Caramantap

Biografi Dan Perjalanan Dakwah Rasulullah Muhammad Saw (bagian 2)

×

Biografi Dan Perjalanan Dakwah Rasulullah Muhammad Saw (bagian 2)

Share this article

Biografi Dan Perjalanan Dakwah Rasulullah Muhammad Saw (bagian 2)

Abdul Mutalib datuk Rasulullah s.a.w telah mengambil tanggungjawab memelihara cucunya yang sudah menjadi yatim piatu. Abdul Mutalib telah memberi perhatian yang lebih kepada cucunya ini berbanding dengan yang lain. Ibnu Hashim menceritakan, Abdul Mutalib seorang yang dihormati di Mekah. Kebiasaannya akan dihamparkan sebidang tikar di Kaabah untuk Abdul Mutalib duduk. Anak-anaknya serta cucu-cucunya akan duduk sekeliling tikar tersebut dan tiada seorang pun yang akan duduk diatas tikar tersebut. Namun ketika Baginda masih kecil Baginda akan duduk diatas tikar tesebt dan bapa-bapa saudaranya akan menarik Baginda bagi memberi ruang kepada Abdul Mutalib. Melihatkan gelagat Rasulullah itu Abdul Mutalib berkata
Biarkan anakku itu demi Allah dia mempunyai kedudukan.
Kemudian Abdul Mutalib duduk disamping Baginda dan mengosok belakang Rasulullah. Perbuatan itu menyenangkan Abdul Mutalib.
Kegembiraan Rasulullah dibelai dengan penuh kasih sayang oleh datuknya Abdul Mutalib hanyalah sekitar dua tahun sahaja. Di usia Baginda lapan tahun dua bulan Abdul Mutalib meninggal dunia pula. Sebelum kewafatan Abdul Mutalib telah diwasiatkan agar Abu Talib bapa saudara Nabi mengambil tanggungjawab untuk memelihara Baginda. Walaupun Abu Talib bukan dari keluarga yang senang beliau tetap menerima untuk memelihara Rasulullah.
Abu Talib seorang yang pengasih, penyayang dan mulia sentiasa melebihkan kasihnya kepada Rasulullah. Baginda pula sentiasa mendampingi Abu Talib dengan senang dan sentiasa membantu bapa saudaranya ini. Seringkali Abu Talib akan membawa Rasulullah apabila ada urusan di luar. Anak-anak Abu Talib yang juga merupakan sepupu Rasulullah juga menyenangi Baginda.
Baginda pandai menyesuaikan diri dan tidak menyusahkan Abu Talib. Sikap dan tingkahlaku Baginda menyebabkan semua orang yang mendekatinya akan merasa aman dan tenang. Tidak terdapat kanak-kanak yang seusia Baginda yang mempunyai perangai seperti Baginda yang disenangi oleh sesiapa yang mendekatinya. Walaupun Baginda seorang yatim piatu tidaklah Baginda merasakan terasing dan menyendiri. Al Quran menyebut Baginda walaupun seorang yatim tetap berada dalam perlindungan Allah, lihat firman Allah
أَلَمْ يَجِدْكَ يَتِيمًا فَآوَىٰ
Maksudnya : Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu Dia melindungimu? (Dhuha 93:6)
Satu hari Abu Talib telah membawa Baginda dalam perjalanan ke Syam. Waktu itu usia Baginda adalah 12 tahun. Setibanya di kota Busra iaitu kampung yang bersempadan dengan Syria dan Semenanjung Arab, ada seorang rahib yang bernama Buhaira memerhatikan Baginda. Rahib ini telah melihat tanda-tanda kenabian sebagaimana diterangkan oleh kitab -kitab Nasrani terdapat pada Baginda.
Lalu Buhaira memegang tangan Baginda dan beliau berkata:
“Inilah penghulu dunia sejagat, inilah orang yang diutuskan Allah sebagai rahmat untuk sekelian alam.
Kemudian berkata Abu Talib,
“Dari mana maklumat ini tuan perolehi?
Jawab Buhaira,
Tahukah kamu, bahawa semasa kamu mendekati “al-Aqabah” tidak ada batu dan pokok-pokok pun yang tidak tunduk sujud kepadanya, sujud seperti ini hanya berlaku kepada seorang nabi sahaja dan aku kenali pada Baginda “Khatam al-Nubuwah” penutup kenabian, ianya terletak di belakang Baginda di bawah tulang dayung bentuknya seperti epal, semua sifat-sifat Baginda tersebut di dalam kitab-kitab kami.
Seterusnya beliau meminta supaya Abu Talib membawa Baginda pulang ke Mekah dan jangan diteruskan membawanya ke negeri Syam kerana ditakuti tindakan buruk oleh Yahudi. Mendengar nasihat Buhaira maka Abu Talib telah mengirim Rasulullah untuk berpatah balik ke Mekah bersama-sama dengan beberapa orang suruhannya.
Kisah ini akan bersambung di bagian ke 3 dari biografi dan perjalanan dakwah Rasulullah Muhammad Saw. Ikuti selalu kisahnya!!
Pos Terkait:  Perbedaan Jam Jakarta dan Makassar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

close