Caramantap

Perang Badar Dan Pertolongan Dari Allah Untuk Pasukan Perang Badar

×

Perang Badar Dan Pertolongan Dari Allah Untuk Pasukan Perang Badar

Share this article

Perang Badar & Pertolongan Allah

Tentera musyrikin menerima arahan Abu Jahal untuk mulakan serangan dengan panah-panah yang menghujani tentera muslimin. Pasukan tentera muslimin tetap bertahan dengan perisai tanpa membalas serangan mereka mengikut arahan Baginda. Arahan seterusnya sekiranya musuh menyerang dengan pedang maka ketika itu tentera muslimin hendaklah menyerang dengan serentak.
Serangan bertubi-tubi anak-anak panah tentera musyrikin telah kena dua orang Sahabat dan mereka syahid, antaranya ialah Harithah Bin Suraqah. Ibu kepada Harithah telah menemui Rasulullah s.a.w dan bertanya tentang kedudukan Harithah yang telah terbunuh sebelum pasukan tentera muslim benar-benar bertempur dengan musuh. Berkata ibu Harithah,
“Wahai pesuruh Allah, “apakah nasib Harithah yang mati sebelum benar-benar berlakunya pertempuran? Apakah beliau syahid? Sekiranya beliau di syurga aku akan sabar sebaliknya jika bukan di Syurga aku akan meratapi kematiannya (hukum meratapi kematian belum lagi diharamkam ketika itu).”
Baginda menjawab, “wahai ibu Harithah bukan satu syurga bahkan lapan syurga buat Harithah.”
Mendengar begitu gembiralah ibu Harithah atas kesyahidan anaknya. Musuh mula mendekati tentera muslimin dan Baginda mengarahkan dari bertahan kepada menyerang dengan berani. Pasukan tentera muslimim dengan panglima-panglima perang menyerang dengan bersungguh-sungguh. Manakala Baginda tidak putus-putus berdoa mohon pertolongan Allah.
“Ya Allah, Ya Tuhanku sekiranya termusnah kelompok ini di hari ini nescaya Engkau tidak kan disembah lagi, Ya Allah Ya Tuhanku sekiranya Engkau kehendaki (kalahnya pasukan muslimin), maka Engau tidak akan disembah lagi selepas hari ini untuk selama-lamanya .
Kesungguhan Baginda berdoa hingga terjatuh kain serban dari atas bahunya. Abu Bakar yang sentiasa di sisi Rasulullah s.a.w. meletakan semula kain serban tersebut ke atas bahu Baginda. Kemudian beliau berkata, “Sudah, cukup wahai Rasulullah dengan permintaan kamu kepada Tuhan mu itu.
Allah sentiasa melihat dan mendengar permohonan hamba-hambanya. Maka turunlah wahyu ketika peperangan semakin memuncak,
إِذْ تَسْتَغِيثُونَ رَبَّكُمْ فَاسْتَجَابَ لَكُمْ أَنِّي مُمِدُّكُمْ بِأَلْفٍ مِنَ الْمَلَائِكَةِ مُرْدِفِينَ
Maksudnya : (Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada tuhan kamu, lalu Dia perkenankan permohonan kamu (dengan firmanNya): “Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut. (Al Anfal 8:9)
Baginda dengan gembira memberitahu kepada Abu Bakar, “Bergembiralah wahai Abu Bakar, bergembiralah wahai Abu Bakar, Jibril dengan menunggang kuda putih mengetuai seribu malaikat yang beriringan.”
Kemenangan Islam semakin dekat apabila mereka sentiasa yakin dengan wahyu Allah. Allah pasti tidak akan membiarkan hamba-hambanya dalam kehinaan. Bantuan dari langit akan menambah keimanan mereka. Lihat firman Allah,
إِذْ يُوحِي رَبُّكَ إِلَى الْمَلَائِكَةِ أَنِّي مَعَكُمْ فَثَبِّتُوا الَّذِينَ آمَنُوا ۚ سَأُلْقِي فِي قُلُوبِ الَّذِينَ كَفَرُوا الرُّعْبَ فَاضْرِبُوا فَوْقَ الْأَعْنَاقِ وَاضْرِبُوا مِنْهُمْ كُلَّ بَنَانٍ
Maksudnya : (Ingatlah) ketika Tuhanmu wahyukan kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku menyertai kamu (memberi pertolongan), maka tetapkanlah (hati) orang-orang yang beriman. Aku akan mengisi hati orang-orang yang kafir dengan perasaan gerun. Oleh itu, pancunglah leher mereka (musuh) dan potonglah tiap-tiap anggota mereka”. (Al Anfal 8:12)
Apakah yang berlaku di medan perang? Bersambung esok. Insya Allah
Kegembiraan dengan wahyu dari Allah dan janji pertolongan kemenangan menyebabkan Baginda bersemangat untuk bertempur dengan musuh. Baginda telah mengambil segenggam pasir dan melontarkan kepada pasukan Quraisy sambil berdoa.
“Musnahlah kamu semua”. Akibat dari lontaran pasir Baginda semua tentera Quraisy terkena pasir dan tidak terkecuali siapa pun semuanya kena pada mata, telinga, hidung dan mulut mereka. Mereka sibuk membersihkan dari pasir tersebut maka tentera muslimin mengambil peluang menyerang balas dengan membunuh mereka. Tindakan ini dirakamkan oleh al Quran. Lihat firman Allah,
فَلَمْ تَقْتُلُوهُمْ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ قَتَلَهُمْ ۚ وَمَا رَمَيْتَ إِذْ رَمَيْتَ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ رَمَىٰ ۚ وَلِيُبْلِيَ الْمُؤْمِنِينَ مِنْهُ بَلَاءً حَسَنًا ۚ إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya : Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan pembunuhan mereka. Dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar (untuk membinasakan orang-orang kafir) dan untuk mengurniakan orang-orang yang beriman dengan pengurniaan yang baik (kemenangan) daripadaNya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Al Anfal 8:17)
Baginda Rasul terus memberi semangat kepada para tentera muslimin. Sebagaimana maksud sabdanya, “demi Allah, tidaklah seseorang memerangi mereka pada hari ini, kemudian dia terbunuh dalam keadaan sabar dan mengharap pahala serta terus maju dan tidak berundur, pasti Allah akan memasukkannya ke dalam syurga.”
Ucapan Baginda telah disahut oleh Umair Bin Al Hilman dari kalangan Ansar. Beliau membawa beberapa biji tamar untuk dimakan dan telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w, “wahai Rasulullah apakah syurga seluas langit dan bumi?”
Baginda menjawab, “ya”.
Kemudian berkatalah beliau, “wahai Rasulullah antara diriku dan aku masuk syurga adalah ketika mereka membunuhku. Demi Allah, sekiranya aku hidup sempat memakan tamar dulu, sungguh ini adalah usia yang terlalu panjang.” Kemudian beliau melemparkan buah tamarnya dan mara ke medan peperangan berjuang habis-habisan yang akhirnya beliau menerima anugerah syahid.
Semangat tentera muslimin amat luar biasa sekali walaupun kelengkapan senjata yang sangat terbatas. Janji Syurga dikejar tanpa mengira sehebat mana pun musuh mereka. Manakala tentera musuh sudah mula lemah dan kendur. Strategi Baginda menampakkan kesan kejayaan apabila membiarkan pihak musuh menyerang terlebih dahulu. Kini yang bersama menyerang musuh bukan hanya tentera dari kalangan manusia bahkan adalah malaikat-malaikat.
Musuh-musuh bergelimpangan mati dengan keadaan yang mengerikan. Ada yang terputus dari anggotanya, terbelah kepalanya dan seperti dipukul dengan cambuk yang tajam sedangkan ianya bukan datangnya dari senjata tentera muslimin. Dalam satu riwayat Ibnu Said dari Ikrimah telah menyebut, “pada hari itu ada kepala yang terpelanting jatuh dan tidak tahu siapakah yang mengerjakannya dan ada pula tangan jatuh dan tidak tahu siapakah yang mengerjakannya dan terdapat dua puluh tangan yang terluka jatuh dan tidak tahu siapakah yang memukulnya.”
Ibnu Abbas pula mengatakan, “ketika seorang Islam sedang menyerang musuh dari kalangan musyrikin yang di hadapannya tiba-tiba terdengar rembatan cemeti di sebelah atas dan suara penunggang kuda melaung, “Ayuh, mara ke hadapan, wahai Haizum.” Beliau pun memerhati musyrikin yang di hadapannya, orang lain pun menceritakan kisah yang sama juga, seorang Ansar telah menemui Rasulullah s.a.w dan menceritakan sedikit kisah yang sama kepada Baginda, maka sabda Rasulullah s.a.w: “Memang benar semuanya itu dan itulah bantuan dari petala langit ketiga.
Kata Abu Daud al-Mazani: “Semasa aku sedang memburu lelaki musyrik belum sempat aku menentangnya tiba-tiba kepalanya sudah terjatuh, belum sempat lagi pedang aku mengena beliau, aku sedarlah yang membunuhnya itu bukannya aku, seorang lelaki Ansar membawa al-Abbas bin Abdul al-Muttalib tawanannya, kata al-Abbas: “Demi Allah bukan orang ini yang menawan aku, tetapi yang menawan aku seorang lelaki yang amat tampan berada diatas kuda bertompok hitam putih dan aku tidak pernah melihatnya dikalangan tentera muslimin. Lalu orang Ansar itu berkata “sayalah yang menawannya wahai Rasulullah.”
Berkatalah Baginda, “diamlah, sebenarnya kamu telah dibantu oleh Allah melalui Malaikat yang mulia.”
Pos Terkait:  Cara Menghapus Voucher Bonstri yang Sudah Terpakai
close