CaramantapPerawatan Diri dan Gaya

Terlengkap! Kisah Isra’ Dan Mi’raj Nabi Muhammad Saw | Imam Para Rasul Allah

×

Terlengkap! Kisah Isra’ Dan Mi’raj Nabi Muhammad Saw | Imam Para Rasul Allah

Share this article

Isra’ dan Mi’raj Nabi Muhammad Saw 

Ketika dakwah disekat di Mekah, cahaya Islam tetap bersinar menerangi jiwa manusia yang datang menunaikan ibadah Haji ke Mekah. Rasulullah s.a.w tidak pernah merasa jemu bahkan tetap bersemangat menyampaikan seruan Islam. Kehilangan isteri yang dikasihi Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib yang menyebabkan Baginda sedih diganjari dengan satu peristiwa yang besar kepada Baginda iaitu Israk dan Mikraj. Ianya bukan sahaja peristiwa penting kepada Baginda bahkan kepada ummat Nabi Muhammad s.a.w.
Para cendiakawan Islam berbeza pandangan tentang tarikh berlakunya Israk dan Mikraj. Terdapat pelbagai pandangan antaranya,
1. Al-Tabari berpendapat berlakukannya di tahun Baginda dibangkitkan menjadi Rasul
2. Al-Nawawi dan al-Qurtubi mentarjihkan di *tahun kelima* kebangkitan Baginda. 
3. Al-‘Alamah al-Mansurfuri menetapkan pada malam dua puluh tujuh di bulan Rejab *tahun kesepuluh* kebangkitan Baginda. 
4. Pendapat lain mengatakan *enam belas tahun sebelum hijrah* iaitu di bulan Ramadhan tahun dua belas kebangkitan Baginda. 
5. Ada pendapat mengatakan *setahun dua bulan sebelum hijrah* iaitu di bulan Muharam tahun ketiga belas kebangkitan Rasulullah. 
6. Satu lagi pendapat menyebut berlakunya setahun sebelum hijrah iaitu di dalam bulan Rabiulawal tahun ketiga belas kebangkitan Baginda. 
Menurut pandangan Syeikh Syafiurrahman al Mubarakfuri beliau mengatakan gaya bahasa surah al-Israk itu menunjukkan Israk itu berlaku di ketika masa-masa yang akhir sebelum Hijrah. Berlakunya Israk dan Mikraj ini telah meninggikan lagi kedudukan Masjidil Aqsa di Palestin. Lihat al Quran meletakkan Masjidil Aqsa ditempat yang mulia,
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّه هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ 
Maksudnya : Mahasuci Allah yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda, (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (Isra 17:1)
Al Quran menjelaskan kekuasaan Allah yang mampu melakukan apa sahaja menurut kehendakNya. Satu kelebihan yang diberikan kepada Baginda di saat kesukaran dalam berdakwah iaitu eksplorasi malam hari menuju ke Masjidil Aqsa dari Mekah. Perjalanan ini bukanlah seperti perjalanan yang dilalui oleh mana-mana manusia biasa tetapi adalah anugerah tidak ternilai buat Baginda. Terdapat banyak hadis mengambarkan peristiwa ini dengan riwayat yang pelbagai. Antara yang boleh dicoretkan disini beberapa kupasan oleh tokoh Islam adalah seperti berikut,
Ibnu al-Qayim telah menyebut, Rasulullah telah diIsrakkan dengan jasadnya dari Masjid al Haram ke Baitul Maqdis dengan menunggang Buraq, ditemani oleh Jibril. Rasulullah turun ke Baitul Maqdis dengan mengimami sembahyang bersama para Anbiya yang terdahulu, Buraq ditambat di halaman Masjid al Aqsa. 
