Caramantap

Kisah Kemenangan Sementara Saat Perang Uhud | Sebelum Pukul Mundur

×

Kisah Kemenangan Sementara Saat Perang Uhud | Sebelum Pukul Mundur

Share this article

Kemenangan sementara di perang uhud

Khalid Bin Al Walid yang mengetuai pasukan berkuda beberapa kali cuba merempuh medan Uhud tetapi gagal dihalang oleh pasukan pemanah dari kalangan tentera Islam yang berada di atas bukit. Baginda Rasul telah menyusun pasukan pemanah yang berjumlah 50 orang pada kedudukan yang sangat strategik. Cubaan untuk merempuh pasti dihujani dengan anak-anak panah. Akhirnya Khalid Bin Al Walid dan pasukannya tidak dapat mara untuk melakukan serangan.
Di medan pula tentera kafir Quraisy sudah letih bertempur dengan para tentera muslimin. Ketangkasan para panglima Islam tidak dapat ditandingi lagi sehingga apa jua pakaian besi yang dipakai tidak dapat mempertahankan diri dari serangan tentera Islam. Sebagai contoh seorang tentera musuh yang memakai baju besi dan pedang yang panjang serta menunggang unta telah mencederakan ramai dikalangan tentera muslimin.
Belum sempat pedang mereka singgah ditubuh beliau pedangnya telah mendahului mengena tubuh tentera muslimin. Lalu perkara ini disampaikan kepada Baginda maka ditawarkan oleh Baginda siapa yang mahu menghadapi musuh ini. Tawaran Baginda telah disahut oleh Zubair Al Awwam. Lalu bersabda Baginda “wahai Zubair jika kamu tidak menyahut tadi nescaya aku yang akan menghadapi orang ini.”
Berkata Zubair, “aku menghampiri orang ini dan aku mencari ruang di mana aku boleh membunuhnya namun aku dapati tiada ruang terbuka untuk membunuhnya. Lalu aku berpusing kelilingnya dan bila berada dibelakang untanya, aku tikam untanya dan aku lompat ke atas untanya dan menolaknya ke bawah. Apabila dia jatuh aku tikam dengan gerambit dan berjaya membunuhnya.” Begitulah kehebatan Zubair dalam menghadapi musuh.
Kegembiraan tentera muslimin melihat pasukan musuh lari dan mereka mengejarnya serta mula mengumpul harta yang ditinggalkan oleh musuh. Pasukan pemanah yang berada di atas bukit juga melihat dan menyangka peperangan telah tamat. Mereka mulai turun dari bukit tetapi di tegah oleh Abdullah Bin Jubair dengan berkata, “Rasulullah s.a.w arahkan kita jangan bergerak dari sini.”
Mereka menjawab dengan berkata, “itu ketika peperangan belum tamat sekarang sebaliknya peperangan telah tamat dan tentera kafir telah lari.”
Mereka mulai turun dan hanya tinggal 9 orang sahaja yang tetap diatas bukit. Khalid Al Walid memerhati dari jauh dan mula menyusun strategi baru….
Kesempatan segera diambil oleh Khalid Bin Al Walid untuk menyerbu Bukit Rummah yang telah ditinggalkan oleh tentera muslimin yang sibuk dengan mengumpul harta rampasan perang. Pasukan Khalid Bin Al Walid segera menuju ke belakang bukit dan menguasai kepungan kepada tentera Islam. Serangan dilakukan dari belakang dan telah menyebabkan Abdullah Bin Jubair dan beberapa orang yang masih bertahan di atas bukit syahid akhirnya.
Laungan kuat pasukan Khalid Al Walid yang menguasai medan telah menaikkan semangat tentera musuh. Seorang wanita bernama Umrah Binti Alqamah al Harithah iaitu seorang wanita musyrik telah mengangkat kembali bendera mereka. Maka segeralah berkumpul tentera musuh di keliling bendera untuk membina semula pasukan untuk memulakan serangan. Serangan berlaku dengan pantas dan bertalu-talu sehingga menyebabkan tentera muslimin mulai panik dan terkepung.
Kini Bukit Rummah dan medan perang sudah dikuasai oleh pasukan Khalid Bin al Walid. Jumlah musuh yang banyak sudah tidak mampu lagi dihadapi dengan mudah oleh tentera Islam. Baginda Rasul melihat keadaan genting ini dan segera membuat keputusan yang sangat genting. Baginda boleh sahaja berundur dan beredar atau meletakkan kedudukan Baginda dalam bahaya. Kebijaksanaan Baginda terserlah apabila memilih untuk melaungkan kalimat yang meletakkan diri Baginda sebagai sasaran demi menyelamatkan tentera muslimin.
Baginda melaungkan, “ke sini wahai semua hamba-hamba Allah, ke sini semua wahai hamba-hamba Allah sesungguhnya aku ini pesuruh Allah.”
Laungan ini sebenarnya lebih mudah didengar oleh musuh dari tentera muslimin yang sedang kelam kabut di medan. Akibatnya musuh segera beralih dari menyerang tentera muslimin kini menjadikan Baginda sebagai sasaran utama. Serangan makin kuat sehingga Baginda terjatuh ke dalam lubang yang telah dibuat oleh Amir yang bersama dengan musuh. Walaupun terjatuh Baginda tetap menyeru kepada tentera muslimin untuk bersama Baginda.
Beberapa orang di kalangan Sahabat iaitu Abu Bakar, Ali Bin Abi Talib, Umar Al Khattab, Abdul Rahman Bin Auf, Abu Dujanah, Talhah Bin Ubaidillah dan 7 orang pahalawan Ansar serta beberapa pasukan perawat wanita berkumpul dekat dengan Baginda. Umar Al Khattab diperintahkan untuk mengusir pasukan Khalid Bin Al Walid dari Bukit Rummah.
Serangan terus tidak berhenti sasaran menuju kepada Baginda. Bahu Baginda telah ditetak dengan pedang tetapi tidak luka kerana terkena baju besi Baginda. Namun kesakitan akibat tetakan itu ditanggung lama oleh Baginda. Serangan ini menyebabkan Baginda tidak dapat keluar dari lubang yang Baginda terjatuh ke dalamnya. Serangan datang lagi dengan jumlah yang ramai sehingga ada yang lolos dan menghentak topi besi Baginda. Akibatnya ada bahagian besi dari topi tersebut masuk ke kepala Baginda. Abdul Rahman Bin Auf cuba untuk mencabut besi tersebut tetapi tidak berjaya kemudian beliau telah menggunakan giginya untuk mencabut besi tersebut sehingga patah giginya. Darah mengalir banyak di kepala Baginda telah dirawat oleh Fatimah dan Ali Bin Abi Talib.
Serangan juga berlaku pada muka Baginda sehingga patah gigi geraham akibat hentakan kuat pada bahagian muka Baginda. Begitulah hebat serangan musuh yang tidak henti-henti menyerang Baginda. Para Sahabat tidak berganjak dengan mempertahankan Baginda antaranya adalah Nusaibah yang membuat serangan balas walaupun tetakkan sudah mengena bahunya namun beliau tetap menyerang musuh yang ramai. Abu Dujanah pula melindungi Baginda dengan belakangnya dari serangan panah sehingga penuh anak-anak panah di belakang Abu Dujanah.
Pos Terkait:  Cara Melihat Orang yang Kepoin FB Kita di HP
close