Kepulangan Tentara Khaibar ke Madinah | Rasulullah Muhammad Saw Hendak di Racuni Orang Yahudi

Posted on

Sahabat kembali ke Madinah usai perang khaibar

Peperangan Khaibar selesai dengan jumlah tentera muslimin yang syahid 16 orang manakala di pihak musuh pula yang terbunuh adalah 93 orang. Kegembiraan bagi umat Islam kerana akhirnya kemenangan yang dijanjikan oleh Allah telah dapat dirasai. Pada waktu yang sama sebagian para Sahabat termasuk keluarga Abu Musa Al Asya’ri yang telah berhijrah ke Hasyah tiba di Khaibar dengan pimpinan Jaafar bin Abi Talib iaitu supupu Baginda. Jaafar bin Abi Talib dan rombongannya telah tinggal hampir 10 tahun di Habsyah dan kembali ke Madinah pada tahun ke 7 Hijrah.

Rasulullah s.a.w amat gembira apabila melihat Jaafar bin Abi Talib tiba di Khaibar sehingga berkata Baginda :

“Demi Allah aku tidak tahu mana satu yang hendak aku bergembira kerananya sama ada pembukaan Khaibar atau kepulangan Jaafar?”

Rombongan Jaafar bin Abi Talib tiba setelah Baginda mengutuskan Amru Bin Umayyah al-Dhumri kepada Raja Najasyi di Habsyah agar menghantar mereka pulang ke Madinah. Raja Najasyi telah menyediakan dua buah kapal untuk membawa 16 orang bersama anak-anak dan isteri mereka belayar ke Madinah. Manakala rombongan sebagian yang lain dari Habsyah telah pun tiba sebelum itu.

Apabila rombongan Jaafar bin Abi Talib berada bersama Baginda, maka agihan pembahagian harta Khaibar diberikan kepada mereka. Pada asalnya Baginda tidak memberi harta Khaibar kepada selain yang menyertai perjanjian Hudaibiyah namun keistimewaan diberikan kepada mereka yang datang ke Khaibar untuk berperang tetapi peperangan telah selesai.

Kini semua penempatan Yahudi yang lain telah dikuasai sepenuhnya termasuk kubu Yahudi Fadak, Wadi Qura dan Taima tunduk kepada pemerintahan Baginda.

Rasulullah s.a.w di racuni orang yahudi

Semasa masih di Khaibar Rasulullah s.a.w dan para Sahabatnya sedang berehat lalu datanglah seorang wanita Yahudi bernama Zainab binti al-Harith iaitu isteri kepada Salam bin Misykam. Beliau membawa bersamanya seekor kambing yang telah dipanggang untuk dihadiahkan kepada Baginda. Sebelum beliau membawa kambing panggang tersebut beliau telah bertanya kepada orang lain bahagian manakah yang digemari oleh Baginda dan telah diberitahu kepadanya bahagian peha. Lalu beliau telah meletakkan racun pada bahagian tersebut dan menyajikan kepada Baginda.

Daging kambing tersebut telah diambil oleh Sahabat yang bernama Bisyr Ibn al-Barra dan beliau lantas memakan dan menelannya. Manakala ketika Baginda baru sahaja mengigit daging tersebut terus diluahkannya kerana menyedari daging tersebut beracun. Baginda mengarahkan para Sahabat yang lain agar tidak memakan daging kambing tersebut. Namun sudah agak terlewat buat Bisyr Ibn al-Barra yang telah memakannya sehingga beliau meninggal dunia akaibat dari racun tersebut.

Anas bin Malik meriwayatkan,

“Bahawa ada seorang wanita Yahudi datang kepada Rasulullah s.a.w dengan membawa seekor kambing (bakar) yang telah diracuni. Kemudian Baginda memakan sebahagian darinya. Lalu Rasulullah s.a.w mengutus seseorang untuk memanggil wanita (yang memberi kambing) itu dan wanita itu pun datang. Kemudian Rasulullah s.a.w segera bertanya kepadanya tentang perkara tersebut.

Wanita itu menjawab : “Saya ingin membunuhmu.”

Rasulullah s.a.w bersabda, “Allah tidak memberi hak atas kamu untuk hal itu”, atau beliau bersabda “ … atasku (iaitu membunuhku)”.

Para shahabat berkata, “Perlukah kita membunuh wanita ini?”

“Jangan!” jawab Rasulullah s.a.w.

Anas radhiyallahu anhu berkata, “Saya melihat bekas racun itu sentiasa berada di langit-langit mulut Rasulullah s.a.w” (Hadis Muttafaqun ‘alaihi) 

Dalam riwayat yang lain apabila Baginda bertanya kepada wanita tersebut beliau berkata, “Bagaimana tuan mengetahuinya? Maka dijawab Baginda, “Daging itu memberitahu kepadaku.”

Berkata wanita Yahudi ini, “Kalaulah Muhammad ini Raja akan selamatlah aku darinya dan sekiranya beliau seorang Nabi maka beliau akan diberitahu.” 

Baginda memaafkan wanita tersebut yang telah mengucapkan syahadah menjadi seorang muslim namun ulama berselisih pandangan sama ada wanita itu bebas atau dihukum Qisas kerana membunuh Bisyr yang mati akibat racun. Menurut sebahagian ulama wanita ini tetap dihukum Qisas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *