Peristiwa Perlantikan Pengganti Rasulullah s.a.w Sebagai Khalifah

Posted on

Peristiwa Perlantikan Pengganti Rasulullah s.a.w


Setelah wafatnya Rasulullah s.a.w, antara isu yang membelenggu kaum Muhajirin dan Ansar adalah siapakah yang akan menjadi pemimpin Madinah. Berlaku sedikit perdebatan antara mereka dalam menentukan kaum manakah yang lebih berhak menjadi pemimpin. Isu ini sekiranya tidak diselesaikan dengan bijak akan menimbulkan satu masalah yang tidak mudah untuk ditangani.


Kaum Ansar telah berkumpul di satu tempat iaitu Saqifah Bani Saadah dan mencadangkan sahabat Ansar iaitu Saad bin Ubadah sebagai pengganti kepada Rasulullah s.a.w untuk memimpin Madinah. Namun cadangan ini tidak dipersetujui oleh kaum Aus kerana Saad bin Ubadah adalah dari kaum Khazraj. Perlu diingati Ansar di dominasi oleh dua kaum yang  besar iaitu Aus dan Khazraj. Sebelum kedatangan Baginda ke Madinah lagi pertelagahan antara mereka berlarutan agak lama.


Berita tentang pertemuan dan perbincangan kaum Ansar telah sampai kepada pengetahuan Abu Bakar As Siddiq, Umar al-Khattab dan Abu Ubaidah al Jarrah yang ketika itu sedang berbincang  hal berkaitan menguruskan jenazah Rasulullah s.a.w. Berita ini telah disampaikan oleh dua orang Sahabat Ansar iaitu Uwain bin Saidah dan Main bin Adi. Setelah mendengar khabar ini maka mereka segera menuju ke Saqifah Bani Saadah untuk turut serta dalam permesyuaratan perlantikan pengganti Baginda.


Setibanya di situ keputusan pengganti Baginda masih belum mencapai kata sepakat lagi. Cadangan melantik Saad bin Ubadah oleh Ansar turut didengar oleh Abu Bakar, Umar al Khattab dan Abu Ubaidah al-Jarrah. Hujah mereka kaum Ansar lebih layak kerana mereka yang memberi perlindungan kepada Baginda di Madinah ketika penduduk Mekah tidak memberikan perlindungan kepada Baginda. Islam berkembang setelah mendapat sokongan dari Ansar, golongan Ansar tidak pernah meninggalkan jihad bersama Baginda dan pelbagai lagi hujahnya.


Namun Abu Bakar As Siddiq pula mengambil peluang memberikan pandangannya dengan penuh lemah lembut  bahawa kaum Muhajirin adalah yang pertama menerima Islam, nasab mereka dan darah mereka lebih dekat dengan Baginda (perlu difahami bangsa Arab amat prihatin isu keturunan). Wahyu yang pertama diturunkan diimani oleh mereka terlebih dahulu. Kemudian Abu Bakar memberikan kata-kata yang sangat indah dan berjaya mengikat hati orang-orang Ansar iaitu,


“Kami adalah Umara’ (ketua) dan kamu adalah Wuzara’ (pembantu menteri). Arab tidak akan tunduk melainkan kepada keturunan Quraisy maka janganlah kamu memperkecilkan saudara-saudara kamu setelah Allah SWT memuliakan pemberian mereka.”

 

Kemudiannya Abu Bakar As Sidiq mencadangkan Umar al-Khattab dan Abu Ubaidah al-Jarrah sebagai calon pemimpin Madinah. Cadangan beliau segera dibantah oleh Umar al-Khattab dengan berkata beliau tidak akan sanggup memimpin dengan adanya Abu Bakar di dalam masyarakat.


Kaum Ansar kemudiannya mencadangkan agar di buat penggiliran jawatan kepimpinan antara Muhajirin dan Ansar. Namun kebijaksanaan Umar al-Khattab nampak jelas dengan tidak membiarkan isu ini berlarutan dan beliau yakin sebenarnya ianya akan menimbulkan masalah yang lebih kusut. Lalu berkata Umar al-Khattab,


“Wahai Sahabat, ini Abu Bakar yang menemani Rasulullah s.a.w di Gua Hira. Allah menyebut tentangnya di dalam al-Quran (surah Taubah ayat 40). Rasulullah s.a.w meredhainya menjadi imam di dalam solat kamu. Siapakah di kalangan kamu yang sanggup menjadi imam kepada Abu Bakar? Siapa yang rela sila datang ke hadapan.”


Tiada siapa yang sanggup keluar maka Umar al-Khattab segera meminta Abu Bakar menghulurkan tangannya untuk diberikan perjanjian (bi’ah). Basyir bin Saad segera berjabat tangan dengan Abu Bakar untuk menjadi orang pertama berbaiah kepada Abu Bakar kemudiannya diikuti oleh Umar al Khattab dan para Sahabat yang lain. Semuanya menerima keputusan ini dengan senang hati dan gembira.


Masa sudah lewat petang jenazah Baginda masih belum dikebumikan lagi. Lihatlah betapa pentingnya isu kepimpinan yang tidak boleh dipandang ringan oleh umat Islam sehingga urusan pengebumian Baginda masih belum dilaksanakan. Hanya pengganti Baginda yang layak memberikan arahan bagaimana untuk menguruskan jenazah Baginda. Dalam konteks zaman kita tidak sepatutnya isu pomboikotan atau undi rosak menjadi pilihan orang beriman. Jika isu pemilihan pemimpin diambil mudah maka bencana kerusakan akan berpanjangan. Jadilah orang Islam yang bijak yang memanfaatkan segala pancaindera dalam memilih kepimpinan. Hindarilah kerosakan yang lebih besar sekiranya terpaksa memilih antara dua kerusakan

.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *