Caramantap

Seruan Dakwah Nabi Muhammad Saw Kepada Raja-Raja (bagian 1)

×

Seruan Dakwah Nabi Muhammad Saw Kepada Raja-Raja (bagian 1)

Share this article

Seruan Dakwah Kepada Raja-Raja.

Dakwah adalah tugas Baginda yang paling utama. Ini antara misi utama Baginda diutuskan. Setiap tindakan dan strategi Baginda sentiasa memastikan agar dakwah akan berkembang serta seruan Tauhid akan sampai ke seluruh pelusuk dunia. Sesuailah dengan firman Allah dalam al Quran,
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ
Maksudnya : Dan tiadalah Kami mengutus kamu (Muhamamda) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam. (Al Anbiya 21:107)
Kesan Perjanjian Hudaibiyah telah mengiktiraf Baginda sebagai pemimpin negara Madinah yang sekaligus memberi ruang yang besar untuk dakwah berkembang. Pada hujung tahun ke 6 Hijrah selepas Perjanjian Hudaibiyah, Baginda mula mengutus surat kepada para Raja menyeru mereka menerima Islam. Para Sahabat menyampaikan kepada Baginda bahawa para Raja ini tidak akan melayan surat yang tidak mempunyai cop mohor sebagai bukti datangnya dari pemimpin sesebuah negara. Maka Baginda mengarahkan dibuat cop mohor yang bertulis Muhammad Rasulullah.
Baginda telah memilih beberapa orang Sahabat sebagai pembawa risalah Baginda untuk disampaikan kepada Raja-Raja. Setelah isi kandungan surat ditulis maka pada awal tahun ke 7 Hijrah sekitar bulan Muharam Baginda mengarahkan wakilnya membawa surat ini kepada Raja-Raja. Antara negara yang dikirimkan surat Baginda adalah Habsyah (Ethopia) iaitu kepada Raja Najasyi yang bernama Ashamah bin Al-Abjar.
Isi kandungan surat tersebut terdapat perbezaan antara para periwayat sirah. Penulis memilih pandangan Syeikh Saffiyu Al Rahman Al Mubarakfuri dalam bukunya Al Raheq Al Maqtum iaitu seperti berikut,
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
“Daripada Muhammad Rasulullah kepada al-Najasyi, pemerintah besar negara Habsyah. Salam sejahtera ke atas orang yang mahu mengikut petunjuk. Adapun selepas itu, bahawa sesungguhnya aku mengutuskan kepadamu pujiku kepada Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia. Dialah Tuhan “al-Malik al-Quddus (yang maha suci), al-Salam (yang maha sejahtera), al-Mu’min al-Muhaimin (yang memberikan keamanan dan maha berkuasa). Aku bersaksi bahawa Isa adalah anak Mariam Roh Allah dan kalimahNya yang dicampakkan kepada Mariam gadis perawan suci dan menjaga kehormatannya, sehingga dia mengandung Isa dari roh dan tiupanNya, seperti mana diciptakan Adam dengan tanganNya. Aku menyeru kamu menyembah Allah yang Esa tiada sekutu bagiNya, memberi ketaatan kepadanya. Aku mengajak kamu hendaklah mengikuti aku, beriman dengan apa yang diturunkan kepada aku. Sesungguhnya aku adalah Rasulullah. Aku mengajak kamu dan para tenteramu kepada agama Allah. Dengan itu aku telahpun meyampaikan dan menasihati maka terimalah nasihatku ini. Salam ke atas orang yang mengikut petunjuk.
 Raja Najasyi setelah membaca warkah Baginda maka beliau meletakkan warkah tersebut pada matanya. Beliau turun dari singahsananya serta mengistiharkan keislamannya di hadapan Jaafar Bin Abi Talib (sepupu Rasulullah). Raja Najasyi membalas warkah Baginda seperti berikut,
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
 “Kehadapan Muhammad Rasulullah dari al-Najaysi Ashamah. Salam sejahtera dan Allah ke atas engkau wahai Nabi Allah, Rahmat Allah dan berkatNya, Allah yang tiada Tuhan selainNya, Adapun setelah itu, telah sampai ke tanganku risalahmu wahai Rasulullah. Berkenaan apa yang engkau sebut tentang Isa, demi tuhan langit dan bumi sebenarNya Isa tidak lebih dan apa yang tuan hamba sebutkan, memang baginda seperti yang tuan hamba sebutkan itu, kami memahami apa yang engkau utuskan kepada kami itu, kami telahpun menerima anak saudara dan sahabat-sahabat tuan hamba itu sebagai tetamu kami. Justeru itu aku bersaksi bahawa engkau adalah Rasulullah yang sebenar-benarnya dan aku membai’ah (mengikat perjanjian) engkau serta anak saudaramu. Aku menyatakan keislamanku dihadapannya menyerahkan diri kepada Allah tuhan sekalian alam.
Kemudian Baginda meminta dihantar pulang Jaafar Bin Abi Talib dan rombonganya ke Madinah. Mereka belayar dengan dua buah kapal kiriman Raja Najasyi dan tiba di Madinah tidak lama kemudian. Raja Najasyi wafat pada tahun ke 9 Hijrah sebelum sempat bertemu Baginda. Para Sahabat dan Baginda mendirikan solat ghaib atas jenazah Raja Najasyi.
