Selasa, 25 Agustus 2020

Kisah Amirul Mukminin Umar bin Khattab r.a Masuk Islam (bagian 3)

Kisah Amirul Mukminin Umar bin Khattab r.a Masuk Islam (bagian 3)


Rasulullah dan beberapa orang para sahabat diantaranya Ali bin Abi Talib, Hamzah bin Abdul Mutalib dan Abu Bakar berada di rumah Arqam bin Abi Arqam ketika Umar dalam perjalanan untuk bertemu Baginda. Kemudian Khabbab datang membawa Umar untuk bertemu Rasulullah. Umar datang dengan pakaian perang dan masih membawa pedangnya. Sebelum ini Abu Nu’aim telah menyampaikan berita tentang hasrat Umar untuk membunuh Rasulullah. Maka para sahabat telah bersedia untuk menghadapi Umar sekiranya berlaku sesuatu.

Umar mengetuk pintu, Hamzah telah bersedia untuk berhadapan dengan Umar. Dari sudut ketangkasan dan kehebatan melawan musuh, Hamzah adalah seorang yang tiada tandingannya. Maka berkata Hamzah,

“Biar aku yang membunuhnya dengan pedangku. Kalau dia mahu masuk, silakan akan ku bunuhnya dengan pedang ku.”

Rasulullah berkata kepada Hamzah iaitu bapa saudaranya, “jangan! masuklah ke dalam wahai Hamzah.”

Rasulullah menyuruh sahabat membuka pintu. Para sahabat merasa hairan kenapa Baginda membiarkan Umar masuk sedangkan berita beliau mahu membunuh Rasulullah telah didengar bahkan bukti pakaian perang dan senjata yang dibawanya cukup untuk mengesahkan berita yang mereka dengar adalah benar. 

Umar pun masuk kemudian Rasulullah memegang hujung baju Umar dan disentapnya hingga tubuh Umar bergoyang dan beliau duduk di hadapan Baginda. Rasulullah bertanya kepada Umar,

“Bila lagi kamu mahu menerima Islam wahai Umar, adakah sampai bala datang dan menimpa kamu?”

Kemudian Umar berkata, “aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Engkau adalah Rasulullah. Kesaksian Umar tersebut disambut gema takbir oleh orang yang berada di dalam rumah pada ketika itu.

Dalam satu hadis dari Ibnu Abbas yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bahawa Rasulullah bersabda,

"Apabila Umar memeluk Islam, Jibril pun datang dan berkata, "Ya Muhammad, sesungguhnya seluruh makhluk di langit bergembira dengan Islamnya Umar".

Rasulullah telah mengelar Umar sebagai al-Faruq kerana beliau dapat membezakan di antara perkara yang benar dan batil. 

Umar pernah bertanya kepada Rasulullah, "Ya Rasulullah, adakah kita berada dalam kebenaran ?"

Jawab Rasulullah, "benar"

Kemudian Umar berkata lagi, " jika begitu mengapakah kita beribadah secara sembunyi?"

Seterusnya Rasulullah mengumpulkan di kalangan bangsa Quraisy yang telah memeluk Islam seramai empat puluh orang selain dari kalangan hamba dan menuju ke Kaabah. Mereka datang dengan membawa senjata masing-masing serta bergerak dalam dua barisan. Barisan pertama diketuai oleh Hamzah dan barisan kedua oleh Umar manakala ditengah-tengahnya adalah Rasulullah. Mereka bertakbir dan mengatakan Tiada Tuhan Melainkan Allah dan Muhammad Rasulullah dan Allah Maha Besar.

Kafir Quraisy hamya mampu melihat namun tidak berani untuk mengambil tindakan terhadap Rasulullah dan para sahabat. Dengan Islamnya Umar, maka umat Islam yang sebelum itu sentiasa ketakutan menjadi semakin yakin dan kuat. Mereka telah berani solat secara terang-terangan di Baitullah. Di samping itu juga, orang Quraisy juga tidak berani menganggu orang Islam yang sedang beribadah kerana takut kepada Umar.

Ibnu Mas’ud mengatakan: “Kami tidak pernah solat di sisi Kaabah sehingga Umar masuk Islam. Apabila beliau masuk Islam beliau telah memerangai kafir Quraisy sehingga mereka tidak mampu menghadapiny adan membiarkan kami solat di hadapan Kaabah. Sesungguhnya Umar adalah satu kemenangan.”

Di dalam Shahih Al-Bukhari disebutkan: “Kami senantiasa merasa mulia sejak Umar masuk Islam. 

Begitulah hebatnya perancangan Allah. Sesuatu yang pada peringkat awalnya dirasakan mustahil menurut akal fikiran telah berubah dengan perancangan dan aturan Allah. Dakwah Baginda semakin menyerlah namun cabaran dalam melebarkan Islam tetap menghadapi tentangan yang dahsyat. 


EmoticonEmoticon