Minggu, 06 September 2020

Begini Keadaan Masjid Nabawi Dan Jalinan Persaudaraan Islam Yang Ada di Madinah

Masjid dan Persaudaraan Islam Madinah


Usaha yang bersungguh-sungguh oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat dari kalangan Muhajirin dan Ansar berjaya menyiapkan pembinaan Masjid Nabawi. Struktur masjid ini terdiri daripada tiang mihrab dari susunan batu-batu, temboknya dari pasir dan batu yang disusun, bumbungnya dari pelepah tamar, tiang-tiang masjid diperbuat dari batang-batang pokok tamar, lantainya diperbuat dari pasir dan anak-anak batu yang kecil. Terdapat tiga pintu masuk masjid, panjang masjid ini lebih kurang seratus hasta tidak termasuk mihrab dan lebarnya juga lebih kurang seratus hasta.

Di bina juga bilik-bilik kecil dari batu dan tanah serta atap dari pelepah tamar iaitu ruang-ruang untuk isteri-isteri dan untuk Rasulullah s.a.w menetap di situ. Setelah siap sepenuhnya Baginda berpindah dari rumah Abu Ayyub dan tinggal di masjid Nabawi.

Masjid yang telah siap ini bukan sekadar merupakan tempat solat bagi umat Islam bahkan mempunyai fungsi yang sangat besar. Inilah merupakan tempat untuk belajar, berkenal-kenalan, persinggahan para musafir, persidangan umat Islam, tempat untuk Baginda menerima tetamu dan menyelesaikan masalah umat Islam dan pelbagai peranan lagi.

Inilah masjid yang memenuhi fungsinya sebagaimana dinyatakan al Quran,

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللهِ مَنْ آمَنَ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلا الله َ فَعَسَى أُولَئِكَ أَنْ يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Maksudnya : “Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat, dan tidak takut kepada siapapun selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Taubah 9:18) 

Bagi memastikan umat Islam hidup berpaksikan agama dan bukannya adat warisan keturunan maka Baginda telah mengambil inisiatif menyatukan persaudaraan Islam antara Muhajirin (sahabat yang berhijrah dari Mekah) dan Ansar (penduduk Madinah). Baginda telah membuat satu pertemuan yang dihadiri oleh 90 orang, separuh darinya adalah golongan Muhajirin dan separuh lagi adalah Ansar. 

Tujuan persaudaraan ini besar kesannya dalam pembentukkan negara dan masyarakat yang akan dipimpin oleh Baginda. Baginda sudah mempunyai pengalaman semasa di Mekah bagaimana kehidupan berdasarkan suku dan kabilah menyebabkan kehidupan menyanjung keturunan antara punca penghalang untuk menerima Islam. Bahkan kecintaan kepada kabilah mengatasi kebenaran Islam.

Persaudaraan ini telah mengikat kasih sayang antara Muhajirin dan Ansar serta membina masyarakat baru yang benar-benar hidup dengan menjadikan wahyu sebagai panduan kehidupan. Tiada siapa yang lebih mulia kerana keturunan, kedudukan, harta, warna kulit dan sebagainya melainkan mereka yang bertakwa. 

Kaum Ansar yang merupakan penduduk Madinah menyambut baik seruan Baginda dan mengikat perjanjian persaudaraan dengan Muhajirin. Sehingga ada yang menawarkan pertolongan dan bantuan kewangan, tempat tinggal dan sebagainya kepada sahabat Muhajirin. Perbuatan mereka telah mendapat sanjungan al Quran. Lihat firman Allah,

وَالَّذِينَ تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالْإِيمَانَ مِنْ قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلَا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ

Maksudnya : Dan orang-orang yang telah mendiami kota Madinah dan telah beriman (Anshar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka mencintai orang yang berhijrah kepada mereka. Dan mereka tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (orang Muhajirin) dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri. Sekalipun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan itu). (Surah al Hasyr 59:9)


EmoticonEmoticon