Caramantap

Perjanjian Hudaibiyah | Sulhu Hudaibiyah (bagian 1)

×

Perjanjian Hudaibiyah | Sulhu Hudaibiyah (bagian 1)

Share this article

Perjanjian Hudaibiyah

 

Sudah hampir enam tahun lamanya Baginda dan para Sahabat meninggalkan Mekah dan tinggal di Madinah. Sepanjang tempoh itu para Sahabat dengan bimbingan Baginda telah berhadapan dengan pelbagai peperangan, cabaran dan misi dakwah bagi mengembangkan Islam. Selama itu jugalah mereka tidak kembali ke Mekah. Kini peperangan semakin reda dan keinginan Baginda untuk memasuki Mekah semakin mengamit jiwanya.
Sehinggalah satu hari Baginda bermimpi memasuki Masjidil Haram bersama para Sahabatnya, memegang anak kunci, bertawaf dan melaksanakan ibadah Umrah. Ada diantara mereka yeng mencukur rambutnya dan ada yang memendekkan rambutnya. Mimpi ini telah diceritakan oleh Baginda kepada para Sahabat.
Mimpi Rasul bukanlah satu mimpi biasa tetapi satu petanda gembira sudah ada sinar Mekah akan dikuasai kembali oleh orang-orang yang mentaati Rasul sebagaimana mereka yang taat kepada Nabi Ibrahim dan Ismail. Baginda mengumumkan secara meluas dan mengajak seramai mungkin untuk turut serta dalam rombongan ke Mekah. Para Sahabat segera membuat persiapan dan menanti saat yang paling dinanti-nantikan.
Namun ada yang tidak mahu turut serta dengan rombongan ini kerana khuatir belum ada perdamaian dengan kafir Quraisy maka mereka takut perjalanan ini adalah menempah maut maka mereka memberikan alasan untuk tidak bersama Baginda. Al Quran menceritakan sikap mereka,
سَيَقُولُ لَكَ الْمُخَلَّفُونَ مِنَ الأعْرَابِ شَغَلَتْنَا أَمْوَالُنَا وَأَهْلُونَا فَاسْتَغْفِرْ لَنَا يَقُولُونَ بِأَلْسِنَتِهِمْ مَا لَيْسَ فِي قُلُوبِهِمْ قُلْ فَمَنْ يَمْلِكُ لَكُمْ مِنَ اللَّهِ شَيْئًا إِنْ أَرَادَ بِكُمْ ضَرًّا أَوْ أَرَادَ بِكُمْ نَفْعًا بَلْ كَانَ اللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا (11) بَلْ ظَنَنْتُمْ أَنْ لَنْ يَنْقَلِبَ الرَّسُولُ وَالْمُؤْمِنُونَ إِلَى أَهْلِيهِمْ أَبَدًا وَزُيِّنَ ذَلِكَ فِي قُلُوبِكُمْ وَظَنَنْتُمْ ظَنَّ السَّوْءِ وَكُنْتُمْ قَوْمًا بُورًا (12)
Maksudnya : Orang-orang Badwi yang tertinggal (tidak turut ke Hudaibiyah) akan berkata, “Kami telah disibukkan oleh harta dan keluarga kami, maka mohonkanlah ampunan untuk kami.” Mereka mengucapkan sesuatu dengan mulutnya apa yang tidak ada dalam hatinya. Katakanlah, “Maka siapakah yang dapat menghalang-halangi kehendak Allah jika Dia menghendaki bencana terhadap kamu atau jika Dia menghendaki keuntungan bagimu? Sungguh, Allah Maha Teliti dengan apa yang kamu kerjakan.” (11) Bahkan (semula) kamu menyangka bahawa Rasul dan orang-orang mukmin sekali-kali tidak akan kembali lagi kepada keluarga mereka selamanya dan dijadikan terasa indah yang demikian itu di dalam hatimu dan kamu telah berprasangka dengan prasangka yang buruk kerana itu kamu menjadi kaum yang binasa. (12)
Maka berangkatlah rombongan Baginda dan para Sahabatnya berjumlah 1400 orang (ada riwayat yang mengatakan 1500) pada hari Isnin bulan Zulkaedah tahun ke 6 Hijrah. Rombongan ini turut disertai oleh kaum Ansar, Muhajirin dan beberapa kabilah lain yang turut serta. Ummu Salamah isteri Baginda telah terpilih kali ini untuk menemani Baginda dalam pemusafiran ke Mekah.
Tujuan rombongan ini bukanlah untuk berperang dan mereka tidak membawa peralatan senjata melainkan pedang yang bersarung seperti mana kebiasaan bagi para musafir. Setibanya di Dzulhulaifah kini dikenali dengan nama Bir Ali, maka Baginda dan para Sahabat pun memakai ihram dan niat untuk mengerjakan umrah.
Laungan talbiah bergema dengan suara yang semangat para Sahabat untuk memasuki Mekah bagi mengerjakan Umrah. Namun apakah yang menanti mereka?
Rasulullah s.a.w mengambil sikap berhati-hati ketika menuju ke Mekah lalu diutuskan seorang wakil dari kabilah Khuza’ah iaitu Bisyr Bin Sufyan untuk mendapatkan berita mengenai tindakan pihak Quraisy apabila mengetahui mereka dalam perjalanan ke Mekah. Baginda dimaklumkan oleh Bisyr Bin Sufyan,
Semasa aku dalam perjalanan ke sini aku telah mendapati kabilah Kaab bin Lu’ai telah pun mengumpul orang-orang awam al-Ahabisy di mana mereka berhimpun untuk memerangi Rasulullah s.a.w serta menghalangi dari memasuki Kaabah.”
Kemudian Rasulullah s.a.w bermesyuarat dengan para Sahabat dengan sabdanya, “apakah kamu rasa baik kita serang keluarga mereka yang menolong puak yang menghalang kita, kemudian kita tawan mereka? Sekiranya mereka berdiam, berdiam dengan keadaan marah dan berduka, kalau mereka terlepas lari maka yang ditawan itu Allah mencantas leher mereka atau apakah sahabat sekalian berpendapat kita semua menuju ke Baitullah maka sesiapa halang maka kita peranginya”?
Lalu berkatalah Abu Bakar, “Allah dan Rasulnya lebih mengetahui, kita datang pun memang untuk mengerjakan umrah dan bukannya untuk memerangi sesiapa. Tetapi kalau ada orang yang menghalang kita ke Baitullah al-Haram kita perangilah mereka.
Kemudian dijawab Rasulullah s.a.w, ” alangkah kerasnya kaum Quraisy ini mereka tidak akan rugi jika mereka membenarkan aku masuk. Ayuh kita teruskan perjalanan.”
Pihak Quraisy telah bermesyuarat dan keputusannya tidak akan sama sekali membenarkan rombongan kaum muslimin memasuki Mekah. Mereka sanggup menyerang rombongan ini dan telah pun mempersiapkan tentera berjumlah 200 orang dibawah pimpinan Khalid Bin Al Walid. Maka mereka telah bersedia agar Baginda dan para Sahabatnya tidak dapat memasuki Tanah Haram. Jika Baginda dapat masuk juga tidak boleh dilakukan serangan kerana memang sejak dahulu lagi masyarakat Arab sangat menghormati Tanah Haram dan tidak akan berperang didalamnya.
Melihat jalan kebiasaan yang dilalui agak sukar untuk masuk ke Mekah kerana dihalangi oleh tentera Khalid Bin Al Walid, maka Baginda membuat strategi lain dan berkata Baginda, “siapa di kalangan kamu yang boleh menunjukkan jalan yang kita boleh sampai ke belakang tentera Quraisy?”
Kemudian ada seorang lelaki dari suku Aslam bersedia membawa rombongan Baginda melalui jalan lain yang berliku-liku antara batu-batu yang curam dan sangat sukar untuk dilalui. Rombongan Baginda merasa sangat letih menempuh jalan itu. Akhirnya mereka sampai juga ke sebuah jalan yang datar di hujung wadi. Jalan ini berada sebelah kanan yang akhirnya keluar di Tsaniyatul-Mirar iaitu jalan menurun ke Hudaibiyah di sebelah bawah kota Mekah.
Pasukan Quraisy yang dipimpin oleh Khalid Bin Al Walid menyedari rombongan kaum muslimin telah melencong dari jalan utama dan melalui jalan lain. Tindakan ini telah menyebabkan mereka mulai cemas. Beliau segera ke Mekah dan memaklumkan apa yang berlaku. Mereka kemudiannya segera memacu kuda untuk menghalang Baginda dari memasuki Tanah Haram.
Apakah yang berlaku seterusnya? Tunggu bagian ke 2
Pos Terkait:  Jarang yang Tahu, Anime dan Kartun Ini Jadi Tayangan
close