Caramantap

Inilah Kisah Peperangan Hamra al-Asad | Pertempuran Hebat

×

Inilah Kisah Peperangan Hamra al-Asad | Pertempuran Hebat

Share this article

Peperangan Hamra al-Asad

 

Apabila Baginda dan para Sahabat sudah berada di Madinah, Baginda memikirkan tindakan yang bakal diambil oleh musyrikin Mekah yang dalam perjalanan kembali ke Mekah. Pastinya pihak musuh tidak akan berdiam diri setelah mereka hampir menang di peperangan Uhud. Maka Baginda telah mengarahkan agar pasukan tentera Islam bersiap sedia untuk mengejar musuh walaupun mereka masih lagi dalam kepenatan baru kembali dari medan Uhud.
Seruan untuk menyusun pasukan dan mengejar musuh adalah sehari selepas berakhirnya perang Uhud iaitu hari Ahad 8 haribulan Syawal tahun 3 hijrah. Baginda mengarahkan agar tentera muslimin yang menyertai perang Uhud sahaja yang ikut dalam mengejar musuh. Baginda bersabda, “tidak akan menyertai kita di hari ini kecuali mereka yang menyertai peperangan Uhud semalam.
Kemudian tiba-tiba berkata Abdullah bin Ubai, “bolehkah aku turut bersama kamu?
Jawab Baginda: “Tidak”.
Seterusnya semua kaum muslimin menyahut seruan Rasulullah s.a.w itu meskipun mereka mengalami keletihan yang amat sangat tetapi mereka menjawab, “kami menurut perintah Rasulullah s.a.w penuh taat setia.
Di kalangan tentera Islam tersebut hanya seorang sahaja dizinkan oleh Baginda untuk turut serta yang tidak menyertai Perang Uhud iaitu Jabir bin Abdullah. Beliau tidak menyertai perang Uhud kerana telah diperintahkankan oleh ayahnya yang turut serta dalam perang Uhud untuk menjaga saudara-saudara perempuannya di Madinah.
Tentera Islam terus bergerak keluar dari Madinah dan sampai ke satu tempat yang di namakan Hamra al-Asad. Jaraknya lebih kurang 8 batu dari kota Madinah. Tempat ini telah dipilih sebagai tempat tentera muslimin berehat. Pada masa yang sama pula berita tentang tentera muslimin sedang bergerak mengejar musuh sampai kepada musyrikin Mekah. Ketakutan menyelubungi mereka kerana baru sahaja 3 hari mereka balik dari peperangan kini sudah diburu pula oleh tentera muslimin.
Abu Sufyan menghantar wakil bagi menakutkan tentera muslimin dengan membawa berita kononnya mereka sedang mengumpul pasukan yang lebih ramai dan ramai lagi tentera tambahan dari Mekah akan menyusul bagi menghadapinya. Al Quran menceritakan kisah ini,
الَّذِينَ قَالَ لَهُمُ النَّاسُ إِنَّ النَّاسَ قَدْ جَمَعُوا لَكُمْ فَاخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ إِيمَانًا وَقَالُوا حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ
Maksudnya: Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: “Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya. Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: “Cukuplah untuk (menolong) kami dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami). (Ali Imran 3:173)
Rancangan untuk menakut-nakutkan tentera Islam tidak akan berhasil.
Ugutan musuh untuk memberi tekanan kepada tentera muslimin bahawa mereka akan datang menyerang Madinah tidak sedikit pun memberi bekas kepada keimanan mereka. Bahkan Baginda Rasululah s.a.w dengan beraninya berkhemah menanti mereka di Hamra al-Asad. Dipersilakan musuh untuk datang dan para tentera muslimin sedia menanti untuk menyerang mereka. Perkhemahan para tentera Islam selama 3 hari pada tahun ke 3 Hijrah itu telah menyebabkan musuh tidak berani untuk maju ke Madinah.
Setelah tempoh 3 hari berlalu barulah Baginda dan para tentera kembali ke Madinah. Berita bahawa tentera dari Mekah tidak berani menghadapi tentera muslimin yang dipimpin oleh Baginda tersebar secara meluas. Maka secara perang sarafnya Baginda dan para tentera muslimin telah menang dan musuh sebenarnya ketakutan dan hanya melaungkan kata-kata kosong tanpa tindakan. Segala berita kononya kekuatan pasukan dari Mekah akan menyerang Madinah adalah satu pembohongan semata-mata.
Pada masa yang sama beberapa orang pengintip dari Mekah telah dikenalpasti antaranya ialah Abu Azzah al Jumahi. Beliau pernah ditawan dalam perang Badar oleh tentera muslimin. Namun dibebaskan walaupun tidak mampu membayar wang tebusan kerana kemiskinan serta mempunyai anak-anak perempuan yang ramai. Beliau telah mendapat pengampunan dari Baginda sebelum ini. Perjanjian dengan Rasulullah s.a.w ialah beliau tidak akan sesekali melawan dan menentang Islam lagi selepas dibebaskan. Namun kini beliau mungkiri janji tersebut.
Beliau telah merangsang kaum musyrikin dengan syair-syair semangat untuk menewaskan Islam. Kini beliau telah dapat ditangkap dan beliau telah merayu kepada Rasulullah s.a.w.
“Wahai Muhammad bebaskanlah aku seperti dahulu. Berilah kesempatan untuk aku menjaga anak-anak perempuan aku dan aku berjanji tidak akan mengulangi lagi perbuatan yang sama itu.”
Rasulullah s.a.w berkata, “aku tidak mahu bila kamu pulang ke Mekah nanti kamu akan menunjuk dengan jarimu ke dahi dan berkata, “tengok sekali lagi aku dapat menipu Muhammad.” Sebenarnya orang mukmin tidak dipagut oleh ular dua kali dari lubang yang sama.”
Kali ini tiada lagi kemaafan buat Abu Azzah al Jumahi, lalu Baginda memerintah al-Zubair atau ‘Asim bin Thabit memancung lehernya.
Seorang lagi menerima nasib yang sama ialah Muawiyah Bin al-Mughirah Ibnu Abi Al-Aas, iaitu datuk kepada Abdul Malik bin Marwan sebelah ibunya. Beliau datang menziarahi anak saudaranya iaitu Uthman Bin Affan dan mohon perlindungan selama 3 hari. Namun beliau telah tinggal melebihi 3 hari semasa tentera muslimin belum kembali ke Madinah demi misi mengintip.
Akhirnya beliau diburu ketika keluar secara senyap-senyap sewaktu tentera muslimin kembali ke Madinah. Rasulullah s.a.w memerintah Zaid bin Harith dan Ammar bin Yasir memburunya hingga bertemu dan melaksanakan hukuman bunuh kepada pengintip.
Suatu hakikat yang tidak syak lagi bahawa peperangan Hamra’ al-Asad bukanlah satu peperangan yang berasingan, malah ianya merupakan sebahagian dari peperangan Uhud, malahan sambungan kepada peperangan Uhud dan siri terakhir dari keseluruhan peperangan Uhud berkenaan.
Pos Terkait:  Kegiatan Mengirim Artikel ke Dalam Blog Disebut
close