Jumat, 28 Agustus 2020

Biografi Dan Perjalanan Dakwah Rasulullah Muhammad Saw | Tufail Masuk Islam

Tufail Masuk Islam


Keesokkan harinya Tufail bersiap untuk melihat Rasulullah, beliau menyumbat telinganya dengan kapas agar tidak mendengar perkataan Baginda. Beliau telah dibawa oleh seorang wakil Quraisy yang menunjukkan di mana Baginda berada pada waktu itu. Rasulullah sedang solat di Kaabah dan Tufail melihat cara peribadatan yang dilakukan oleh Baginda sangat berbeda dengan apa yang dilakukan olehnya.

Keinginan melihat wajah Baginda semakin berdebar hatinya, beliau mau mengenali wajah manusia yang namanya dikatakan dengan pelbagai ungkapan. Apabila beliau menghampiri Baginda, beliau terdengar bunyi samar-samar bacaan yang dibaca oleh Baginda di dalam solat. Tufail bergerak makin mendekati Baginda kerana sememangnya beliau pada asal datang untuk mendengar kehebatan kata-kata yang diungkapkan oleh Baginda.  Namun beliau telah dipengaruhi oleh kafir Quraisy yang memintanya agar tidak mendengar apa-apa dari Baginda kerana dikatakan sihir yang tajam.

Rasulullah sedang solat dan membaca 3 surah menurut sebahagian riwayat. Surah-surah tersebut adalah,

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ (1) اللَّهُ الصَّمَدُ (2) لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ (3) وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ (4)

Maksudnya : Katakanlah (Wahai Muhammad) "Dialah Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepadaNya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya .” (Al Ikhlas 112:1-4)

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ (1) مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ (2) وَمِنْ شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ (3) وَمِنْ شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقَدِ (4) وَمِنْ شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ (5)

Maksudnya : Katakanlah (Wahai Muhammad) Aku berlindung kepada Tuhan (Allah) yang menciptakan sekalian makhluk, dari kejahatan makhlukNya, dan dari kejahatan malam apabila telah gelap gelita, dan dari kejahatan makhluk yang menghembus pada simpulan-simpulan, dan dari kejahatan orang yang dengki apabila dia melakukan dengkinya.” (Al Falaq 113:1-5)

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ (1) مَلِكِ النَّاسِ (2) إِلَهِ النَّاسِ (3) مِنْ شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ (4) الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ (5) مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ (6)

Maksudnya : Katakanlah (Wahai Muhammad) Aku berlindung kepada Tuhan (yang memelihara dan menguasai) manusia. Raja manusia. Sembahan manusia, dari kejahatan (bisikan) syaitan yang bersembunyi, yang membisikkan (kejahatan) ke dalam hati manusia, dari (golongan) jin dan manusia. (An Nas 114:1-6)

Apabila Tufail mendengar kata-kata ini (bacaan al Quran) maka terpegunlah beliau dengan keindahan susunan bahasa yang sungguh indah. Beliau sebagai seorang yang mahir dalam syair merasakan ini adalah kata-kata yang tidak pernah beliau dengar dengan gaya bahasa yang sangat indah. Ketika beliau asyik mendengar bacaan al Quran ini hati kecilnya berkata kenapakah beliau perlu takut mendengar kata-kata ini. Jika beliau mendapati kebenaran kenapa perlu takut dan sekiranya kata-kata ini tidak benar pasti boleh sahaja diabaikannya. Perasaan ingin bertemu dan berbicara dengan Baginda menguasai jiwanya namun beliau tidak boleh terus berbicara dengan Baginda ketika itu. Pastinya kafir Quraisy akan mencegahnya. Sebelum Baginda menghabiskan solatnya Tufail segera beredar agar tidak disedari oleh Baginda.

Tufail melihat dari jauh bila Baginda mula bangun dan beredar maka beliau telah mengekori Baginda. Setibanya Baginda di rumah Baginda masuk dan Tufail turut masuk ke dalam rumah Bagind dan memperkenalkan dirinya dengan berkata,

"Wahai Muhammad, kedatangan ku kemari ini adalah ingin bertemu denganmu dan ingin mendengar bacaan-bacaan yang biasa kamu bacakan kepada orang ramai. Namun semalam ketika aku bertemu dengan kerabatmu dan pemimpin kamu, apabila aku menceritakan hajatku kepada mereka, mereka semuanya tidak bersetuju agar aku bertemu denganmu dan mendengarkan bacaan-bacaanmu. Lalu aku hanya dapat melihat wajahmu sahaja, tanpa mendengarkan bacaan-bacaanmu, maka itulah sebabnya aku datang  kini dengan kedua telingaku disumbat dengan kapas.”

Mendengar kata-kata Tufail maka Rasulullah membaca kembali surah yang dibacakan tadi dengan lebih jelas untuk didengar oleh beliau. Kemudian berkatalah Tufail,

“Demi Allah, aku tidak pernah mendengar perkataan yang seindah ini dan tidak pernah mendengar perkataan yang seadil begini.”

Kemudian Tufail menghulurkan tangannya kepada Rasulullah untuk menerima kesaksian kerasulan Baginda dan menerima Islam sebagai anutannya. Rasulullah rasa sangat senang hati dan telah memberikan beberapa kata-kata kepada Tufail.


EmoticonEmoticon