Perjalanan Dakwah Rasulullah Muhammad Saw (bagian 7) Mendapat Wahyu Berikutnya

Posted on

Perjalanan Dakwah Rasulullah Muhammad Saw (bagian 7)

 

Wahyu berikutnya yang ditunggu-tunggu oleh Rasulullah tidak turun dalam tempoh tertentu. Para ulama berbeza pandangan berkenaan tempoh tersebut, ada yang menyatakan beberapa hari, minggu dan bulan. Namun ianya bukan satu perkara yang penting untuk dibahaskan. Baginda Rasulullah mulai mengharap untuk mendapat isyarat wahyu sehinggakan keadaan hidup Baginda muram dan Baginda berkejar ke sana dan kemari. Adakalanya Baginda naik ke bukit untuk terjun namun ketika itu Jibril memperlihatkan dirinya seraya berkata,
“Wahai Muhammad! Sesungguhnya engkau adalah utusan Allah yang sebenar.”
Dengan seruan itu Baginda kembali tenang seketika. Namun beberapa hari kemudian Baginda merindui kembali wahyu. Apa yang menyebabkan tertangguhnya wahyu adalah untuk memberi ruang kepada Baginda bertenang dan bersedia untuk menerima hakikat kerasulan Baginda. Sehingga satu hari ketika Baginda berjalan, tiba-tiba Jibril menampakkan dirinya sebagaimana di jelaskan dalam sahih Bukhari dan Muslim.
Baginda mendengar suara dari langit kemudian memandang dan mencari arah suara itu. Lalu nampaklah Baginda malaikat yang sama yang pernah datang kepadanya yang sedang duduk di atas kursi antara langit dan bumi. Rasulullah kembali merasa takut lalu berlari pulang ke rumah dan meminta Khadijah menyelimutinya dengan berkata,
“Selimutkan aku, selimutkan aku.”
Ketika Baginda telah agak tenang diselimuti oleh Khadijah, turunlah wahyu kedua kepada Baginda iaitu sebagaimana firman Allah,
  يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ (١) قُمْ فَأَنْذِرْ (٢) وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ (٣) وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ (٤) وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ (٥) وَلا تَمْنُنْ تَسْتَكْثِرُ (٦) وَلِرَبِّكَ فَاصْبِرْ (٧)فَإِذَا نُقِرَ فِي النَّاقُورِ (٨) فَذَلِكَ يَوْمَئِذٍ يَوْمٌ عَسِيرٌ (٩) عَلَى الْكَافِرِينَ غَيْرُ يَسِيرٍ (١٠)
Maksudnya : Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya! Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi. (al-Muddadstsir 74: 1-5)
Wahyu ini menurut sebahagian ulama sebagai pelantikkan Baginda sebagai Rasul untuk menyampaikan perintah dan larangan Allah. Baginda dikehendaki sentiasa membesarkan Allah dan jangan sesekali takut kepada mana-mana manusia.
Sa’id ibnu Jubair mengatakan sehubungan dengan makna dan pakaian kamu bersihkanlah bermaksud  bersihkanlah hati dan niatmu.
Muhammad ibnu Ka’b Al-Qurazi dan Al-Hasan Al-Basri telah mengatakan bahawa maksudnya adalah perindahlah akhlakmu.
Qatadah telah mengatakan maksudnya adalah bersihkanlah dari perbuatan-perbuatan durhaka. Ini kerana dahulu orang-orang Arab mengatakan terhadap seorang lelaki yang melanggar janjinya dan tidak memenuhinya sebagai seorang yang kotor pakaiannya. Dan apabila dia menunaikan janjinya, maka dikatakan bahawa sesungguhnya dia benar-benar orang yang bersih pakaiannya.
Manakala maksud perbutan dosa tinggalkanlah pula juga terdapat beberapa tafsiran antaranya;
Ali ibnu Abu Talhah telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas, bahawa yang dimaksud dengan ar-rijzu ialah berhala, iaitu tinggalkanlah penyembahan berhala.
Menurut beberapa tokoh yang lain pun hampir sama seperti Mujahid, Ikrimah, Qatadah, Az-Zuhri, dan Ibnu Zaid, bahawa  mereka berkata sesungguhnya ar-rijzu artinya berhala.
Ibrahim dan Ad-Dahhak telah mengatakan dan perbuatan dosa tinggalkanlah bermaksud  tinggalkanlah perbuatan durhaka.
Setelah turunnya wahyu ini maka bermulalah episod dakwah Baginda yang penuh cabaran dalam mengajak kepada kebenaran mengenal Tuhan yang sebenar. Tidak sedikit kesusahan yang ditanggung Baginda, bukan sekadar kudrat, peluh, air mata bahkan darah Baginda mengalir bagi menyampaikan risalah Tauhid.
Rasa cinta Baginda kepada ummat tiada bertepi. Kesukaran dan kepayahan ditempuh dengan sabar. Baginda hanya rehat sedikit sahaja selebih masanya diperuntukkan untuk ummah. Manakala kita pula kadang-kadang melupakan ummah disibukkan dengan dunia, keluarga dan anak pinak. Hinggakan tiada masa untuk membaca sirah Rasulullah. Jika tidak kenal perjuangan Baginda jangan diharap akan menggapai cinta Rasulullah. Insya Allah episod seterusnya kita akan melihat siri-siri dakwah Baginda. Bacalah dari jiwa, amatilah kepayahan dan kesabaran Baginda.
Kisah bersambung…
Pos Terkait:  Cyberhackid: Siapa Mereka dan Apa yang Mereka Lakukan?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *