Perjalanan Dakwah Rasulullah Muhammad Saw (bagian 6) Turun Dari Gua Khira’

Posted on

Perjalanan Dakwah Rasulullah Muhammad Saw (bagian 6) Turun Dari Gua Khira’

Rasulullah turun dari Gua Hira dalam keadaan cemas dan terus menuju ke rumahnya. Sungguh peristiwa yang telah dialami oleh Baginda telah menyebabkannya rasa sangat terkejut. Apabila sahaja tiba di rumah terus Baginda mendapatkan Khadijah dan minta diselimutkan. Permintaan aneh Baginda terus dilayan oleh Khadijah tanpa banyak soal jawab. Khadijah amat mengenali suaminya pasti ada sesuatu yang telah menyebabkan Baginda berkelakuan aneh. Namun sebagai isteri yang bijak Khadijah membiarkan Baginda tenang dahulu. Khadijah tidak terburu-buru dan membiarkan Baginda menceritakan apakah sebenarnya yang telah berlaku kepada Baginda.
Sememangnya wahyu itu turun kepada Baginda dalam keadaan yang berat. Bukan hanya dari sudut menyampaikannya bahkan berat kepada fizikal Baginda. Lihat firman Allah,
إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلًا ثَقِيلًا
Maksudnya : Sesungguhnya Kami akan menurunkan kapadamu perkataan yang berat.” (Al-Muzzammil 73: 5).
Apabila Baginda sudah tenang maka diceritakan apa yang berlaku kepadanya sewaktu berada di Gua Hira. Khadijah mendengar dengan teliti lantas memujuk Baginda dengan menceritakan kebaikan Baginda. Pastinya segala kebaikan yang dilakukan oleh Baginda tanpa mengharapkan sesuatu tidak disia-siakan oleh Allah itulah antara kata-kata Khadijah kepada Rasulullah.
Besar sungguh peranan Khadijah sebagai isteri solehah. Beliau tidak sesekali sangsi terhadap apa yang diceritakan oleh Baginda. Bahkan tetap memberi inspirasi dan motivasi kepada Baginda yang sangat perlukan sokongan dan kepercayaan. Bukan setakat mempercayai Baginda bahkan Khadijah berusaha memikirkan solusi terhadap peristiwa yang berlaku kepada Baginda.
Seterusnya Khadijah telah mencadangkan agar Baginda bertemu dengan Waraqah Bin Naufal. Beliau adalah seorang yang alim dan beriman kepada ajaran Nabi Musa dan Isa. 
Dibawanya Rasulullah bertemu dengan Waraqah. Apabila diceritakan apa yang berlaku lantas Waraqah mengatakan peristiwa serupa pernah berlaku kepada Nabi Musa iaitu yang menemuinya adalah malaikat Jibril. Seterusnya dijelaskan lagi bahawa sesungguhnya Baginda adalah Rasul terakhir yang diutuskan kepada ummat sebagaimana diterangkan dalam Taurat. 
Waraqah yang sudah lanjut usianya berkata sekiranya beliau panjang umur pasti dia akan turut sama bersama Rasulullah. Ini kerana Baginda akan melalui jalan yang sukar dalam dakwah kepada kaumnya. Baginda diberitahu oleh Waraqah, akan sampai satu masa Baginda akan diusir dari Mekah. Penjelasan ini amat memeranjatkan Baginda, bagaimana kaumnya yang memberi gelaran al Amin kepadanya sanggup melakukan pengusiran terhadap Baginda. Semuanya satu yang sukar difahami oleh Baginda ketika itu. 
Bahkan Waraqah menjelaskan lagi Baginda akan dimusuhi oleh kaumnya yang tidak sedikit pula jumlahnya. Namun Waraqah tidak lama selepas itu meninggal dunia dan tidak sempat bersama Baginda semasa penurunan wahyu berikutnya. 
Wafatnya seorang yang beriman dengan kerasulan  Nabi Muhammad. Seorang yang teguh dengan ajaran yang hanif, ajaran tauhid yang dibawa oleh Nabi Musa dan Isa. Rasulullah  bersabda,
لا تَسبُّوا ورقةَ بنَ نوفلٍ، فإنِّي رأيتُ له جَنةً أو جَنتينِ
Maksudnya : Jangan kamu  mencela Waraqah bin Naufal. Sesungguhnya aku melihat dia memiliki satu atau dua taman (di syurga).”  (HR. al-Hakim 4211. Ia mengatakan hadit sahih sesuai dengan syarat al-Bukhari dan Muslim)
Kewafatan Waraqah menyebabkan Rasulullah bersedih beliaulah yang memberinya kekuatan dan keyakinan tentang datangnya risalah. Semoga Allah tetap meredhai dan merahmati Waraqah bin Naufal.
Kisah bersambung….

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *