Selasa, 01 September 2020

Kisah Rasulullah Muhammad Saw Meninggalkan Makkah Dan Hijrah ke Madinah

Rasulullah Muhammad Saw Hijrah ke Madinah


Bumi Madinah mengalu-alukan hijrah dari kaum muslimin Mekah yang mencari tapak yang subur untuk hidup dan mengembangkan Islam. Kehidupan yang penuh halangan dalam melaksanakan amalan Islam serta penindasan dari musrikin Mekah sudah tiba masanya untuk ditamatkan. Rasulullah s.a.w telah mengizinkan hijrah ke Madinah dan bukannya ke Habsyah. Proses penghijrahan ke Madinah telah berlaku secara berperingkat-peringkat. Kisah mashyur dalam sirah penghijrahan ke Madinah ini antaranya adalah penghijrahan Abu Salamah, isteri dan anaknya.

Setahun sebelum perjanjian Aqabah yang kedua, Abu Salamah telah mendapat izin dari Rasulullah s.a.w untuk meninggalkan Mekah dan menuju ke Madinah. Abu Salamah telah memaklumkan kepada keluarganya dan mertuanya tentang hasrat untuk berhijrah ke Madinah. Apabila mereka mendengar hasrat Abu Salamah maka berlakulah perbalahan antara keluarga yang tidak mengizinkan isteri  (Ummu Salamah) dan anaknya turut serta berhijrah. Terjadi perebutan anak yang akhirnya memisahkan Ummu Salamah dengan anaknya manakala Abu Salamah terpaksa seorang diri berhijrah ke Madinah.

Setiap hari Ummu Salamah akan keluar ke pinggir kota dan menangis dari pagi hingga ke petang mengenangkan suaminya yang telah berhijrah dan anaknya yang telah diambil oleh mertuanya. Keadaan ini berlarutan sehingga hampir setahun sehinggalah kaum keluarganya merasa belas kasihan terhadap Ummu Salamah yang menderita. Mereka akhirnya menyerahkan anaknya kepadanya dan membenarkan beliau untuk berhijrah ke Madinah.

Ummu Salamah bersama anaknya nekad berhijrah ke Madinah tanpa ditemani oleh sesiapa pun dengan menempuh jarak melebihi 500km. Perjalanan mereka bermula sehingga sampai ke satu tempat bernama Tana’im. Di sini mereka telah bertemu dengan Uthman Bin Talhah Ibnu Abi Talhah. Setelah Uthman Bin Talhah mengetahui hasrat Ummu Salamah untuk berhijrah menemui suaminya di Madinah, beliau merasa kasihan dan menawarkan diri untuk menemani dua beranak ini ke Madinah. 

Apabila sampai di Quba, Uthman Bin Talhah berkata bahawa suaminya Abu Salamah berada di kampung ini dan pergilah mencarinya nescaya adanya keberkatan Allah di sana. Ummu Salamah dapat bertemu dengan suaminya dan kegembiraan menyelubungi mereka kerana dapat bersatu kembali sebagai satu keluarga Muslim. Ummu Salamah menempuh jalan yang jauh ini bukan semata-mata kerana ikatan keluarga tetapi ikatan iman dan Islam. Uthman Bin Talhah kembali semula ke Mekah setelah selesai menemani Ummu Salamah ke Quba. 

Selain itu seorang sahabat bernama Suhaib al-Rumi telah bersiap untuk berhijrah. Kemudian datang beberapa orang kafir Quraisy menemuinya dan berkata, 

“Kamu semasa datang ke sini sebagai seorang yang tidak berharta, kemudian harta kamu menjadi banyak dan kamu menjadi orang yang terkenal. Sekarang kamu hendak keluar dari sini dengan membawa diri kamu sekali dengan harta-harta yang kamu kumpulkan di sini? Ini tidak mungkin berlaku? 

Mendengar kata-kata mereka Suhaib menjawab, 

“Apa pendapat kamu semua, kalau aku serahkan semua hartaku kepada kamu? Bolehkah kamu memberi laluan kepada aku untuk berhijrah? 

Jawab mereka sebulat suara, “ya!” 

Lalu berkata Suhaib, "sekarang aku serahkan hartaku kepada kamu.”

Sangkaan kafir Quraisy meleset seolah-olah harta di bumi Mekah menjadi penghalang bagi kaum muslimin untuk berhijrah.

Kisah mengenai Suhaib ini telah sampai ke pengetahuan Rasulullah s.a.w. 

Kemudian Rasulullah s.a.w. berkata, "beruntunglah Suhaib, beruntunglah Suhaib.”

Hijrah mereka ke Madinah tidak menjadikan mereka miskin walaupun tiada saudara mara di bumi Madinah. Kaum muslimin berhijrah atas perintah Allah dan Rasul, tiada yang menjamin rezeki mereka melainkan Allah jua.

Pihak kafir Quraisy tidak membenarkan kaum Muslimin untuk meninggalkan kota Mekah untuk berhijrah ke Madinah. Namun para sahabat Baginda tetap mencari ruang dan peluang untuk keluar berhijrah ke Madinah. Antara sahabat yang telah keluar berhijrah adalah Umar Al Khattab. Beliau melengkapkan bekalan makanannya dan untanya serta telah tawaf di Kaabah sebelum berhijrah ke Madinah. Kemudian setelah selesai tawaf Umar berkata dengan laungan yang kuat sambil diperhatikan oleh kafir Quraisy.

“Siapa yang mahu ibunya kehilangan anak, isterinya menjadi janda atau anaknya menjadi yatim tunggulah aku dibelakang bukit kerana aku akan berhijrah ke Madinah.”

Cabaran Umar terhadap musyrikin Mekah tidak disambut oleh sesiapa pun. Kafir Quraisy  hanya melihat sahaja Umar dan tidak sesekali berani menghalangnya untuk berhijrah.  Menghalang Umar adalah merupakan satu kesilapan paling besar dan mereka juga mengetahui bahawa Umar bukan sembarangan tandingannya. Umar telah keluar berhijrah tanpa menghadapi sebarang masalah dan telah sampai ke Madinah dengan selamatnya. 

Penghijrahan kaum muslimin terus berlaku hari demi hari, namun Rasulullah s.a.w, Abu Bakar dan Ali Bin Abi Talib masih tetap di Mekah. Pergerakan mereka pula sentiasa dipantau ketat oleh musyrikin Mekah. Satu hari Abu Bakar telah meminta izin kepada Rasulullah s.a.w untuk berhijrah, namun Baginda mengatakan belum sampai masanya untuk beliau berhijrah. Tunggulah sehingga diperintahkan dan ada teman yang akan bersama dengannya berhijrah nanti.

Ketika mendengar kata-kata Rasulullah s.a.w. beliau akur dan amat berharap teman yang akan menemaninya nanti adalah Baginda Rasulullah s.a.w. Walaupun masih belum tahu bilakah waktu untuk berhijrah, Abu Bakar telah menyiapkan segala persiapan. Semakin ramai yang telah keluar berhijrah dan yang tinggal kini hanyalah Rasulullah s.a.w dan keluarganya yang terdekat sahaja. 

Satu hari Baginda telah bermimpi sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Bukhari,

“Aku melihat dalam tidurku aku berhijrah dari Mekah ke satu tanah yang banyak pokok tamar. Pada mulanya aku menyangka ianya Yamamah atau Hajar tetapi ianya adalah Madinah, iaitu Yathrib.”

Perintah untuk Baginda berhijrah telah tiba. Pada masa yang sama pula kafir Quraisy juga telah merancang untuk mengambil tindakan paling keras iaitu mahu membunuh Rasulullah s.a.w. 


EmoticonEmoticon