Perjalanan biasa menaiki unta ke Masjidil al Aqsa di Palestin mengambil masa sekitar 40 hari. Namun Allah telah menyediakan seekor binatang yang bernama Buraq yang sangat pantas untuk membawa Baginda. Peneman kepada Baginda tidak lain adalah Jibril yang sentiasa membawa wahyu kepada Baginda. Apabila tiba di Masjidil Aqsa, telah menanti Baginda adalah para Rasul dan Nabi. Para cendiakawan Islam mengatakan jumlah Rasul iaitu 315 dan jumlah para Nabi 124,000 mengikut dibelakang Baginda yang memimpin solat.
Inilah satu-satunya perhimpunan yang tidak akan berulang lagi di dunia. Semua Rasul dan Nabi berkumpul bersama Rasulullah s.a.w. Ianya tanda kemuliaan Baginda yang disediakan Allah. Namun ini baru perjalanan dunia belum lagi perjalanan ke langit iaitu Mikraj. 
Terdapat beberapa hadis yang menceritakan peristiwa Israk dan Mikraj. Memadai dinyatakan satu didalam penulisan ini.
Imam Muslim merekodkan: Syaiban bin Farruj menceritakan kepadaku daripada Hammad bin Salamah, daripada Sabit bin al-Bunani, daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w berkata:
Aku telah didatangi al-Buraq, iaitu seekor binatang yang berwarna putih, lebih besar dari keldai tetapi lebih kecil dari baghal. Ia merendahkan tubuhnya sehinggalah perut al-Buraq tersebut mencecah bumi.
Tanpa membuang masa, aku terus menungganginya sehinggalah sampai ke Baitul Maqdis. Lalu aku mengikatnya pada tiang masjid sebagaimana yang biasa dilakukan oleh para Nabi. Sejurus kemudian aku masuk ke dalam masjid dan mendirikan solat sebanyak dua rakaat. Setelah selesai aku terus keluar, secara tiba-tiba aku didatangi dengan semangkuk arak dan semangkuk susu oleh Jibril, aku memilih susu. Lalu Jibril berkata, “Engkau telah memilih fitrah.”
Kemudian Jibril membawaku naik ke langit. Ketika Jibril meminta agar dibukakan pintu, kedengaran suara bertanya, “siapakah engkau?” Dijawab oleh Jibril, “aku Jibril.” Kemudian ditanya lagi, “siapakah bersamamu?” Jibril  menjawab, “Muhammad. Jibril  ditanya lagi, “adakah dia telah diutuskan?” Jibril menjawab, “ya dia telah diutuskan.” Lalu dibukakan pintu kepada kami. Ketika itu aku bertemu dengan Nabi Adam beliau menyambutku serta mendoakan aku dengan kebaikan.
Seterusnya aku dibawa naik ke langit kedua. Jibril meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi, “siapakah engkau?” Dijawabnya, “Aku Jibril.” Jibril  ditanya lagi, “siapakah bersamamu?” Jibril menjawab, “Muhammad.”  Jibril ditanya lagi, “adakah dia telah diutuskan?” Jibril menjawab, “ya, dia telah diutuskan.” Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Isa ibnu Maryam dan Yahya bin Zakaria, mereka berdua menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan.
Aku dibawa lagi naik langit ketiga. Jibril meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi, “siapakah engkau?” Dijawabnya, “aku Jibril.” Jibril ditanya lagi, siapakah bersamamu?” Jibril menjawab, “Muhammad.” Jibril ditanya lagi, “adakah dia telah diutuskan?” Jibril menjawab, “ya, dia telah diutuskan.” Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Yusuf ternyata dia telah dikurniakan sebahagian dari keindahan. Dia terus menyambut aku dan mendoakan aku dengan kebaikan.
Aku dibawa lagi naik ke langit keempat. Jibril meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi, “siapakah engkau?” Dijawabnya, “aku Jibril.” Jibril  ditanya lagi, “siapakah bersamamu?” Jibril menjawab, “Muhammad.” Jibril ditanya lagi, “adakah dia telah diutuskan?” Jibril menjawab, “ya, dia telah diutuskan.” Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Idris dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Firman Allah yang bermaksud : Dan kami telah mengangkat ke tempat yang tinggi darjatnya.
Aku dibawa lagi naik ke langit kelima. Jibril meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi, “siapakah engkau?” Dijawabnya, “aku Jibril.” Jibril ditanya lagi, “siapakah bersamamu?” Jibril menjawab, “Muhammad.” Jibril ditanya lagi, “adakah dia telah diutuskan?” Jibril menjawab, “ya, dia telah diutuskan.” Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Harun dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan.
Aku dibawa lagi naik ke langit keenam. Jibril meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi, “siapakah engkau?” Dijawabnya “aku Jibril.” Jibril  ditanya lagi, “siapakah bersamamu?” Jibril menjawab, “Muhammad.” Jibril ditanya lagi, “adakah dia telah diutuskan?” Jibril menjawab, “ya, dia telah diutuskan.” Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Musa dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan.
Aku dibawa lagi naik ke langit ketujuh. Jibril meminta supaya dibukakan. Kedengaran suara bertanya lagi, “siapakah engkau?” Dijawabnya, “aku Jibril.”
Jibril ditanya lagi, “siapakah bersamamu?” Jibril menjawab, “Muhammad.” Jibril ditanya lagi, “adakah dia telah diutuskan?” Jibril menjawab, “ya, dia telah diutuskan.” Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Ibrahim dia sedang berada dalam keadaan menyandar di Baitul Makmur. Keluasannya setiap hari memuatkan tujuh puluh ribu malaikat. Setelah keluar mereka tidak kembali lagi kepadanya. 
Kemudian aku dibawa ke Sidratul Muntaha. Daun-daunnya besar umpama telinga gajah manakala buahnya pula sebesar tempayan. Ketika aku merayau-rayau meninjau kejadian Allah, aku dapati kesemuanya aneh-aneh. Tidak seorang pun dari makhluk Allah yang mampu menggambarkan keindahannya.
Lalu Allah memberikan wahyu kepada aku dengan mewajibkan solat lima puluh waktu sehari semalam. Apabila aku turun dan bertemu Nabi Musa, dia bertanya, “apakah yang telah difardukan oleh Tuhanmu kepada umatmu?” Aku menjawab, “solat lima puluh waktu.” Nabi Musa berkata, “kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan kerana umatmu tidak akan mampu melaksanakannya. Aku pernah mencuba Bani Israil dan memberitahu mereka.” 
Lalu aku kembali kepada Tuhanku dan berkata, “Wahai Tuhanku, berilah keringanan kepada umatku.” Lalu Allah mengurangkan sehingga lima waktu solat.
Aku kembali kepada Nabi Musa dan berkata, “Allah telah mengurangkan lima waktu solat dariku.” Nabi Musa berkata, “umatmu masih tidak mampu melaksanakannya. Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan lagi.” 
Aku tak henti-henti berulang-alik antara Tuhan dan Nabi Musa, sehinggalah Allah  berfirman yang bermaksud, “Wahai Muhammad! Sesungguhnya aku fardukan hanyalah lima waktu sehari semalam. Setiap solat fardu diganjarkan dengan sepuluh ganjaran. Oleh yang demikian, bererti lima waktu solat fardu sama dengan lima puluh solat fardu.”
“Begitu juga sesiapa yang berniat, untuk melakukan kebaikan tetapi tidak melakukanya, nescaya akan dicatat baginya satu kebaikan. Jika dia melaksanakannya, maka dicatat sepuluh kebaikan baginya. Sebaliknya sesiapa yang berniat ingin melakukan kejahatan, tetapi tidak melakukannya, nescaya tidak sesuatu pun dicatat baginya. Seandainya dia melakukannya, maka dicatat sebagai satu kejahatan baginya.” 
Lalu aku turun hingga sampai kepada Nabi Musa, lalu aku memberitahu kepadanya. Dia masih lagi berkata, “kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan.” Baginda menyahut, “aku terlalu banyak berulang alik kepada Tuhan, sehingga menyebabkan aku malu kepadaNya.”