Warkah seterusnya adalah kepada Raja Mesir iaitu Juraij Bin Matta yang dikenali dengan gelaran al-Muqawqis. Sahabat bernama Hatib Bin Abi Balta’ah dan ditemani oleh Jira iaitu anak angkat kepada Abu Raha Al-Ghifari menjadi wakil Baginda untuk membawa warkah bertemu al-Muqawqis.
Setibanya Hatib Bin Abi Balta’ah beliau berkata kepada al-Muqawqis,
“Pemerintah sebelum kamu ini telah mendakwa dirinya sebagai Tuhan tertinggi maka Allah mengutuknya di dunia dan akhirat. Akibatnya Allah menghukum ke atasnya dengan bala dan azabNya. Di harap kamu boleh mengambil pengajaran darinya dan jangan biarkan diri kamu menjadi bahan pengiktibaran orang kemudian.”
Sebaik mendengar kata-kata hebat dan tanpa gerun Hatib Bin Balta’ah maka berkatalah Raja Mesir ini, “sebenarnya kami ada agama pegangan tersendiri, kami tidak akan meninggalkannya kecuali kepada ajaran yang lebih baik darinya.”
Hatib Bin Abi Balta’ah meneruskan kata-katanya, “kami menyeru kamu kepada agama Islam di mana Allah memberi jaminan penyempurnaannya dengan yang tidak terdapat pada ajaran-ajaran lain, sesungguhnya Nabi ini menyeru manusia kepadanya. Kaum Quraisy adalah penentangnya yang paling kuat, sejahat-jahat seterunya adalah kaum Yahudi dan yang terdekat kepadanya adalah kaum Nasrani. Demi usiaku ini sesungguhnya berita baik Musa tentang Isa adalah sama seperti berita baik Isa tentang Muhammad. Kami menyeru kamu kepada al-Quran, sama seperti kamu menyeru penganut-penganut Taurat kepada Injil. Setiap yang sempat dengan satu kaum yang sebelum maka kaum itu dianggap sebagai kaumnya yang wajib diseru kepada ajarannya dan mereka berkewajipan mentaatinya, kamu adalah di antara orang yang sempat dengan nabi ini. Kami tidak melarang kamu dari agama al-Masih (Isa) tetapi kami menyeru kamu beriman dengannya.”
Maka berkata pula al-Muqawqis, “sesungguhnya telahpun aku merenung perkara Nabi ini, maka aku dapati dia tidak menyuruh perkara yang tidak disenangi dan tidak melarang perkara yang disenangi. Aku dapati dia bukanlah seorang ahli sihir yang sesat, bukan juga pawang yang pembohong. Aku juga dapati beliau ada tanda-tanda kenabian seperti merungkai rahsia yang tersembunyi serta memberitahu perkara berkaitan masa depan. Aku masih lagi akan memerhatikannya.”
Kemudian diberikan warqah Baginda kepada al-Muqawqis seperti berikut,
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Daripada Muhammad hamba Allah dan RasulNya kepada al-Muqawqis pemerintah besar orang-orang Qibti. Salam sejahtera ke atas yang mengikut petunjuk. Adapun selepas itu, maka aku menyeru kamu dengan seruan Islam, anutilah Islam nescaya kamu selamat. Islamlah nescaya Allah berikan kamu dua kali ganda pahala. Sebaliknya kalau kamu berpaling, maka tanggunglah dosa orang Qibti semuanya. Wahai ahli kitab! Marilah kita kepada satu yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa kita tidak sembah kecuali Allah dan kita tidak persekutukannya dengan sesuatu dan tidak pula sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai tuhan melainkan Allah. Jika mereka berpaling, maka katakan kepada mereka: “Saksikanlah, bahawa kami adalah hamba yang menyerahkan diri kepada Allah”.
Setelah membacanya lalu Raja Mesir ini meletakkan warkah Rasululllah s.a.w. ke dalam bekas yang diperbuat dari gading dan ditutup lalu diserahkannya kepada dayangnya. Kemudian dipanggil seorang untuk menulis warkahnya dalam bahasa arab untuk diberikan kepada Rasulullah s.a.w. Warqah tersebut adalah seperti berikut,
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Untuk Muhammad bin Abdullah dari al-Muqawqis pembesar Qibti salam sejahtera ke atas mu. Ada pun selepas ini, telahpun aku baca suratmu dan aku faham segala yang tersurat di dalamnya juga dengan apa yang kamu serukan itu. Aku memang menyakini ada seorang lagi Nabi yang masih tinggal. Aku mengira ianya akan datangnya dari negeri Syam. Aku telah memuliakan utusan kamu, bersamanya aku kirimkan dua orang dayang untuk kamu, mereka berdua mempunyai kedudukan mulia pada orang-orang Qibti, juga beberapa helai kain serta aku hadiahkan seekor baghal untuk kamu tunggangi dan salam ke atas kamu.
Pos Terkait:  Cara Bikin Feed Instagram yang Menarik
close