Caramantap

Biografi Dan Perjalanan Dakwah Rasulullah Muhammad Saw | Rasulullah Muhammad Saw Kembali Dari Thaif

×

Biografi Dan Perjalanan Dakwah Rasulullah Muhammad Saw | Rasulullah Muhammad Saw Kembali Dari Thaif

Share this article

Nabi Muhammad Saw Kembali Dari Taif

Satu peristiwa yang berlaku ketika Baginda dan Zaid menumpang teduh di kebun anggur milik Utbah dan Syaibah adalah doa Baginda kehadrat Allah yang menyusuk kalbu bagi orang yang beriman. Doa Baginda seperti berikut,
اَللُّهُمَّ اِلَيْكَ اَشْكُوْ ضَعْفَ قُوَّتِي، وَقِلَّةَ حِيْلَتِيْ وَهَوَانِيْ عَلَى النَّاسِ يَا اَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ، اَنْتَ رَبُّ الْمُسْتَضْعَفِيْنَ، وَاَنْتَ رَبِّي، اِلَى مَنْ تَكِلُّنِيْ اِلَى بَعِيْدٍ يَتَجَهَّمُنِيْ ؟ اَوْ اِلَى عَدُوٍّ مَلَكْتَهُ اَمْرِيْ ؟ اِنْ لَمْ يَكُنْ بِكَ غَضَبٌ عَلَيَّ فَلاَ اُبَالِيْ وَلَكِنْ عَافِيَتَكَ هِيَ اَوْسَعُ لِيْ، أَعُوْذُ بِنُوْرِوَجْهِكَ الَّذِيْ اَشْرَقَتْ بِهِ الظُّلُمَاتُ، وَصَلُحَ عَلَيْهِ اَمْرُ الدُّنْيَا وَاْلاَخِرَةِ مِنْ اَنْ تُنَزِّلَ بِي غَضَبُكَ اَوْ تَحُلُّ بِي سَخَطُكَ، لَكَ الْعَتْبَي حَتَّى تَرْضَي، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ اِلاَّبِكَ
Maksudnya : Ya Allah, aku mengadu kepadaMu kelemahku, kekurangan dan kehinaanku daripada manusia. Wahai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Penyayang, EngkaulahTuhan orang-orang yang lemah dan Engkaulah Tuhanku. Kepada siapa Engkau serahkan diriku wahai Tuhan? Apakah kepada orang yang jauh yang menyerangku ataukah kepada musuh yang berkuasa keatas urusanku? Kalau tidak ada kemurkaanMu kepadaku, aku tidak peduli. Namun kesejahteraanMu lebih luas buatku. Aku berlindung dengan cahayaMu yang menerangi kegelapan dan cahanyaMu yang membawakan kebaikan di dunia dan akhirat, daripada kemurkaanMu yang akan Engkau timpakan kepadaku. Kepada Engkaulah segala rayuan hingga Engkau redha. Dan tiada daya dan upaya selain dari Engkau.”
Doa Baginda yang begitu sayu dalam munajat kepada Allah turut memberi bekas kepada para Malaikat. Kemudian turunlah Jibril berkata kepada Baginda bahawa Allah mengutus kami kepadamu,
يَا مُحَمَّدُ، فَقَالَ، ذَلِكَ فِيمَا شِئْتَ، إِنْ شِئْتَ أَنْ أُطْبِقَ عَلَيْهِمُ الأَخْشَبَيْن
Maksudnya : “Wahai Muhammad, terserah kepadamu, jika engkau mengkehendaki aku menghimpitkan kedua bukit itu kepada mereka”
Mendengar kata-kata Jibril, Baginda menjawab, “janganlah wahai Jibril. Biarlah aku sabar dengan kaumku.”
Kemudian Baginda berdoa,
بَلْ أَرْجُو أَنْ يُخْرِجَ اللَّهُ مِنْ أَصْلاَبِهِمْ مَنْ يَعْبُدُ اللَّهَ وَحْدَهُ، لاَ يُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا
Maksudnya : “Bahkan aku berharap Allah akan mengeluarkan dari tulang sulbi mereka keturunan yang akan menyembah Allah semata-mata serta tidak disekutukanNya dengan apa pun.”
Begitulah kasihnya Rasulullah terhadap umatnya walaupun Baginda diperlakukan dengan kejam dan tanpa belas ihsan. Tiada doa laknat untuk ummatnya yang masih jahil. Tiada doa mohon bala kepada mereka walaupun para malaikat bersedia sekiranya Baginda mahu melaksanakannya. Masya Allah ya Rasululah muliakan engkau, malunya kami dengan akhlak mu yang terlalu tinggi nilainya. *Sedikit ujian  Allah beri sudah kami mengalah dan mempersalah.*
Satu hari kegembiraan menyelubungi jiwa Rasulullah iaitu doanya dimakbul Allah, memang lahir dari rahim wanita Thaif anak-anak yang menerima Islam dan berjuang bersama mempertahankan Islam pada masa berikutnya. Sesungguhnya Allah menguji hambanya dengan ujian beruntunglah mereka yang sabar. Benarlah firman Allah,
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الأَمْوَالِ وَالأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ
Seterusnya Rasulullah dan Zaid mengambil keputusan kembali semula ke Mekah. Namun masalah yang akan berlaku ialah Baginda akan diganggu oleh kafir di Mekah. Sudah tidak ada lagi yang akan membelanya selepas kematian Abu Talib.
Baginda perlu mendapatkan pembelaan dari mana-mana pembesar Mekah yang akan menjamin tiada sesiapa yang boleh menganggu Baginda. Apakah yang dilakukan oleh Baginda agar boleh kembali ke Mekah tanpa diganggu oleh kafir Mekah? Jawabannya..
Bermusafirlah Baginda dengan Zaid kembali ke Mekah. Dalam perjalanan ini mereka telah singgah beberapa hari di satu tempat iaitu Wadi Nakhlah. Ketika Baginda berada di situ Allah telah mengutuskan beberapa jin yang hadir kepada Rasulullah. al Quran menyebut kisah ini,
وَإِذْ صَرَفْنَا إِلَيْكَ نَفَرًا مِنَ الْجِنِّ يَسْتَمِعُونَ الْقُرْآنَ فَلَمَّا حَضَرُوهُ قَالُوا أَنْصِتُوا فَلَمَّا قُضِيَ وَلَّوْا إِلَى قَوْمِهِمْ مُنْذِرِينَ (29) قَالُوا يَا قَوْمَنَا إِنَّا سَمِعْنَا كِتَابًا أُنزلَ مِنْ بَعْدِ مُوسَى مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ يَهْدِي إِلَى الْحَقِّ وَإِلَى طَرِيقٍ مُسْتَقِيمٍ (30) يَا قَوْمَنَا أَجِيبُوا دَاعِيَ اللَّهِ وَآمِنُوا بِهِ يَغْفِرْ لَكُمْ مِنْ ذُنُوبِكُمْ وَيُجِرْكُمْ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ (31)
Maksudnya : Dan (Ingatlah peristiwa) semasa kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar al Quran, setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): “Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!” Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran al Quran itu dengan) memberi ingatan dan amaran. Mereka berkata: “Wahai kaum kami! Sesungguhnya kami telah mendengar Kitab (al Quran ) yang diturunkan (oleh Allah) sesudah Nabi Musa yang menegaskan kebenaran Kitab-kitab Suci yang terdahulu daripadanya, lagi memandu kepada kebenaran (tauhid) dan kejalan yang lurus (agama Islam). “Wahai kaum kami! Sahutlah (seruan) Rasul (Nabi Muhammad) yang mengajak ke jalan Allah, serta berimanlah kamu kepadanya, supaya Allah mengampunkan sebahagian dari dosa-dosa kamu dan menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (al-Ahqaaf 46:29-31)
Manakala dalam surah yang lain pula dijelaskan,
قُلْ أُوحِيَ إِلَيَّ أَنَّهُ اسْتَمَعَ نَفَرٌ مِنَ الْجِنِّ فَقَالُوا إِنَّا سَمِعْنَا قُرْآنًا عَجَبًا (1) يَهْدِي إِلَى الرُّشْدِ فَآمَنَّا بِهِ وَلَنْ نُشْرِكَ بِرَبِّنَا أَحَدًا (2)
Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): “Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya satu rombongan jin telah mendengar (al Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: ‘Sesungguhnya kami telah mendengar al Quran (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan!. Kitab yang memberi panduan ke jalan yang betul, lalu kami beriman kepadaNya dan kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami.(al-Jin 72:1-2)
Menurut Ibnu Qayyim jin adalah makhluk yang tidak secerdik manusia. Sebab itu yang menguasai jin hingga mereka terpesong adalah berpunca dari iblis kerana dia lebih cerdik memperdaya jin.
Ketika Baginda berdakwah tidak mendapat sambutan dari penduduk Taif Allah mengembirakan Baginda dengan dakwah kepada golongan jin. Kumpulan jin ini menerima Islam. Sedikit kesedihan Baginda terubat dengan penat lelahnya menuju ke Taif yang tidak menerima sambutan dari penduduk di sana.
Seterusnya perjalanan menuju ke Mekah diteruskan dan Baginda telah berhenti rehat di Gua Hira sebelum masuk ke Kota Mekah terlebih dahulu. Meninjau dan menyusun strategi bagaimana hendak masuk semula ke Mekah tanpa adanya sekatan dan gangguan untuk terus berdakwah di Mekah. Beberapa tindakan telah dilakukan oleh Baginda sebelum masuk ke Mekah.
Cerita akan berlanjut pada kisah beliau sesampainya di Makkah..tetap bersama www.caramantap.com
Pos Terkait:  Jelaskan Manfaat Teks Ulasan
close