Terbunuhnya Abu Jahal menyebabkan lumpuhlah tentera-tentera musyrikin. Baginda Rasulullah s.a.w dan tentera muslimin memenangi perang Badar ini.
Peperangan yang pada awalnya pada fikiran manusia biasa akan berlanjutan selama beberapa hari hanya berakhir sekitar dalam beberapa jam sahaja. Ini adalah peperangan yang paling singkat dan memberi kemenangan kepada tentera yang paling kecil jumlahnya. Kemenangan ini tidak akan dikecapi melainkan dengan bantuan Allah kepada mereka yang benar-benar yakin dan bertawakkal kepada Allah. Al Quran menyebut hal ini,
وَمَا جَعَلَهُ اللَّهُ إِلَّا بُشْرَىٰ لَكُمْ وَلِتَطْمَئِنَّ قُلُوبُكُمْ بِهِ ۗ وَمَا النَّصْرُ إِلَّا مِنْ عِنْدِ اللَّهِ الْعَزِيزِ الْحَكِيمِ
Maksudnya : Dan Allah tidak menjadikan bantuan tentera malaikat itu melainkan kerana memberi khabar gembira kepada kamu dan supaya kamu tenteram dengan bantuan itu. Dan (ingatlah bahawa) pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya dari Allah Yang Maha kuasa lagi Maha Bijaksana. (Ali Imran 3:126)
Rasulullah mengarahkan di cari Abu Jahal yang telah kecundang di medan perang. Abdullah Bin Mas’ud menemui Abu Jahal dalam keadaan nyawa-nyawa ikan lalu beliau menarik janggutnya dan meletakkan kakinya ke leher Abu Jahal. Berkata Abdullah Bin Mas’ud adakah Allah memalukan engkau wahai Abu Jahal?
Berkata Abu Jahal, “dengan apa aku dimalukan?” Tidak ada sebarang aib pun ke atas diriku. Aku hanyalah seorang yang dibunuh oleh kaumku sendiri atau adakah aku lebih dari seorang yang kamu bunuh?”. Kemudian berkata lagi Abu Jahal, “aku mahu bukan orang bawahan yang membunuh aku.” Seterusnya bertanya Abu Jahal lagi, “hari ini keadaan berpihak kepada siapa?”
Kata Abdullah Bin Mas’ud, “kepada Allah dan Rasul.”
Abu Jahal berkata lagi kepada Ibnu Masud yang sedang meletak kakinya ke atas leher Abu Jahal, “kamu sedang mendaki satu tangga yang sukar wahai si pengembala kambing”. (memanglah sebelum ini Ibnu Mas’ud adalah seorang pengembala kambing di Mekah) 
 Akhirnya Ibnu Mas’ud pun memenggal lehernya dan dibawanya ke hadapan Rasulullah s.a.w seraya berkata: “Wahai Rasulullah, “ ini dia kepala Abu Jahal musuh Allah”. 
Jawab Rasulullah s.a.w dan Baginda mengulanginya tiga kali kemudian menyebutnya lagi:. “Ayuh tunjukkan aku di mana jasad Abu Jahal itu.” 
Kami pun pergi ke tempat jasadnya yang terbiar itu dan menunjukkannya kepada Baginda dan kemudian Baginda bersabda: “Inilah dia Firaun umat ini”. 
Kesan peperangan ini telah syahid 6 Sahabat dari Muhajirin dan 8 dari Ansar. Manakala dari kelompok musyrikin 70 telah mati dan berpuluh-puluh dijadikan tawanan perang yang juga terdiri dari panglima Quraisy. Baginda telah melihat mayat-mayat ini dan berkatalah Baginda,
“Kamu sejahat-jahat keluargaku terhadap Rasul kamu. Kamu mendustai aku sedangkan orang lain mempercayai aku, kamu mengecewakan aku, sedangkan orang lain membantu aku, kamu menghalau aku sedangkan orang lain membela aku”. 
Seterusnya Baginda mengarahkan agar mayat-mayat tentera musyrikin dikambus dalam lubang di Badar. Menurut hadis Bukhari Baginda berbicara dengan mayat-mayat tentera musyrikin setelah 3 hari mereka ditanam seperti yang diriwayatkan oleh Abu Talha (ra):
“Pada hari Badar, Rasulullah saw memerintahkan untuk mencampakkan 24 mayat pemimpin Quraisy ke perigi Badar yang kering dan kotor. Merupakan kebiasaan Rasulullah saw jika beliau menguasai sesuatu kabilah musuh, Baginda akan tinggal di medan tempur selama tiga malam. Maka, pada hari ke tiga perang Badar, Baginda memerintahkan agar unta beliau dipasang pelananya dan mulai berangkat serta para sahabat mengikuti beliau sambil bercakap di antara mereka. “Pasti Rasulullah sedang menuju untuk tujuan yang besar.” Ketika Baginda berhenti di sisi perigi itu, Baginda menyapa mayat-mayat kafir Quraisy dengan nama mereka dan nama bapa-bapa mereka, “Hai fulan bin fulan, hai fulan bin fulan! Bukankah kamu bergembira sekiranya kamu telah mematuhi Allah dan RasulNya? Kami mendapati bahawa janji Rabb (Tuhan) kami kepada kami adalah benar. Apakah kamu pun mendapati bahawa yang Rabb kamu janjikan kepada kamu benar? Umar berkata, “Ya Rasulullah! Kamu berbicara kepada tubuh-tubuh yang tidak berjiwa!” Rasulullah s.a.w berkata, “Demi Dia yang ditangannya jiwa Muhammad, kamu tidak mendengar perkataanku lebih baik dibanding mereka.” (Mayat-mayat ini mendengar tetapi tidak boleh menjawab kembali)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *