Jumat, 02 Oktober 2020

Peperangan Khaibar (bagian 2) | tentera muslimin menuju ke kota Khaibar

Peperangan Khaibar (bagian 2)


Ketika tentera muslimin menuju ke kota Khaibar, Baginda bertanya siapa yang mahu bermadah (menghiburkan tentera dengan syair atau puisi) lalu pertanyaan itu disambut oleh Amir Bin Akwa. Beliau mempunyai suara yang merdu dan menghiburkan. Setiap bait ungkapannya menyebabkan semua gembira hinggakan terlihat pada gaya badan yang mengasyikkan. Kemudian tiba-tiba Baginda mengungkapkan ‘Yarhamukallah” kepada Amir Bin Akwa. Ungkapan itu biasanya diucapkan untuk orang yang akan mati dan Amir Bin Akwa kemudiannya termasuk golongan yang syahid di medan Khaibar.

Seterusnya tentera muslimin bertakbir dan berdoa dengan kuat ketika hampir dengan kota Khaibar lalu ditegur Baginda agar memperlahankan suara. Kemudian Baginda berdoa dengan mereka semua,

“Wahai Allah, Tuhan segala langit dan segala yang dinaungi di langit. Serta Tuhan segala bumi dan apa yang ada di bumi, Tuhan semua Syaitan dan apa yang mereka sesatkan dan Tuhan segala angin dan apa yang ditiup angin. Sesungguhnya kami memohon kebaikan negeri ini dan kebaikan penduduknya dan apa yang ada padanya. Kami berlindung dengan Mu dari kejahatan penduduknya dan kejahatan yang ada di dalamnya. Majulah dengan nama Allah.”

Tentera muslimin sudah tiba dekat kota Khaibar pada waktu malam. Manakala tentera musuh pula tertidur lena tanpa menyedari ketibaan tentera muslimin. Keesokkan paginya Baginda mengimamkan solat subuh di sebalik pokok-pokok tamar di luar kota Khaibar. Pada waktu awal paginya menjadi kebiasaan tentera musuh akan keluar awal untuk meninjau kedudukan tentera muslimin namun kali ini mereka terlena hingga tidak sedar. Penduduk Khaibar terus menuju ke kebun mereka tanpa menanti isyarat dari tentera Khaibar. Apabila memasuki kebun tamar maka terkejutlah mereka melihat tentera muslimin berada di kebun-kebun mereka. Maka bertempiaran mereka melarikan diri menuju ke kubu kota Khaibar.

Baginda tidak mengizinkan para tenteranya mengejar para penduduk ini walaupun ada yang sangat bersemangat untuk berperang. Strategi perang perlu diatur bukan dengan cara mengikut rentak apa yang melintas di hadapan. Kemudian sekali lagi di awal pagi Baginda mengumpulkan para tenteranya seraya berdoa kepada Allah,

“Wahai Allah, Engkaulah Tuhan kami dan Tuhan mereka. Nasib kami dan nasib mereka ditanganMu. Allah Engkaulah yang membunuh mereka”

Begitulah ajaran Baginda agar sentiasa memulakan setiap perkara dengan mengharap kepada Allah. Doa adalah senjata yang paling ampuh yang dimiliki oleh umat Islam. Musuh sudah bersedia untuk mengempur tentera muslimin. Mereka nekad tidak mahu tunduk kepada Baginda dan sanggup menghadapi apa jua kemungkinan. Manakala tentera muslimin tetap yakin dengan janji Allah mereka akan menang walaupun logik akal melihat kepada jumlah musuh yang ramai solah-olah mereka tidak mungkin memenangi peperangan ini. Benteng musuh pula bukan sedikit dan mereka memasuki penempatan yang selok belok laluannya dikuasai oleh musuh.

Pintu kubu mula dibuka untuk serangan pertama oleh Yahudi Khaibar.....bersambung esok. Insya Allah

Tetera Yahudi Khaibar telah membuat beberapa kubu bagi menyekat kemaraan tentera muslimin. Kubu-kubu tersebut adalah: 

1. Kubu Na’im - dikawasan al-Nutah
 2. Kubu al-Sa’ab bin Muaz - di kawasan al-Nutah
 3. Kubu al-Zubair - di kawasan al-Nutah
 4. Kubu Ubay - di kawasan al-Syaq
 5. Kubu al-Nazar - di kawasan al-Syaq
 6. Kubu al-Qamus - dikawasan kabilah Abu al-Haqiq keturunan Bani al-Nadhir. 
 7. Kubu al-Watih 
 8. Kubu al-Salalim 

Selain itu terdapat kubu-kubu yang lain dalam kawalan yang kecil. Kini hanya menanti waktu sahaja peperangan sudah tidak dapat dielakkan lagi. Yahudi Khaibar tetap tidak mahu tunduk dengan kepimpinan Baginda mereka memilih untuk berperang. Maka tentera muslimin pula tidak rasa gentar kerana janji Allah tetap benar. Tiba-tiba seorang lelaki berkulit hitam hamba kepada seorang Yahudi datang ke tempat tentera Islam dengan membawa kambing gembalaan milik tuannya. Beliau datang bertemu Baginda dan mengistiharkan keislamannya. Baginda merasa gembira dengan keislamanan lelaki ini.

Lelaki ini bertanya bagaimana dengan kambing gembalaannya adakah diambil sahaja. Namun Baginda mengarahkan dipulangkan kerana ianya adalah amanah tuannya. Lelaki berkata jika mereka mengetahui keislamannya pastilah beliau akan dibunuh. Maka Baginda mengatakan lepaskan sahaja kambing-kambing ini dihadapan pintu kubu nescaya kambing ini akan masuk ke kubu tersebut. Lelaki ini mengikut arahan Baginda. Beliau masuk Islam pada waktu pagi dan berperang bersama tentera Islam pada waktu tengahari kemudianya dia menemui syahid. Lelaki ini tidak sempat pun menunaikan solat. Kemudian berkata Baginda;

“Siapa yang ingin melihat kepada ahli syurga yang tidak pernah solat lihatlah kepada lelaki ini. Sekarang bersamanya dua orang bidadari syurga.”

Peperangan meletus di kubu Na’im dan berlanjutan beberapa hari. Kemudian seorang panglima Khaibar bernama Mahrab keluar dari kubunya dan mencabar tentera Islam bertarung satu lawan satu. Ali Bin Abi Talib keluar untuk menyahut cabaran Mahrab tetapi dihalang oleh Muhammad Bin Maslamah yang meminta izin untuk menentang Mahrab yang pernah membunuh adiknya. Pertarung berlangsung dengan sengit dan lama hingga sampai ke satu masa Muhammad Bin Maslamah berjaya mencantas kaki Mahrab. Lalu dicantas pula kaki Mahrab yang satu lagi. Mahrab meminta agar dia dibunu sahaja dalam keadaan begitu tetapi serta Muhammad bin Maslamah meninggalkan Mahrab dalam kesakitan dan pendarahan yang banyak. Kemudian datang Ali Bin Abi Talib memenggal kepala Mahrab.

Peralatan perang Mahrab diambil oleh Ali Bin Abi Talib, manakala Muhammad Bin Maslamah menceritakan kepada Baginda dia telah membunuh Mahrab yang dibiarkan hampir mati dengan kaki yang sudah dicantas. Baginda mengarahkan segala peralatan perang milik Mahrab yang berada di tangan Ali Bin Abi Talib diserahkan kepada Muhammad Bin Maslamah kerana beliau lebih berhak memilikinya ianya disebut harta “Salab”.

Kematian Mahrab menyebabkan peperangan semakin rancak. Pihak musuh mencabar lawannya secara solo. Pastinya tentera Islam menyambutnya dengan hati yang lapang. Berlakulah pertarungan antara satu lawan satu. Siapakah yang bertarung dengan musuh?

Simak kisah selanjutnya di bagian 3..!!!


EmoticonEmoticon