Jumat, 28 Agustus 2020

Biografi Dan Perjalanan Dakwah Rasulullah Muhammad Saw | Seruan Dakwah Thufail

Seruan Dakwah Thufail


Setelah Thufail menerima Islam sebagai agamanya beliau telah tinggal beberapa ketika di Mekah mempelajari al Quran. Kemudian beliau berazam untuk berdakwah kepada kaumnya serta meminta Rasulullah mendoakannya. Thufail adalah seorang tokoh yang ditaati oleh kaumnya iaitu Bani Daus. Beliau yakin kaumnya boleh menerima seruan dakwahnya.

Apabila sampai ke kampung halamannyanya, beliau telah berdakwah kepada bapanya dan isterinya. Alhamdulillah dakwah Thufail diterima oleh keduanya. Namun kaumnya tidak mudah untuk menerima dakwah Islam. Bahkan ada yang memusuhinya dan mendustakan seruan dakwahnya. Thufail tidak berputus asa dan tetap meneruskan ajakkan kepada agama yang benar. Seruan Thufail tidak ramai yang bersamanya hanya beberapa orang sahaja yang bersamanya antaranya adalah Abu Hurairah. Akibat rasa lemah dalam berdakwah ini beliau telah pergi menemui Rasulullah. Beliau mengadu hal tentang kaumnya yang degil dan tidak mahu menerima seruan Islam. Kemudian berkatalah Thufail,

“Ya Rasulullah doakanlah kemusnahan untuk Bani Daus kerana kebanyakan mereka mendustakan kamu ya Rasulallah.”

Baginda tersenyum mendengar keluhan Thufail. Kemudian Baginda solat dan berdoa,

“Ya Allah berilah petunjuk kepada Bani Daus.”

Seterusnya Baginda beralih kepada Thufail dan berkata,

“Kembalilah kepada kaummu dan serulah mereka dengan lemah lembut.” 

Thufail mematuhi apa yang diarahkan oleh Baginda. Beliau kembali dan meneruskan dakwah dengan lemah lembut dan hasilnya pada tahun ke 7 Hijrah, Thufail yang berhijrah ke Madinah telah membawa bersamanya melebihi 70 keluarga dari kaumnya yang menganut Islam. 

Antara sumbangan Thufail, beliau turut serta dalam peperangan Khaibar dan sentiasa mendampingi Rasulullah. Manakala ketika pembukaan kota Mekah (Fath Mekah), Thufail telah turut serta dan meminta izin dari Baginda dengan berkata, 

“Ya Rasulullah, utuslah aku kepada ‘Dzun Kaffain’ berhala Amr bin Hamamah, agar aku membakarnya.”

Rasulullah memberi keizinan kepadanya. Kemudian beliau berangkat menuju kepada berhala itu bersama pasukan dari kaumnya. Ketika beliau hampir sampai dan hendak membakarnya, para wanita, kaum lelaki dan anak-anak cuba untuk menghalangnya.  Namun Thufail tetap menuju ke tempat berhala itu. Apabila beliau sudah berada di hadapan para penyembahnya, Thufail melihat berhala itu dengan marahnya dan berkata dengan kuat, 

“Wahai Dzul Kaffan, aku bukanlah penyembahmu. Kelahiran kami lebih dahulu dari kelahiranmu. Aku akan membakarmu sekarang.”

Beliau meneruskan apa yang diucapkannya. Api telah membakar berhala itu berserta berhala-berhala lainnya yang berada di Bani Daus, akhirnya kaumnya itu memeluk Islam dan melaksanakan ajarannya.

Thufail meninggal pada masa pemerintahan khalifahan Abu Bakar As Siddiq. Beliau syahid dalam perang Yamamah iaitu peperangan dalam menumpaskan Musailamah al Kadzdzab yang mengaku menjadi nabi selepas kewafatan Rasulullah. Beliau seorang Sahabat yang hebat dalam perjuangan membebaskan manusia daripada penyembahan kepada berhala. Beliau bukan sekadar pakar dalam kesenian dan bahasa bahkan seorang pahlawan perang dan mahir dalam ilmu al Quran. Anaknya Amr bin Thufail mewarisi perjuangannya dan seorang yang amat dikagumi oleh Umar al Khattab.


EmoticonEmoticon