Caramantap

Biografi Dan Perjalanan Dakwah Rasulullah Muhammad Saw (‘amul Khusni) 2

×

Biografi Dan Perjalanan Dakwah Rasulullah Muhammad Saw (‘amul Khusni) 2

Share this article

Tahun Kesedihan (‘amul khuzni) 2

Tidak lama selepas kematian Abu Talib, isteri Rasulullah Khadijah Binti Khuwailid pula wafat. Ada sebahagian riwayat mengatakan jaraknya adalah sebulan, 3 bulan dan beberapa hari selepas kematian Abu Talib. Namun yang pastinya Khadijah wafat pada bulan Ramadhan tahun ke 10 Rasulullah menjadi Rasul. Ianya adalah tahun yang sama dengan kematian Abu Talib. Kewafatan Khadijah memberi kesan yang sangat mendalam kepada Rasulullah.
Khadijah seorang isteri, teman, penyokong, pemberi inspirasi dan penghibur kepada Rasulullah. Tiada mana-mana isteri Baginda yang lain mampu mencapai tahap sebagaimana yang dimiliki oleh Khadijah. Beliau bukan sahaja mengungkap kata-kata sokongan bersama Baginda bahkan merupakan pengerak utama yang membantu dakwah Rasulullah. Segala harta kekayaannya diinfakkan pada jalan Allah sewaktu tekanan dan penyiksaan menyelubungi kaum muslimin. Hebatnya Khadijah tidak ada galang gantinya.
Rasulullah s.a.w menyebut tentang kehebatan Khadijah,
آمنت بى حين كفر بى الناس، وصدقتنى حين كذبني الناس، وأشركتنى في مالها حين حرمنى الناس، ورزقنى الله ولدها وحرم ولد غيرها
Maksudnya : Dia beriman kepadaku ketika orang-orang mengingkariku. Dia membenarkanku ketika orang-orang  mendustakanku. Dia menyokongku dengan hartanya ketika orang-orang memboikotku. Dan Allah mengaruniakan anak bagiku dari (rahim)nya. Padahal dengan (isteri-isteriku) yang lain aku tak mendapatkannya.”(HR. Ahmad)
Al-Bukhari di dalam sahihnya meriwayatkan hadis dari Abi Hurairah dengan katanya: Jibril telah mendatangi Nabi Muhammad dan berkata;
“Wahai Rasulullah itu dia Khadijah telah datang bersama-samanya satu bekas, di dalamnya hidangan atau makanan atau minuman, bila beliau tiba ke hadapanmu, sampaikan kepadanya salam dari Tuhannya dan beritahu kepadanya berita gembira di mana tersedia untuk beliau sebuah rumah di dalam syurga, diperbuat dari permata baiduri tiada bising dan gangguan di dalamnya.”
Para sahabat mengatakan selepas kematian Abu Talib dan Khadijah mereka jarang nampak Baginda senyum dalam tempoh yang lama. Kehilangan Khadijah sebagai peneman jiwa Baginda ketika berada di rumah manakala kematian Abu Talib pula adalah pengawal Baginda di luar rumah. Inilah tahun kesedihan buat Baginda yang dikenali dengan tahun dua kesedihan.
Dakwah Baginda perlu diteruskan manakala tekanan kepada Rasulullah dan umat Islam makin menjadi-jadi. Baginda pernah mengatakan,
“Penentangan terhadap peribadiku tidak pernah berlaku sebelum Abu Talib dan Khadijah meninggal dunia.”
Setelah berdakwah selama 10 tahun di Mekah jumlah yang bersama dengan Islam sekitar 70 orang sahaja tidak termasuk mereka yang berhijrah ke Habsyah. Maka Rasulullah mula menyusun strategi untuk mengembangkan dakwah kepada kabilah-kabilah yang berada di luar kota Mekah. Baginda mula mencari siapa dan tempat manakah yang paling dekat untuk Baginda menyebarkan Islam. Akhirnya Baginda memilih Taif sebagai lokasi yang akan dikunjungi untuk mengajak kabilah di sana untuk menerima Islam. Jarak antara Mekah ke Taif lebih kurang 80 km.
Bagaimanakah sambutan dakwah Rasulullah?…..bersambung di kisah dakwah Rasulullah Muhammad Saw di Thaif.
Pos Terkait:  Cara Mengadakan Persekutuan Doa Gambar: Menguatkan Iman dan Persaudaraan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

close