Caramantap

Strategi Tentera Islam Menghadapi Peperangan Uhud

×

Strategi Tentera Islam Menghadapi Peperangan Uhud

Share this article

Strategi Tentera Islam Menghadapi Peperangan Uhud

 

Ketika Baginda berada di Quba seorang utusan yang telah dikirimkan oleh Abbas Bin Abdul Mutalib telah membawa berita kepada Rasulullah s.a.w tentang pergerakan tentera Quraisy. Terdapat perbezaan pandangan bilakah Abbas masuk Islam, ada yang mengatakan sebelum Hijrah namun menyembunyikan keIslamannya dan ada pandangan yang mengatakan selepas menjadi tawanan Badar. Namun yang lebih utama dalam mempersiapkan diri dalam Perang Uhud, Abbas sudah menjadi seorang muslim.
Jarak jangkaan tentera Quraisy akan tiba dianggarkan adalah sekitar 3 hari dengan jarak anggaran 500 kilometer. Rasulullah s.a.w yang telah menerima risalah dari utusan ini yang diserahkan kepada Ubai Bin Kaab yang menemani Baginda di Quba. Baginda mendengar isi kandungan risaah ini yang dibacakan oleh Ubai Bin Kaab dan mengarahkan agar dirahsiakannya. Seterusnya Baginda segera ke Madinah dan memanggil sidang permesyuaratan syura dari kalangan Muhajirin dan Ansar.
Beberapa orang Sahabat telah mencadangkan agar tentera Islam keluar dari kota Madinah untuk menghadapi musuh. Antara yang mengutarakan cadangan ini adalah Hamzah Bin Abdul Mutalib dan Anas Bin Nadr. Setelah mendengar cadangan para Sahabat, Baginda telah menceritakan mimpinya,
“Demi Allah! Sesungguhnya aku telah bermimpi sesuatu yang baik, aku melihat seekor lembu jantan disembelih, mata pedangku sumbing dan aku memasukkan kedua tanganku ke dalam baju besi. Baginda menafsirkan mimpi tersebut lembu jantan sebagai beberapa orang sahabatnya terbunuh, pedang sumbing sebagai seorang keluarganya dibunuh dan baju besi sebagai “al-Madinah.
Maka berdasarkan mimpi ini Baginda memberi cadangan agar mereka menunggu sehingga tentera yang dipimpin oleh Abu Sufyan sampai ke Madinah. Abdullah Bin Ubai bapa munafik yang mengetuai kaum Khazraj antara yang segera bersetuju dengan cadangan Baginda. Tetapi ianya bukanlah keikhlasan beliau melainkan untuk merosakkan kemenangan Islam.
Namun beberapa orang dari kalangan Sahabat yang tidak sempat mengikuti Perang Badar berharap untuk berjihad dan menghadapi musuh di luar dari kota Madinah. Mereka berkata,
“Wahai Rasulullah, sememangnya kami mengharapkan hari seumpama ini dan kami sentiasa berdoa kepada Allah. Kini Allah telah pun membawa hari itu untuk kami, di mana perjalanannya tidak jauh dari sini, semua ini Allah yang memperdekatkannya, Marilah! Keluarlah wahai Rasulullah untuk bersemuka dengan, musuh Allah dan jangan biarkan mereka melihat kita sebagai orang-orang yang pengecut.
Hamzah Bin Abdul Mutalib antara yang paling bersemangat untuk mengetuai peperangan kali ini. Mendengar sahaja kata-kata para Sahabat maka Baginda telah menyebut,
Demi Tuhan yang telah menurunkan ke atas ku al-Kitab, aku tidak akan memakan sebarang makanan hinggalah akan membelasah mereka dengan pedangku ini di luar al-Madinah.
Ada di kalangan para Sahabat yang rasa seolah-olah bersalah ‘memaksa’ Baginda mengikut pandangan mereka untuk bertempur dengan musuh di luar kota Madinah. Saad Bin Muaz dan Usaid Bin Hadhir telah berkata kepada para sahabat, “kamu telah memaksa Rasulullah s.a.w supaya keluar sepatutnya serahkan sahaja urusan ini kepada Baginda.”
Kemudian Abu Bakar dan Umar telah mengikut Baginda ke rumahnya. Mereka berdua telah membantu memakaikan serban ke kepala Baginda. Seterusnya Rasulullah s.a.w mengambil senjata, memakai baju besi, mengalas pedang dan keluar ke hadapan khalayak ramai.
Ketika melihat Baginda datang dengan pakaian lengkap untuk berperang, maka berkatalah Sahabat, “wahai Rasulullah tidak wajar bagi kami mencanggahi tuan hamba, lakukanlah apa sahaja sehendak tuan hamba. Sekiranya Rasulullah s.a.w lebih suka bertahan di al-Madinah, Rasulullah boleh lakukan”.
Lalu Rasulullah s.a.w berkata dengan sabdanya yang bermaksud:
Begitulah mulia dan hebatnya Baginda, boleh sahaja menerima pandangan dari kalangan para sahabatnya walaupun Baginda seorang Rasul. Ianya hanya melibatkan penyusunan strategi bukan menolak perintah Baginda. Ianya bukan juga dianggap sebagai tidak wala’ (taat) kepada Baginda. Urusan menyusun strategi adalah urusan dunia yang perlu kepada pandangan sahabat yang mahir dalam urusan peperangan.
Baginda seterusnya menyusun pasukan yang terdiri dari Muhajirin, Aus dan Khazraj. Jumlah keseluruhan tentera muslimin adalah sekitar 1000 orang. Abdullah Bin Ubay turut serta dalam pasukan ini kerana takut dikatakan sebagi seorang yang pengecut. Baginda juga memeriksa pasukan tenteranya bagi memastikan hanya yang layak sahaja yang turut serta dalam peperangan ini. Tiba di Syaikhan Baginda mengarahkan yang kecil dan belum layak dihantar pulang. Antara yang dihantar pulang ialah Abdullah bin Umar bin al-Khattab, Usamah bin Zaid, Usaiyid bin Zahir, Zaid bin Thabith, Zaid bin Arqam, Urabah bin Awsi, Amru bin Hizam, Abu Said al-Khudari, Zaid bin Harithah, al-Ansari dan Said bin Hibbah.
Namun ada pendapat menyebut di antara yang masih muda dan dihantar pulang ialah al-Barra’ bin Azid tetapi hadith al-Bukhari yang diriwayatkan oleh Azib membuktikan kehadiran beliau di dalam peperangan Uhud Itu. Pada masa yang sama Baginda membenarkan Rafi’ bin Khudaij dan Sumrah bin Jundub walaupun keduanya terlalu muda, tetapi oleh kerana Rafi’ mahir melontar anak panah maka Baginda membenarkannya.
Kemudian Sumrah berkata,”aku lebih gagah darinya, aku pernah mengalahkannya semasa bergusti dengannya, setelah disampaikan hal ini kepada Rasulullah s.a.w, lalu Baginda meminta mereka berdua bergusti dan mereka pun melakukannya. Keputusannya memang Sumrah berjaya mengalahkan Rafi’, maka Rasulullah s.a.w pun membenarkan mereka berdua untuk turut serta dalam peperangan ini.
Pos Terkait:  Bagaimana Cara Kerja Trading Forex?
close