Seruan Dakwah Rasulullah Muhammad Saw Kepada Raja-Raja (bagian 2)

Posted on

Seruan Dakwah Kepada Raja-Raja (bagian 2)

Warkah berikutnya diutuskan oleh Baginda kepada Raja Parsi bernama Raja Khosrau II atau Kisra Abrawaiz. Utusan Baginda yang membawa risalah ini adalah Sahabat yang bernama Abdullah Bin Huzaifah. Menurut riwayat warkah tersebut dibawa ke istana Parsi dan apabila Abdullah Bin Huzaifah tiba Raja Kisra menyuruh pembantunya mengambil surat tersebut namun Abdullah Bin Huzaifah tidak mengizinkanya. Dia berkata surat tersebut hendaklah diserahkan terus ke tangan Raja Kisra sebagaimana arahan dari Baginda.
Maka Raja Kisra akur dan mengambil surat tersebut lalu menyuruh penulis dari keturunan Arab mengambil surat tersebut dan membacanya. Surat itu dibaca dengan awalan seperti berikut,
“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
 Dari Muhammad Rasulullah kepada Kisra yang agung Raja Parsi, keselamatan bagi yang mengikuti petunjuk.”
Baru sahaja mukadimmah surat ini dibacakan tiba-tiba Raja Kisra menjadi marah dan bertindak ganas dengan merampas dan mengoyakkan surat tersebut. Lalu berkatalah Raja Kisra dengan sombong dan bongkaknya, “salah seorang dari hambaku yang hina di dunia, telah berani menulis namanya sebelum nama ku.”
Kemudian Abdullah Bin Huzaifah diusir keluar dari istana. Abdullah Bin Huzaifah terus keluar tanpa rasa gentar walaupun beliau tidak tahu apakah nasibnya sama ada dilepaskan atau dibunuh. Beliau tetap yakin dan berkata, “demi Allah, aku tidak peduli apa yang akan terjadi setelah aku menyampaikan surat Rasulullah.”
Abdullah Bin Huzaifah menunggang kudanya dan meninggalkan bumi Parsi. Raja Kisra yang telah reda dari kemarahannya segera menyuruh para pengawalnya memanggil semula Abdullah Bin Huzaifah namun mereka tidak dapat menjejakinya. Abdullah Bin Huzaifah kemudiannya tiba di Madinah dan menceritakan tindakan Raja Kisra. Mendengar hal itu maka berkatalah Baginda, “Allah akan menghancurkan kerajaannya.” Dalam riwayat lain, “semoga Allah merobek-robek kerajaannya”
Raja Kisra dengan angkuhnya telah menulis surat kepada wakilnya di Yaman iaitu Badzan, “hantarkan dua orang kuat kita ke Hijaz, kemudian tangkap lelaki itu dan bawa ke mari.”
Badzan segera menurut perintah dan menghantar 2 orang membawa perintah kepada Rasulullah s.a.w. meminta Baginda ke istana Kisra di Parsi. Apabila 2 orang suruhan ini sampai ke Madinah, maka mereka berkata kepada Rasulullah s.a.w.,
“Sebenarnya Maharaja Kisra telah pun menulis surat kepada pemimpin Badzan mengarahkan membawa tuan hamba kepadanya oleh itu Badzan telah menghantar kami supaya membawa tuan ke sana.”
Mendengar kata-kata wakil Badzan ini Rasulullah s.a.w meminta mereka berdua menemui Baginda pada keesokan harinya.
 Pada masa yang sama di Parsi berlaku pemberontakan dalam kerajaan pimpinan Raja Kisra selepas pasukan tentera Parsi tewas teruk dalam peperangan dengan kerajaan Rom. Syirowih Bin Kisra iaitu anak kepada Raja Kisra telah membunuh bapanya dan merampas takhta. Peristiwa ini berlaku pada 10 terakhir Jamadil Awal tahun ke 7 Hijrah. Baginda telah dimaklumkan oleh Allah perihal apa yang telah berlaku dalam kerajaan Parsi.