Nota : Hadis yang mempunyai kandungan serupa direkodkan juga oleh al-Bukhari dalam bab Mikraj, no 3800. Hadis Sahih yang berkaitan juga boleh di dapati dalam rekod berikut : Al-Bukhari: 3394, 3437, 4709, 5576, 5603. Muslim : 272. Ahmad: 512. 
Semasa di Israk dan Mikraj, Baginda Rasulullah s.a.w. telah melalui dan diperlihatkan beberapa perkara antaranya,
1. Baginda telah diberi pilihan susu dan khamar (arak) namun Baginda telah memilih susu. Disebutkan kepada Baginda, “kamu telah ditunjukkan fitrah dan kamu memilih fitrah sebaliknya jika kamu memilih khamar nescaya binasalah ummat kamu.
2. Ditunjukkan kepada Baginda sungai di dalam syurga seperti diriwayatkan dari Nabi s.a.w Baginda bersabda: “Pada malam aku di jalankan (Israk) ke langit, telah diperlihatkan kepadaku seluruh syurga, maka aku melihat 4 buah sungai, yang pertama sungai dari air yang tidak berubah warnanya, kedua sungai dari susu yang tidak pernah berubah rasanya, dan ketiga sungai dari arak (khamar) dan yang keempat sungai dari madu yang sangat sedap. Sebagaimana firman Allah,
 ۖ فِيهَا أَنْهَارٌ مِنْ مَاءٍ غَيْرِ آسِنٍ وَأَنْهَارٌ مِنْ لَبَنٍ لَمْ يَتَغَيَّرْ طَعْمُهُ وَأَنْهَارٌ مِنْ خَمْرٍ لَذَّةٍ لِلشَّارِبِينَ وَأَنْهَارٌ مِنْ عَسَلٍ مُصَفًّى ۖ 
Maksudnya : Yang di dalamnya terdapat sungai-sungai dari air yang tidak berubah  rasa dan baunya, sungai-sungai dari air susu yang tidak berubah rasanya, sungai- sungai dari khamar yang lazat rasanya bagi orang yang meminumnya dan sungai- sungai dari madu yang bersih dan jernih.” (Muhammad 47: 15).
3. Baginda telah melihat malaikat Malik yang bertugas sebagai penjaga neraka yang tidak pernah senyum serta mukanya tiada sedikit pun mesra atau lembut. Seterusnya Baginda melihat syurga dan neraka. 
4. Baginda juga melihat azab terhadap golongan yang memakan harta anak-anak yatim secara aniaya. Mulut mereka seperti mulut unta. Apabila dilontar ke dalam rahang mulut mereka ketulan-ketulan api neraka ianya seperti harimau meluru keluar dari dasar neraka keluar melalui dubur mereka. 
5. Baginda menyaksikan azab terhadap pemakan riba dengan perut yang besar, akibatnya mereka tidak berupaya untuk bergerak dari tempat-tempat mereka.
6. Seterusnya Baginda melihat azab pula terhadap para penzina yang diletakkan di hadapan mereka daging-daging elok dan segar serta daging-daging buruk lagi busuk, namun mereka memilih dan memakan yang busuk  serta meninggalkan daging yang segar.
7. Baginda juga diperlihatkan sekumpulan wanita yang memasuki di dalam majlis lelaki bukan anak-anak mereka, mereka digantung dari payudara-payudara mereka.
Ini antara yang diperlihatkan kepada Baginda semasa di Israk dan Mikraj oleh Allah. Setelah menerima perintah solat 5 waktu untuk ummat Muhammad akhirnya Baginda kembali ke Baitul Maqdis. 
