Caramantap

Kisah Pengkhianatan Yahudi Bani Nadhir

×

Kisah Pengkhianatan Yahudi Bani Nadhir

Share this article

Pengkhianatan Yahudi Bani Nadhir

Rasulullah s.a.w bersama para sahabat Abu Bakar As Siddiq, Umar Al Khattab, Ali Bin Abi Talib dan beberapa Sahabat yang lain telah pergi bertemu dengan Yahudi Bani Nadhir yang tinggal di Madinah untuk sama-sama menyumbang bagi memberi pampasan kepada 2 orang dari kabilah Amir yang telah dibunuh oleh Amru Bin Umayyah. Yahudi Bani Nadhir bersetuju untuk turut sama menyumbang bagi membayar pampasan tersebut sebagai ikatan kerjasama mereka penduduk Madinah.
Mereka telah meminta Baginda dan para Sahabat tunggu sebentar untuk mereka mengumpul wang pampasan. Namun syaitan menguasai jiwa mereka sehingga terlintas di fikiran mereka melihat Baginda datang tanpa senjata dan dengan jumlah sahabat yang sedikit maka mengapa tidak peluang diambil untuk membunuh Baginda sekarang. Memang begitulah kebencian mereka kepada Baginda sebenarnya tidak pernah padam sebaliknya mereka hanyalah berpura-pura sahaja.
Mereka telah mencadangkan siapa yang yang sanggup membunuh Baginda. Maka berkatalah salah seorang dari Yahudi Bani Nadhir, “siapakah di antara kamu yang berani membawa batu ini ke atas bumbung rumah kemudian humbankan ke atas kepalanya hingga berkecai?.
Maka jawab seorang Yahudi yang terkenal di antara mereka iaitu Amru bin Jahsy, “Aku!.”
Namun mereka telah dinasihati oleh Salam bin Misykam, “jangan buat pekerjaan itu, demi Allah, beliau (Muhammad) akan diberitahu oleh Allah dengan niat kamu itu dan ini merupakan pencabulan ke atas perjanjian kita dengannya.
Namun mereka semua tetap berazam untuk melaksanakan konspirasi membunuh Baginda ketika Baginda bersama mereka di perkampungan Bani Nadhir. Cadangan membunuh Baginda oleh Yahudi Bani Nadhir ini satu pencabulan perjanjian dengan Baginda untuk sama-sama mempertahankan Madinah. Mereka akan berhadapan dengan situasi paling buruk dalam kehidupan mereka.
Ketika Baginda dan para Sahabat menanti untuk mengambil sumbangan pampasan, Jibrail turun dari sisi Allah Rab al-Alamin memberitahu RasulNya tentang niat buruk Yahudi itu. Baginda dengan segera beredar dari tempat itu dan terus pulang ke Madinah.
Para Sahabat tidak diberitahu tentang berita dari Jibril tadi dan mereka membiarkan Baginda berjalan dengan anggapan Baginda keluar untuk membuang air. Baginda segera mengarahkan pasukan tentera bersiap sedia untuk mengempur perkampungan Yahudi Bani Nadhir. Para Sahabat yang masih di perkampungan Bani Nadhir akhirnya pulang ke Madinah setelah lama menanti Baginda. Apabila tiba di Madinah mereka agak terkejut melihat pasukan tentera yang sedang siap bersedia untuk mengempur perkampungan Bani Nadhir. Lalu mereka bertanya mengapa hendak menyerang perkampungan Bani Nadhir sedangkan mereka dan Rasulullah s.a.w pergi ke perkampungan tersebut tadi dengan keadaan yang aman.
Para Sahabat segera bertemu Rasulullah s.a.w dan Baginda menceritakan mengenai niat jahat Yahudi yang telah disampaikan oleh Jibril. Maka persiapan ketenteraan diperkemaskan serta pasukan tentera segera berangkat menuju ke perkampungan Bani Nadhir. Apabila mereka tiba di perkampung tersebut terkejutlah Yahudi Bani Nadhir dan mereka segera menutup pintu kota dan bersiap sedia untuk menghadapi tentera muslimin.
Mereka menghantar wakil bertemu Baginda dan berpura-pura bertanya kenapa Baginda membawa tentera untuk menyerang mereka. Baginda berkata, “kamu semua lebih tahu apa yang kamu lakukan.”
Baginda menghantar utusannya iaitu Muhammad Bin Maslamah dengan pesanan Baginda, “keluarlah kamu dari Madinah dan jangan kamu hidup bersama ku lagi di Madinah. Aku memberi tempoh 10 hari. Sesiapa yang masih berada selepas tempoh ini akan dipancung lehernya.”