Keesokkan harinya 2 orang wakil Badzan menemui Baginda dan berkatalah Rasulullah s.a.w kepada mereka tentang rampasa kuasa di Parsi dan terbunuhnya Raja Kisra. Maka terkejutlah 2 orang wakil Badzan lalu mereka meminta Baginda bertanggungjawab dengan berita ini dan akan dimaklumkan kepada pemimpin mereka iaitu Badzan. Baginda menggalakkan mereka menceritakan berita ini dan minta disampaikan juga kata-kata Baginda,
“Bahawa agama aku dan kuasaku akan meliputi semua daerah kekuasaan Kisra, kuasa ku akan sampai ke tempat terakhir sampainya pecutan kuda dan langkahan unta, malah ceritakan kepadanya lagi, sekiranya beliau memeluk Islam akan aku serahkan kekuasaan yang ada padanya di hari ini. Akan aku jadikannya sebagai pemerintah ke atas rakyatnya dan pemerintahannya akan diwarisi oleh anak-anaknya.”
Lalu mereka berdua pun keluar dari Madinah menuju ke Yaman untuk bertemu Badzan dan menceritakannya apa yang telah disampaikan oleh Baginda. Berita tentang kematian Raja Kisra juga telah sampai ke Yaman dan setiap apa yang disebut Baginda semuanya benar. Satu warkah telah tiba ke Yaman yang ditulis oleh Syirowih Bin Kisra beliau menyebut, “sila ambil perhatian terhadap lelaki yang bapaku tulis mengenainya, sekali-kali jangan kamu mencelanya hinggalah datangnya kepada kamu perintah ku.
Kesan dari peristiwa ini telah menyebabkan keyakinan Badzan terhadap Baginda Rasulullah s.a.w maka beliau dan bersama orangnya rakyat Parsi yang berada di Yaman semuanya memeluk Islam.
Isi kandungan surat Baginda keseluruhannya kepada Raja Kisra adalah seperti berikut,
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dari Muhammad utusan Allah untuk Kisra, penguasa Parsi yang agung. Salam bagi orang yang mengikuti petunjuk dan beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan bagi orang yang bersaksi bahawa tidak ada Tuhan kecuali Allah yang Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya, dan bagi yang bersaksi bahawa Muhammad itu hamba-Nya dan utusan-Nya. Aku mengajakmu kepada panggilan Allah sesungguhnya aku adalah utusan Allah bagi seluruh manusia supaya aku memberi peringatan kepada orang-orang yang hidup (hatinya) dan pastilah (ketetapan azab) terhadap orang-orang kafir. Peluklah agama Islam maka kamu akan selamat. Jika kamu menolak maka kamu akan menanggung dosa orang orang Majusi.
Raja Rom iaitu Heracules yang terkenal dengan kehebatan pemerintahan tidak terlepas menerima seruan dakwah Baginda. Kerajaan Rom satu kerajaan antara yang terkenal dengan kekuatan ketenteraannya.
Baginda mengutuskan Dihyah Bin Khalifah al-Kalabi membawa warkah Baginda kepada Heracules. Sewaktu warkah ini sampai Heracules sedang merayakan kejayaan kemenangannya ke atas Parsi. Warkah yang dikirimkan kepada Heracules adalah seperti berikut.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
 Dari Muhammad hamba Allah dan utusannya kepada Heracules pembesar Rom. Salam sejahtera ke atas yang mengikuti hidayah, anutilah Islam kamu akan selamat, anutilah Islam kamu akan diberi ganjaran dua kali ganda, sekiranya kamu berpaling tadah maka kamu memikul beban dosa golongan Arisin. Wahai ahli kitab, marilah kamu kepada kalimah yang bersamaan di antara kami dan kamu, bahawa tiada yang kita sembah kecuali Allah dan tidak kita mempersekutukannya dengan sesuatu pun dan tidak sesetengah kita mengangkat yang lain menjadi tuhan selain dari Allah, kalau mereka berpaling, kamu katakanlah: “Jadi saksilah kamu, bahawa kami orang-orang Islam”.
Setelah menerima warkah dari Baginda, maka Heracules ingin mengetahui lebih lanjut berkenaan dengan Baginda. Hercules meminta didatangkan seorang dari bangsa Arab untuk menceritakan berkenaan Baginda. Ketika itu Abu Sufian yang belum Islam sedang membawa rombongan dagang ke Syam telah dijemput ke istana Heracules. Ketika Abu Sufian dan rombongannya tiba maka Heracules telah mengadakan dialog dengan mereka.
Bertanya Heracules, “siapa di antara kamu yang paling dekat hubungan kekeluargaannya dengan tokoh yang mendakwa dirinya sebagai nabi?”
Maka berkata Abu Sufian,”akulah yang terdekat.”
Berkata Heracules, “sila tampil ke mari”. Kemudian bertanya lagi Heracules, “sebenarnya aku hendak tanya mengenai lelaki ini. Sekiranya beliau ini mendustai aku kamu semua sebutkan pembohongannya itu.”
Berkata Abu Sufian, “seawal soal yang dihadapkan kepadaku ialah, bagaimana hubungan kekeluargaannya dengan kamu?” Aku berkata, “dengan kami Baginda berketurunan baik”.
Tanya Heracules lagi, “apakah dakwaan-dakwaannya itu ada orang lain sebelum ini pernah perkatakan?”
Jawab Abu Sufian, “tidak ada.”
Tanya beliau, “adakah sebelum ini bapanya keturunan raja-raja?”
Jawab Abu Sufian, “tiada”.
Tanya beliau lagi, “golongan bangsawan atau golongan lemah yang mengikutinya?”
Jawab Abu Sufian, “malah golongan lemah”.
Tanya beliau, “apakah jumlah mereka hari semakin bertambah atau berkurangan”.
Jawab Abu Sufian, “malah semakin bertambah.”
Tanya beliau lagi, “apakah terdapat penganut agamanya murtad kerana memarahi agamanya?”
Jawab Abu Sufian, “tidak ada”.
Tanyanya lagi, “apakah sebelum ini kamu menempelak beliau sebagai pendusta, sebelum beliau menyeru kepada agamanya?”
Kata Abu Sufian, “tidak sama sekali, malah sepanjang pergaulan kami denganya tidak pernah kami alami darinya sikap seperti ini.”
Kemudian tanya beliau lagi, “bagaimana persengketaan kamu dengannya?”
Jawab Abu Sufian, “persengkataan kami dengannya amat sengit, kadang-kadang kami menang dan kadang-kadang beliau menang.”
Katanya lagi, “apa yang beliau suruh kamu?
Jawab Abu Sufian, “beliau menyuruh kami dengan katanya, “hendaklah kamu semua menyembah Allah Yang Esa, jangan sekali-kali kamu menyekutuiNya dengan sesuatu pun. Hendaklah tinggalkan apa yang diperkatakan oleh nenek moyang kami, Baginda juga menyuruh kami menunaikan solat, bersedekah, bersihkan hati dan tindakan serta menghubung silaturrahim.”
Di akhir dialog Heracules memberikan pendapatnya. Inilah ciri-ciri seorang Nabi menurut pandangannya dan sebagaimana telah beliau baca di dalam Injil. Ternyata semua ciri yang tersebut ada pada diri Rasulullah s.a.w. Raja Heracules telah mengetahui tentang Rasulullah s.a.w dan membenarkan kenabian beliau dengan pengetahuan yang lengkap. Akan tetapi ia dikalahkan rasa cintanya atas takhta kerajaan dan beliau tidak menyatakan keislamannya.
Abu Sufyan menceritakan dialog ini setelah beliau masuk Islam. Heracules memuliakan Dihyah bin Khalifah Al-Kalabi dengan memberikan hadiah sejumlah harta dan pakaian.