Dari Baitul Maqdis Baginda menuju ke kota Mekah. Semasa  bergerak pulang Baginda telah melihat beberapa pemandangan dan peristiwa. Baginda telah melewati satu rombongan kabilah bersama unta yang sedang bergerak menuju ke Mekah. Apabila unta rombongan ini terlihat Buraq maka menjadi takutlah unta-unta ini sehingga bertempiaran lari dan bersembunyi. Kabilah ini mengejar dan cuba menangkap kembali unta-unta mereka tetapi tidak berjaya. Kemudian kabilah ini mendengar suara dari langit memberitahu di mana unta-unta mereka bersembunyi. Apabila mereka menuju ke tempat yang disebut itu terjumpalah kembali unta-unta ini. Mereka menjadi hairan dari mana suara ini datang.
Sebelum waktu Subuh Baginda sudah berada di kota Mekah kembali. Perjalanan Baginda tidak sampai sepenuh malam pun yang biasanya tidak akan mampu dilakukan oleh mana-mana manusia di zaman itu. Inilah satu anugerah hebat kepada Rasulullah s.a.w. Namun anugerah yang hebat pasti akan memikul tugas yang lebih berat. Bagaimanakah Rasulullah s.a.w boleh menyakinkan umat Islam dan kafir mempercayai peristiwa Israk dan Mikraj?
Selepas subuh Rasulullah s.a.w berada di Mekah memikirkan hal tentang peristiwa yang telah dilaluinya malam tadi. Ketika Baginda duduk di situ Abu Jahal yang memerhati Baginda menghampirinya dan bertanya.
“Wahai Muhammad, apakah sesuatu berlaku kepadamu.”
Baginda menjawab, “ada.”
“Apakah yang berlaku?” Tanya Abu Jahal.
Baginda menjelaskan, “malam tadi aku telah ke Baitul Maqdis dan telah kembali ke sini.”
Mendengar sahaja Baginda berkata begitu Abu Jahal merasa gembira kerana mendapat modal baru untuk memburukkan dan mempersendakan dakwah Baginda. Kemudian berkatalah beliau,
 “Apakah kamu mahu menceritakan kepada kaummu yang lainnya, apa yang baru sahaja  kamu ceritakan kepadaku?
Berkata Baginda, “baiklah!”
Lalu Abu Jahal melaungkan suaranya dan memanggil mereka yang berada di Mekah,
“Wahai Bani Ka’ab bin Luay, datanglah kamu semua ke sini!”
Mereka segera datang dan berkumpul di sekeliling Baginda. Kemudian Abu Jahal berkata, 
“Ceritakanlah kepada kaummu apa yang baru sahaja kamu katakan kepadaku.”
 Berkata Baginda, “ Malam tadi aku telah diisrakkan (diperjalankan)!
Mereka bertanya, “Ke mana?”
Baginda berkata, “Ke Baitul Maqdis!!”
“Baitul Maqdis di Palestin?” Kata mereka tidak percaya, “Kemudian pada waktu pagi begini kamu telah berada bersama kami disini?”
“Ya benar!!” Baginda mengiyakan.
Mereka berpandangan diantara satu sama lain dengan penuh kehairanan dan ada yang berkata Baginda sudah tidak waras. Perjalanan ke Baitul Maqdis yang memakan masa  sebulan dengan unta sedangkan Baginda telah kembali tidak sampai satu malam tidak  dapat diterima oleh mereka. Kesan dari kata-kata Baginda mengakibatkan ada sebahagian dari mereka yang telah memeluk Islam telah kembali menjadi murtad. Ada yang lemah imannya. Manakala  kebanyakan kaum kafir semakin kufur dan kuat menentang dakwah Baginda. 
Beberapa orang telah mencari Abu Bakar untuk menceritakan apa yang mereka telah dengar dari Baginda. Abu Bakar apabila diceritakan kata-kata Baginda terus memberikan reaksinya,
“Sekiranya Muhammad yang berkata begitu, sesungguhnya dia bercakap benar.”
Kemudian Abu Bakar menuju ke Kaabah untuk bertemu Baginda dan beliau dapati ramai kaum Quraisy mengerumuninya. Lalu bertanyalah Abu Bakar,
“Wahai Rasululullah, benarkah kamu telah ke Baitul Maqdis?
Jawab Baginda, “ya benar.”
Kemudian Abu Bakar berkata, “benarlah apa yang kamu katakan itu wahai Muhammad.”
Abu Bakar telah menyakini apa yang diucapkan oleh Baginda kerana beliau mengenali Rasulullah sebagi seorang yang tidak pernah berdusta. Hakikat sebenarnya penduduk di Mekah semua mengetahui Baginda seorang yang jujur dari awal mereka mengenalinya. Keyakinan Abu Bakar itu mengembirakan Baginda lalu berkatalah Baginda,
“Engkau telah membenarkan apa yang aku katakan wahai Abu Bakar As Siddiq.”
Bermula dari saat inilah Abu Bakar dipanggil As Siddiq yang membenarkan.
Kafir Quraisy mempersoal kepercayaan Abu Bakar, bagaimana beliau boleh menerima peristiwa perjalanan Baginda ke Baitul Maqdis dan kembali dalam masa tidak sampai satu malam. Abu Bakar pula sedia maklum perjalanan biasa ke Baitul Maqdis mengambila masa 1 bulan. Abu Bakar mengatakan beliau boleh mempercayai wahyu yang turun dari langit yang menjawab persoalan manusia dalam sekelip mata sahaja mengapa pula beliau tidak boleh percaya perjalanan Baginda.
Mereka gagal mendapat sokongan Abu Bakar untuk menafikan kebenaran ekplorasi peristiwa Israk dan Mikraj oleh Baginda. Kemudiannya mereka bertanya jika benar Baginda pernah ke Baitul Maqdis sila gambarkan strukturnya. Sedangkan mereka memang mengetahui Baginda sepanjang tinggal di Mekah tidak pernah sampai ke Baitul Maqdis Palestin.
Allah memberikan ilham kepada Baginda melihat struktur Masjidil Aqsa dan diceritakan oleh Baginda dengan terperinci. Walaupun semuanya diceritakan itu benar, namun mereka tetap tidak mahu menerimanya. Itulah kesesatan kafir Quraisy yang tetap hidup dalam kebatilan dan menolak kebenaran walaupun didatangkan bukti yang mereka pinta.
Seterusnya bagi memberi keyakinan kebenaran peristiwa Israk dan Mikraj ini Baginda menerangkan akan datang satu rombongan kabilah ke Mekah tidak berapa lama lagi. Baginda telah memintas rombongan ini ketika kembali ke Mekah menaiki buraq. Dikhabarkan oleh Baginda tentang ciri-ciri kabilah ini dan peristiwa unta mereka yang hilang dan bersembunyi. Kafir Quraisy apabila mendengar cerita ini maka mereka mengambil keputusan untuk menunggu dan melihat sendiri adakah benar apa yang dikatakan oleh Baginda.
Tidak lama selepas itu tibalah kabilah ini dan kafir Quraisy melihat ciri-ciri yang disebutkan oleh Baginda terdapat pada kabilah ini. Lalu mereka bertanya kepada kabilah ini tentang kebenaran unta mereka yang hilang dan bersembunyi. Maka kabilah ini menjawab,
“Ya, benar kami kehilangan unta tetapi kami mendengar suara dari langit yang memberitahu di mana unta ini bersembunyi.”
Kabilah ini merasa hairan bagaimana pula soalan tentang unta yang hilang ditanya oleh kafir Quraisy sedangkan mereka baru sahaja sampai dan tiada siapa yang sepatutnya tahu tentang apa yang terjadi kepada mereka dan berita tersebut belum tersebar. Segala bukti tentang kebenaran ini tetap ditolak oleh kafir Quraisy. Apakah lagi bukti yang mereka kehendaki? Hakikatnya memang mereka adalah orang yang tidak mahu menerima kebenaran. Begitulah sifat orang yang sentiasa dalam kekufuran.
Pos Terkait:  Cara Menggunakan AirPods dengan Gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

close