Yahudi Bani Nadhir ketakutan dengan amaran Baginda. Tiba-tiba muncul Abdullah Bin Ubai bapa munafiqun menghantar wakilnya kepada Yahudi Bani Nadhir agar jangan mengalah dengan amaran Rasulullah s.a.w. Beliau memberi keyakinan kononya 2000 orang tentera akan bersama dengan mereka mempertahankan Yahudi Bani Nadhir. Kisah ini dirakamkan dalam al Quran,
۞ أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ نَافَقُوا يَقُولُونَ لِإِخْوَانِهِمُ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَئِنْ أُخْرِجْتُمْ لَنَخْرُجَنَّ مَعَكُمْ وَلَا نُطِيعُ فِيكُمْ أَحَدًا أَبَدًا وَإِنْ قُوتِلْتُمْ لَنَنْصُرَنَّكُمْ وَاللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ
Maksudnya : Tidakkah engkau melihat dan merasa hairan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang-orang munafik itu? Mereka tergamak berkata kepada saudara-saudara mereka yang kafir dari kalangan (kaum Yahudi) ahli Kitab: “Sesungguhnya, kalau kamu dihalau keluar sudah tentu kami akan keluar bersama-sama kamu dan kami tidak akan tunduk taat kepada sesiapapun untuk menentang kamu selama-lamanya dan kalau kamu diperangi, sudah tentu kami akan membela kamu!” Padahal Allah mengetahui dan menyaksikan bahawa sebenarnya mereka adalah pendusta. (Al Hasyr 59:11)
Abdulah Bin Ubai menambah keyakinan mereka bahawa Bani Quraizah dan Bani Ghatafan akan turut serta bersama mereka menentang tentera muslimin. Kata-kata Abdulah Bin Ubai ini telah mengubah keputusan Bani Nahdir untuk mengalah kepada bertahan dan menentang Baginda. Sehinggalah mereka berkata , “kami tidak akan keluar dari kampung kami ini buatlah apa yang kamu mahu lakukan.”
Mendengar sahaja keputusan yang dibuat oleh Huyai Bin Akhtab wakil Bani Nadhir maka Baginda melaungkan takbir dan disambut oleh para tentera muslimin. Tentera muslimin mula mengepung perkampungan Bani Nadhir. Penduduk Bani Nadhir bersembunyi di dalam perkampungan dengan menutup pintu kota serta melontarkan batu-batu dan tombak dari dalam.
Yahudi Bani Nadhir sangat mencintai harta dunia, pohon-pohon tamar yang berada diluar kota adalah harta yang sangat mereka sayangi kerana ianya sumber pendapatan mereka. Maka Rasulullah s.a.w memerintah supaya memotong pohon-pohon tamar dan membakarnya. Melihat pohon-pohon tamar ini tumbang satu demi satu maka hati mereka mula gelisah. Tindakan memusnahkan pohon-ohon tamar ini diizinkan oleh Allah sebagaimana firmanNya,
مَا قَطَعْتُمْ مِنْ لِينَةٍ أَوْ تَرَكْتُمُوهَا قَائِمَةً عَلَىٰ أُصُولِهَا فَبِإِذْنِ اللَّهِ وَلِيُخْزِيَ الْفَاسِقِينَ
Maksudnya : Mana-mana jua pohon kurma (kepunyaan musuh) yang kamu tebang atau kamu biarkan tegak berdiri seperti keadaannya yang asal, maka yang demikian adalah dengan izin Allah (kerana Ia hendak memberi kemenangan kepada orang-orang mukmin), dan kerana Ia hendak menimpakan kehinaan kepada orang-orang yang fasik. (Al Hasyr 59:5)
Baginda berkata kepada mereka, “kami akan menebangnya semuanya sehingga kamu menyerah diri.”
Akhirnya mereka terpaksa menyerah diri kerana Allah mencampakkan rasa gerun terhadap Baginda dan tentera Islam sedangkan belum satu anak panah pun dilontarkan kepada mereka. Wakil mereka datang bertemu Baginda dan menyatakan mereka menyerah diri. Keputusan yang dibuat oleh Baginda ialah mereka mesti keluar dari Madinah membawa diri, keluarga dan harta sekadar yang boleh dibawa oleh unta-unta tanpa senjata.
Pembesar-pembesar Bani Nadhir seperti Huyai bin Akhtab dan Salam bin Abi al-Haqiq berpindah ke kawasan seperti Khaibar. Manakala sebahagiannya yang lain keluar hingga sampai ke negeri Syam. Cuma dua orang sahaja yang memeluk Islam iaitu Yamin bin Amru dan Abu Saad bin Wahb mereka berdua dikembalikan hartanya.
Setelah menuju dan menetap di Khaibar pembesar Bani Nadhir diangkat menjadi pemimpin dan mereka telah menggerakkan misi tentera Ahzab yang terdiri dari Quraisy, Arab dan Yahudi Khaibar untuk menyerang Madinah.
Pos Terkait:  Berapa Lama Waktu Transfer Uang dari Luar Negeri melalui Bank BNI
close