Sabtu, 29 Agustus 2020

Selanjutnya adalah Iyas bin Mu'az Penduduk Luar Mekah yang Menganut Islam

Selanjutnya adalah Iyas bin Mu'az Penduduk Luar Mekah yang Menganut Islam 


Iyas Bin Mu’az,
Seorang remaja dari Bani Abdul Ashal yang tinggal di Yathrib. Satu hari beliau telah diajak turut serta bersama rombongan untuk mengikat perjanjian dengan Quraisy yang ketika itu suku al Khazraj sedang bersengketa dengan Aus di Yathrib. Sewaktu  rombongan ini menuju ke Mekah, masih belum berlaku lagi peperangan antara kabilah al-Kahzraj dan Aus iaitu peperangan Bu’ats. 

Apabila Baginda Rasulullah mengetahui kedatangan rombongan Aus untuk bertemu Quraisy maka Baginda telah pergi untuk bertemu dengan mereka. Baginda telah datang dan berbincang dengan mereka serta menawarkan kepada mereka sebagaimana dalam hadis,

“Mahukah aku kemukakan kepada kamu suatu yang lebih baik dari yang apa kamu datang untuknya?”

Lalu mereka berkata, “apakah tawaran itu?” 

Jawab Rasulullah, “aku adalah Rasul utusan Allah, diutusnya aku kemari untuk sekalian hambanya, mengajak mereka menyembah Allah tanpa menyekutukanNya dengan sesuatu apa jua pun, diturunkannya ke atasku sebuah kitab.”

Kemudian Baginda menerangkan Islam kepada mereka serta membaca al-Quran. Lalu telah berkata lyas, 

“Wahai kaumku ini nampaknya lebih baik dari apa yang kamu datang kerananya tiba-tiba Abu al-Haisar Anas bin Rafi' salah seorang dari anggota rombongan mereka telah mengambil segenggam tanah dan dilontarnya kemuka lyas, sambil berkata,

“Tinggalkan hal-hal itu, aku bersumpah sebenarnya kita datang ke sini bukan untuk itu.”

Akibat dari tindakan itu lyas pun terus berdiam diri manakala Rasulullah bangun dari situ, sementara rombongan Aus pula berangkat pulang ke Yathrib tanpa berjaya mengikat perjanjian dengan pihak Quraisy. 

Tidak lama selepas itu berlakulah peperangan Bu’ats di Madinah dan Iyas telah cedera sehingga meragut nyawanya. Para ahli Madinah mengatakan sepanjang hayat Iyas dikhabarkan sentiasa bertahlil, tahmid, tasbih dan berzikir hinggalah beliau meninggal dunia. Tidak diragukan lagi beliau meninggal dunia dalam iman dan Islam. Beliau telah menerima Islam sejak bertemu Baginda di Mekkah.


EmoticonEmoticon