1. Warkah kepada Raja Al-Mundzir bin Sawi Kerajaan Bahrain

Baginda telah memilih Sahabat Al-Ala’ Bin Hadrami untuk menyampaikan warkah tersebut. Setelah membaca isi kandung surat tersebut maka Raja Al-Munzir Bin Sawi telah membalas surat tersebut seperti berikut,

“…Wahai Rasullullah, sesungguhnya aku telah membacakan surat kamu kepada penduduk Bahrain. Di antara mereka ada yang menyukai Islam lalu memeluknya. Namun di negeriku terdapat orang-orang Majusi dan Yahudi, maka ceritakanlah kepadaku urusan kamu tentang mereka.”

Baginda kemudiannya membalas surat Raja Al-Munzir Bin Sawi,

“Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang “
 Adapun setelah itu, maka sesungguhnya sesiapa yang menasihati sebenarnya beliau menasihati dirinya, dan sesiapa yang mentaati aku dan sesiapa yang melakukan kebaikan mereka bererti telah melakukan kebaikan atasku. Sebenarnya para utusan aku telahpun memuji kamu dengan baik, sesungguhnya melalui kamu, aku memberi syafaat aku kepada kaum kamu. Oleh itu biarlah kaum muslimin dengan kebebasan mereka dan pengampunan kamu terhadap pesalah-pesalah, maka terimalah mereka. Sekiranya kamu terus soleh dan baik maka kami tidak akan merampas kuasa kamu dan sesiapa yang masih dengan pegangan Yahudi atau Majusinya ianya wajib membayar jizyah.

 2. Warkah kepada Raja Haudzah Bin Ali, Kerajaan Yamamah

Baginda telah menghantar sahabat bernama Salith bin Amru al-Amiri membawa warkah Baginda. Isi kandungan surat tersebut seperti berikut,

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
 Dari Muhammad pesuruh Allah kepada Haudzah Bin Ali, salam kepada yang mengikuti hidayah, ketahuilah bahawa agama aku ini akan tampil ke akhir tempat tersampainya pecutan kuda dan langkahan unta. Terimalah Islam nescaya kamu akan selamat dan akan aku kalahkan segala sesuatu yang di bawah kekuasaan kamu itu selamat serta akan aku berikan apa yang berada di bawah kekuasaan kamu saat ini.”

“Alangkah bagusnya apa yang kamu serukan itu. Orang-orang Arab banyak yang takut terhadap kekuasaan aku. Jika kamu memberikan sebahagian kekuasaan kamu kepadaku, aku akan mengikuti kamu.”

Beliau memberikan pelbagai hadiah kepada Salith Bin Amru al-Amiri. Hadiah-hadiah tersebut diserahkan kepada Baginda. Kemudian berkata Bgainda,

“seandainya ia meminta sebidang tanah kepada aku, tidak akan aku berikan, binasalah, binasalah apa yang dimilikinya saat ini.”

Haudzah tidak masuk Islam dan meninggal dunia pada tahun terjadinya Fathul Mekah.

3. Warkah kepada Raja Al-Harith bin Abi Syamar Al-Ghassani, Kerajaan Damaskus

Baginda memilih Sahabat bernama Syuja’ bin Wahb dari Bani Asad untuk membawa warkah Baginda.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
 Dari Muhammad Pesuruh Allah kepada al-Harith bin Abi Syamar, salam ke atas yang mengikuti hidayah, beriman dan mempercayainya. Sebenarnya aku menyeru kamu supaya beriman dengan Allah Yang Esa yang tiada sekutu bagiNya, denganNya kekuasaan kamu kekal.

Setelah membaca surat ini Al-Harith bin Abu Syamar menolak untuk menerima Islam dan berkata dengan sombongnya.

“Sesiapa yang akan merebut kekuasaan ini dari tanganku maka akulah yang akan menyerangnya.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *