Rabu, 02 September 2020

Inilah Orang Yang Mau Membunuh Rasulullah Muhammad Saw Yang Hendak Hijrah ke Madinah

Rasulullah Berhijrah Ke Madinah (bagian 4)


Ketika mereka berdua meneruskan perjalanan, kerisauan Abu Bakar tiba-tiba menjadi kenyataan. Beliau telah mendapati mereka telah diekori oleh seorang penunggang kuda. Abu Bakar telah memaklumkan kepada Baginda tentang apa yang beliau nampak namun Baginda tidak mengendahkannya dan terus bergerak dengan membaca al Quran. Baginda telah berdoa kepada Allah, “Ya Allah selamatkan kami dengan cara Engkau kehendaki.

Lelaki berkuda yang mengejar mereka adalah Suraqah Bin Malik. Beliau telah diberitahu oleh seseorang yang nampak kelibat beberapa orang yang melalui satu kawasan. Apabila mendengar tentang maklumat itu beliau yakin pastilah ini Rasulullah s.a.w. Maka tanpa berlengah lagi beliau terus memacu kuda menuju ke tempat yang tersebut. Terbayang olehnya hadiah yang ditawarkan Quraisy sekiranya beliau berjaya membunuh Baginda.

Ketika Suraqah hampir mendekati mereka berdua tiba-tiba kuda yang ditunggang olehnya jatuh akibat kaki kuda tersebut terbenam ke dalam tanah. Suraqah seorang yang mahir dalam mengendalikan kuda terkejut kerana inilah kali pertama beliau jatuh dari kuda sepanjang beliau menunggang kuda. Beliau bangun dan meneruskan tunganggannya menuju ke arah Baginda, sekali lagi beliau jatuh bagi kali kedua, tanpa disedarinya bahawa ini adalah satu teguran dari Tuhan atas tindakannya. Suraqah bangun dan terus menunggang ke arah Baginda sekali lagi kudanya jatuh bagi kali ketiga. Kali ini barulah Suraqah sedar dia tidak akan mempu mengejar Baginda dan menyedari adanya perlindungan Tuhan terhadap Baginda.

Akhirnya Suraqah yang sudah hampir tidak berdaya untuk membuat apa-apa lagi telah melaungkan kata-katanya meminta jaminan keselamatan daripada Baginda. Baginda berpaling ke arahnya dan bertanyakan namanya. Lalu dijawab olehnya beliau aalah Suraqah Bin Malik. Seterusnya Baginda dengan yakin berkata kepada Suraqah bagaimana pendapatnya sekiranya diberitahu Islam akan menang dan satu hari nanti serta berjaya menewaskan Parsi. Suraqah merasa sangat hairan bagaimana Baginda yang sedang dihambat oleh kafir Quraisy dan tidak ramai pula pembelanya begitu berani dan yakin tentang kemenangan Islam. Ini pastinya bukan sekadar angan-angan bahkan pastinya satu berita yang diyakini oleh Baginda.

Lalu Suraqah meminta agar beliau diberi jaminan keselamatan dan beliau berjanji tidak akan membocorkan maklumat perjalanan Baginda kepada kafir Quraisy. Seterusnya dituliskan perjanjanjian jaminan keselamatan oleh Baginda kepada Suraqah dan beliau kembali semula ke Mekah. Apabila tiba di Mekah Suraqah tidak menceritakan kepada kafir Quraisy tentang apa yang berlaku kepadanya. Beliau yang pada awalnya menjadi pemburu akhirnya bertukar menjadi pembela kepada Baginda.

Sewaktu Islam menang, bumi Taif telah ditawan dan Suraqah telah menunjukkan surat jaminan keselamatan oleh Baginda. Akhirnya Suraqah tidak ditawan malah beliau telah memeluk Islam. Manakala sewaktu pemerintahan Umar al Khattab, Parsi tewas ke tangan Islam, Suraqah telah diminta oleh Umar menceritakan kepada orang ramai apa yang pernah diberitahu oleh Baginda kepadanya dahulu. Maka beliau pun menceritakan keyakinan Baginda tentang tewasnya Parsi serta kemenangan Islam sewaktu Baginda dalam perjalanan hijrah ke Madinah.


EmoticonEmoticon