Serangan Balik Oleh Kaum Musyrikin Setelah Kekalahannya Dalam Perang Badar

Posted on

Serangan Balik oleh Kafir Quraisy 

Kafir Quraisy masih merasa marah atas kekalahan tentera mereka di medan Badar. Api kemarahan ini dinyalakan oleh Abu Sufian, Ikrimah Bin Abu Jahal, Safwan bin Umaiyah, Abu Sufian bin Harb dan Abdullah bin Abi Rabiah. Mereka berpakat menyusun strategi bagi menyerang Madinah sebagai tanda memelihara maruah kaum Quraisy. Setiap hari mereka akan berbicara dengan penduduk Mekah tentang perlunya menebus kekalahan dan menjaga maruah keturunan mereka serta membela kematian para penglima Quraisy yang terbunuh.
Abu Sufian dan para perancang serangan telah bertemu dengan ketua-ketua kabilah yang telah terlepas dari sekatan kaum muslimin ketika mereka membawa barang dagangan kembali ke Mekah. Mereka dihasut antara punca berlakunya peperangan adalah kerana rombongan dagang ini yang dipimpin oleh Abu Sufian telah berjaya melepaskan diri dari sekatan kaum muslimin. Antara ucapan mereka kepada kabilah-kabilah ini seperti berikut,
“Wahai kaum Quraisy, Muhammad telah pun membuat pukulan ke atas kamu dan membunuh tokoh-tokoh kamu, aku mengharapkan agar kamu semua dapat membantu kami, memerangi Yathrib dengan harta-harta ini. Semoga kita dapat menebus kekalahan dan menuntut bela ke atas kematian orang-orang kita sayang itu”. 
Mendengar ucapan ini ketua-ketua kabilah ini bersetuju untuk menyalurkan bantuan dengan harta mereka bagi memastikan segala kelengkapan perang dapat disediakan bagi memerangi kaum muslimin di Madinah. Lantas mereka telah menjual kesemua barang mereka yang terdiri dari seribu ekor unta dan lima puluh ribu dinar wang emas. Mereka yakin dengan menjual segala harta ini mereka dapat menyediakan persiapan yang paling terbaik bagi mengalahkan kaum muslimin di Madinah.
Tindakan mereka ini telah ditempelak oleh al Quran sebagaimana firman Allah,
إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ لِيَصُدُّوا عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ ۚ فَسَيُنْفِقُونَهَا ثُمَّ تَكُونُ عَلَيْهِمْ حَسْرَةً ثُمَّ يُغْلَبُونَ ۗ وَالَّذِينَ كَفَرُوا إِلَىٰ جَهَنَّمَ يُحْشَرُونَ
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang kafir yang selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah, maka mereka tetap membelanjakannya kemudian (harta yang dibelanjakan) itu menyebabkan penyesalan kepada mereka, tambahan pula mereka dikalahkan. Dan (ingatlah) orang-orang kafir itu (akhirnya) dihimpunkan dalam neraka jahanam. (Al Anfal 8:36)
Selain itu kafir Quraisy telah membuat tawaran terbuka kepada sesiapa yang mahu bersama mereka mengepung dan seterusnya menyerang Madinah. Masyarakat biasa iaitu Al Ahabisy, Kabilah Kinanah dan penduduk Tuhamah diberikan peluang bersama dengan panglima-panglima Quraisy dengan janji-janji tawaran dunia yang menarik. Antara yang dipujuk untuk bersama menyemarakkan lagi peperangan ini adalah Abu Azzah. Beliau adalah seorang yang telah dibebaskan oleh Rasulullah s.a.w semasa menjadi tawanan Badar dengan tanpa apa-apa bayaran tebusan. Rasulullah s.a.w telah membebaskannya dengan syarat tidak menyerang lagi umat Islam lagi pada masa akan datang.
Abu Azah telah mengkumandangkan syair-syair semangat untuk berperang dengan kaum muslimin. Syair-syairnya memang memberi kesan terhadap para pasukan tentera Quraisy yang yakin mereka akan beroleh kemenangan dalam peperangan ini. Abu Azah telah lupa perjanjiannya dengan Rasulullah s.a.w kerana harta dunia sudah menguasai jiwanya.
Seterusnya pasukan ini menyusun plan untuk menuju ke Madinah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *