Caramantap

Kisah Pemuda Cerdas Utusan Rasulullah Muhammad Saw | Muas’ab bin Umair

×

Kisah Pemuda Cerdas Utusan Rasulullah Muhammad Saw | Muas’ab bin Umair

Share this article

Mus’ab Bin Umair

Nama beliau adalah Mus’ab Bin Umair Bin Hashim Bin Abdul Manaf Bin Abdud Dar Bin Qushay Bin Kilab al Abdari al Qurasyi. Beliau berketurunan bangsawan Quraisy dan seorang yang datang dari keluarga yang kaya. Beliau lahir empat belas tahun selepas kelahiran Baginda Rasulullah s.a.w.
   Mus’ab Bin Umair seorang anak yang sangat disayangi oleh ibunya. Beliau sentiasa mengenakan pakaian dari kain yang mahal kualitinya, rambutnya sentiasa disisir rapi dan memakai wangi-wangian yang harum. Para gadis terpaku melihat ketampanan dan keluhuran akhlaknya.  Satu hari beliau telah mendengar tentang Rasulullah s.a.w yang mengajarkan agama di rumah Arqam bin Abi Al Arqam. Lalu beliau telah menghadiri majlis ilmu tersebut dan mendengar alunan al Quran yang dibacakan oleh Baginda. Apabila mendengar alunan al Quran jiwanya terasa tenang dan beliau menerima Islam. Ketika itu dakwah masih disebarkan secara senyap-senyap. Begitulah setiap ketika Mus’ab akan mencari masa dan secara diam-diam akan menghadiri majlis Rasulullah s.a.w.  Kafir Quraisy sentiasa memerhati tingkah laku penduduk Mekah yang dicurigai akan menerima dakwah Rasulullah s.a.w. Pada satu hari ketika Mus’ab menuju ke rumah Arqam seorang lelaki bernama Uthman Bin Thalhah telah melihat beliau memasuki rumah Arqam dan keesokkannya pula dia melihat Mus’ab solat seperti Rasulullah s.a.w. Uthman Bin Thalhah telah melaporkan kepada ibu Mus’ab tentang keislamannya.  Ibu Mus’ab seorang wanita yang tegas, penyembah berhala yang kental dan wanita yang digeruni sangat marah apabila mengetahui Mus’ab telah meninggalkan sembahan kepada berhala. Mus’ab pulang ke rumah dan mendapati ibunya, ahli keluarganya dan pembesar Mekah sudah bersedia mahu mendengar penjelasan darinya tentang keislamannya. Mus’ab menerangkan beliau beriman kepada Allah dan Rasulullah, beliau telah membacakan beberapa ayat al Quran sebagai hujah kebenaran serta mengajak mereka kepada Islam.  Ibunya amat marah dan berulang kali mengajaknya kembali kepada agama penyembahan kepada berhala. Pujukan, desakan, amaran dan pelbagai cara digunakan untuk mengembalikan Mus’ab kepada agama asal yang menyeleweng tetapi semuanya tidak berjaya. Penganiayaan kepada fizikal mula dikenakan kepada Mus’ab, tidak diberi makan dan minum dan dikurung oleh keluarganya sehingga kesan luka nampak pada tubuhnya. Namun Mus’ab tetap dengan keimanannya. Ibunya hampir hilang arah lalu telah bernazar di hadapan berhala tidak akan makan dan minum sehingga Mus’ab kembali kepada agama asal mereka.  Satu hari Mus’ab melihat ibunya dalam keadaan yang pucat lesi akibat dari nazar tidak mahu makan dan minum. Beliau telah menghampiri ibunya dan bertanya kenapa ibunya tidak mahu makan dan minum. Ibunya berkata itu nazarnya kepada berhala yang disembah. Mus’ab yang merasa sedih melihat keadaan ibunya tetap dengan keimanan kepada Allah dan Rasul bahkan mengajak ibunya agar menerima Islam sebagai agama kehidupan.  Keluarga Mus’ab tidak dapat berbuat apa-apa lagi dengannya, kemudian Mus’ab telah dihalau keluar dari rumah tanpa memiliki apa-apa pun. Beliau telah bekerja menjual kayu api untuk menyara hidupnya. Para penduduk Mekah melihat Mus’ab seorang yang hebat dahulunya dengan pakaian yang mahal, rambut yang sentiasa tersisir, haruman dari minyak wangi dan kesegakkan tubuhnya kini adalah seorang yang tidak memiliki apa-apa kemewahan. Semuanya demi mempertahankan aqidahnya dan keimanannya.  Ali bin Abi Talib berkata, “Satu hari kami duduk bersama Rasulullah s.a.w di masjid, kemudian muncullah Mus’ab bin Umair dengan mengenakan kain burdah yang kasar dan memiliki beberapa tampalan. Ketika Rasulullah s.a.w. melihatnya, beliau pun menangis teringat akan kenikmatan yang dia miliki dahulunya (sebelum memeluk Islam) dibandingkan dengan keadaannya sekarang.” (Hadis Tirmidzi ).
Ketika tekanan kepada penganut Islam semakin kuat di awal-awal Islam, Mus’ab antara yang tidak terlepas dari ujian ini. Rasulullah s.a.w telah mengarahkan Mus’ab berhijrah ke Habsyah bersama sahabat-sahabat yang lain. Beliau pernah kembali ke Mekah dan mengikuti rombongan kedua yang berhijrah ke Habsyah semula. Apabila beliau kembali ke Mekah dilihat tubunhnya kurus dan memakai pakaian yang bertampal.   Mus’ab mempunyai badan yang cergas dan ilmu pengetahuan yang mantap tentang Islam. Rasulullah s.a.w telah memilih beliau untuk dihantar menjadi duta Islam ke Madinah. Tugas beliau adalah berdakwah dan mengajarkan tentang Islam kepada penduduk Madinah. Tugas yang berat ini berjaya dilaksanakan dengan jayanya oleh beliau sebelum Baginda sampai ke Madinah. Penduduk Madinah amat senang dengan dakwah Mus’ab.  Satu hari ketika Rasulullah s.a.w sedang duduk dengan para sahabat di Masjid Quba, Mus’ab datang menghampiri Baginda. Zubair bin al-Awwam mengatakan,   “Satu ketika Rasulullah s.a.w sedang duduk dengan para sahabatnya di Masjid Quba, lalu muncullah Mush’ab bin Umair dengan kain burdah (jenis kain yang kasar) yang tidak menutupi tubuhnya dengan sempurna. Orang-orang yang berada disekiling pun menundukkan kepalanya. Kemudian dia mendekat dan mengucapkan salam. Mereka menjawab salamnya. Lalu Nabi s.a.w memuji dan mengatakan perkara yang baik-baik tentangnya. Lalu Baginda bersabda, “Sungguh aku melihat Mus’ab semasa bersama kedua orang tuanya di Mekah, mereka memuliakan dia dan memberinya berbagai macam kemudahan dan kenikmatan. Tidak ada pemuda-pemuda Quraisy yang sama dengan dirinya. Kemudian itu, dia tinggalkan semuanya itu demi menggapai redha Allah dan menolong RasulNya…” (HR. Hakim)  Begitulah hebatnya Mus’ab sehingga para sahabat sangat kagum dengan kemampuannya menghadapi ujian dunia, semata-mata demi mempertahankan aqidah Islam. Semasa perang Uhud Mus’ab telah dipilih untuk turut serta dengan membawa bendera Islam. Peperangan ini telah menjadi huru-hara apabila arahan Baginda tidak dipatuhi oleh para sahabat yang menyebabkan ramai sahabat yang syahid. Ketika berlakunya peperangan ini Mus’ab tetap teguh dengan bendera Islam serta melaungkan kalimah agung untuk menarik perhatian musuh agar Rasulullah tidak menjadi sasaran mereka.   Tiba-tiba laungan Mus’ab telah menarik perhatian musuh bernama Ibnu Qumaiah yang menyangka Mus’ab adalah Rasulullah. Apa yang dilakukan oleh Mus’ab adalah bagi mengelirukan musuh agar mereka menyangka beliau adalah Rasulullah. Ibnu Qumaiah meluru dengan menunggang kudanya dan telah menyerang Mus’ab dengan menebas tangan Mus’ab hingga putus. Namun Mus’ab tetap melaungkan ayat al Quran,  وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِ الرُّسُلُ ۚ  Maksudnya : “Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul.” (Ali Imran 3: 144).  Ibnu Qumaiah menebas tangan Mus’ab yang satu lagi dan menikam dadanya dengan tombak yang menyebabkan Mus’ab gugur syahid. Baginda Rasul telah menyerahkan bendera kepada Ali Bin Abi Talib. Setelah peperangan selesai Baginda memeriksa pasukan tentera Islam yang syahid. Abu Hurairah menceritakan,   “Setelah perang Uhud selesai, Rasulullah s.a.w mencari para sahabatnya yang gugur. Ketika melihat jasad Mus’ab bin Umair yang syahid dengan keadaan yang menyedihkan, beliau berhenti, lalu mendoakan kebaikan untuknya. Kemudian beliau membaca ayat al Quran,
  مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُمْ مَنْ قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا
Maksudnya : “Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah, maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak megubah (janjinya).” (Al-Ahzab 33: 23).  Kain kafan untuk menutup jasad Mus’ab tidak cukup panjang, apabila ditarik keatas untuk menutupi kepalanya, maka terbukalah kedua kakinya. Sebaliknya, bila ditutupkan ke kakinya, terbukalah kepalanya. Sehingga Rasulullah bersabda, “Tutupkanlah bahagian kepalanya dan kakinya tutupilah dengan rumput idkhir.”  Rasulullah telah bersabda dihadapan para sahabat apabila melihat jasad Mus’ab.  “Ketika di Mekah dahulu, tidak ada seorang pun aku lihat yang lebih halus pakaiannya dan lebih rapi rambutnya daripadanya. Tetapi sekarang ini, dengan rambutmu yang kusut masai, hanya dibalut sehelai burdah.”   Mush’ab wafat setelah 32 bulan hijrahnya Nabi ke Madinah. Ketika di usia 40 tahun.
Pos Terkait:  Jelaskan 3 Cara Membuka Command Prompt
close