Nabi Muhammad Saw Berhijrah ke Madinah (bagian 2)

Posted on

Rasulullah Berhijrah Ke Madinah (bagian 2)

Rasulullah s.a.w bertemu Abu Bakar yang sudah menyediakan 2 ekor unta untuk bergerak menuju ke Madinah. Namun Baginda mengarahkan perjalanan ke Selatan yang merupakan perjalanan ke Yaman sedangkan Madinah terletak di Utara. Tindakan yang dilakukan oleh Baginda adalah untuk mengelirukan musuh serta memberi pengajaran, setiap usaha adalah perlu dan bukan sekadar bergantung terus kepada Allah tanpa ikhtiar.
Mereka berdua telah menuju ke Bukit Thur iaitu bukit yang tinggi, batu-batunya keras dan pendakiannya bukanlah suatu yang mudah. Baginda berjalan dengan terhinjut-hinjut bagi menyembunyikan kesan tapak kaki sehingga melecet kaki Baginda. Abu Bakar melihat kesakitan pada kaki Baginda sehingg beliau mendukung Rasulullah s.a.w, begitulah kasihnya Abu Bakar terhadap Baginda. Akhirnya mereka tiba di pintu gua Thur, Abu Bakar sekali lagi risau sekiranya di dalam gua tersebut terdapat haiwan yang bahaya, maka beliau telah meminta izin Baginda untuk masuk dahulu melihat agar ianya selamat untuk mereka masuk.
Di bawah kaki bukit pekerja Abu Bakar iaitu Amru bin Fuhair membawa gembalaan kambing-kambingnya bagi menutup jejak tapak kaki Baginda dan Abu Bakar. Manakala Asma puteri Abu Bakar pula membawa bekalan makanan kepada mereka di atas bukit Thur. Asma wanita yang hebat yang sedang mengandung telah meletakkan bekalan makanan di pinggangnya supaya tidak ada sesiapa yang dapat mensyaki beliau membawa bekalan makanan.
Manakala di rumah Rasulullah s.a.w. pemuda-pemuda yang mengepung rumah Baginda merasa hairan kebiasaanya Baginda akan keluar solat subuh ke Kaabah. Namun kali ini Baginda masih belum keluar. Mereka mengintai dan melihat di tempat tidur Baginda masih ada sekujur tubuh yang sedang tidur dengan selimut. Mereka merasa tidak tenteram lalu menyerbu masuk dan mendapati yang tidur adalah Ali Bin Abi Talib. Mereka bertanya di mana Rasulullah s.a.w, Ali menjawab dia tidak mengetahuinya. Mereka mencari Baginda di dalam rumah namun tidak berjumpa dan yakin Baginda telah berhijrah ke Madinah. Apabila melihat adanya pasir di atas kepala mereka maka tahu ianya satu isyarat mereka telah tewas pada malam tadinya.
Pihak kafir Quraisy mula kecoh dan membuat tawaran sesiapa yang berjaya membunuh Rasulullah s.a.w akan diberi ganjaran 100 ekor unta betina. Tawaran ini adalah sangat lumayan dan telah mendapat sambutan dikalangan pemuda-pemuda Mekah. Operasi mencari Baginda mula digerakkan serta habuan 100 ekor unta telah terbayang di fikiran mereka.
Manakala di gua Thur, Abu Bakar meminta Baginda berehat dengan menjadikan ribanya untuk Baginda melapikkan kepalanya. Ketika Baginda lena tidur, tiba-tiba seekor kala jengking telah menyengat kaki Abu Bakar. Beliau menahan sakit tanpa mengerakkan kakinya kerana khuatir Baginda terjaga namun kesakitan yang amat sangat menyebabkan air matanya menitis ke muka Rasulullah s.a.w. Baginda terjaga dan bertanya apa yang berlaku kemudian dijawab oleh Abu Bakar kakinya disengat kala jengking. Lantas Baginda meletakkan air liur Baginda pada tempat sengatan itu dan hilanglah rasa sakit Abu Bakar serta merta.
Tempoh Baginda berada di gua Thur adalah 3 hari dengan bekalan makanan di bawa oleh Asma manakala Abdullah putera Abu Bakar menemani mereka di gua Thur pada waktu malam. Pada waktu subuh Abdullah sudah berada di Kaabah bersama pemimpin Quraisy yang lain untuk mengintai apakah yang mereka rancangkan. Bila mereka mendapati Abdullah setiap hari bersama mereka di siang hari maka hilanglah kecurigaan mereka terhadap Abdullah.
Aisyah ada meriwayatkan perihal Abdullah,
“Abdullah adalah salah seorang pemuda berpengetahuan dan cerdik. Beliau menemani mereka di waktu malam. Di hujung malam beliau keluar dari sana dan berada di kalangan Quraisy di pagi hari menampakkan yang beliau seolah-olah bermalam di Mekah bersama Quraisy. Beliau mendengar dan mengingati segala yang dibincangakan di Mekah dan dibawa berita tersebut kepada Baginda dan Abu Bakar pada waktu tengah malam”. 
Orang Quraisy semakin binggung
sudah 3 hari berlalu mereka masih gagal mengesan Baginda. Kemarahan makin memuncak manakala kebuntuan tidak ada jalan keluar. Apakah yang mereka lakukan seterusnya?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *