Rabu, 19 Agustus 2020

Biografi Dan Perjalanan Dakwah Rasulullah Muhammad Saw | Golongan yang awal memeluk Islam

Golongan yang awal memeluk Islam 


Golongan yang awal memeluk Islam menanggung banyak kesulitan dan kesukaran untuk melaksanakan apa yang mereka imani. Penyiksaan, penindasan, pemulauan dan sampai ke peringkat dibunuh semata-mata demi mempertahankan aqidah. Resepi kekuatan iman mereka adalah yakin kepada Allah, sabar dengan ujian yang berat, sentiasa mendampingi Rasulullah serta beriman kepada janji-janji Allah. Allah menjelaskan ciri mereka yang mendapat pertolonganNya,

أَمْ حَسِبْتُمْ أَنْ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُمْ مَثَلُ الَّذِينَ خَلَوْا مِنْ قَبْلِكُمْ ۖ مَسَّتْهُمُ الْبَأْسَاءُ وَالضَّرَّاءُ وَزُلْزِلُوا حَتَّىٰ يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ مَتَىٰ نَصْرُ اللَّهِ ۗ أَلَا إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ

Maksudnya : Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (ujian dan cubaan) seperti yang berlaku kepada orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). (Al Baqarah 2:214) 

Setelah Baginda melihat kafir Quraisy tidak puas lagi dengan terus melakukan penyiksaan dan penindasan terhadap umat Islam maka Baginda telah memberi jalan keluar dengan menyuruh mereka berhijrah atas perintah Allah. Lokasi tempat hijrah adalah sebuah negeri yang diperintah oleh seorang Raja yang adil iaitu Habsyah (Ethopia). Baginda bersabda antara maksudnya,

“Sesungguhnya di bumi Habsyah ada seorang Raja tiada ada orang yang zalim di negerinya. Berpindahlah ke sana sehingga Allah mendatangkan jalan keluar daripada apa yang kamu hadapi”

Para sahabat menyahut seruan Rasulullah , maka mereka pun pergi secara berkumpulan dan tinggal di sana. Pada ketika itu mereka (merasa) berada di negeri terbaik dan tetangga terbaik, merasa selamat dengan agama dan tidak pernah ditakutkan dengan kezaliman. Expedisi ke Habsyah ini berlaku pada tahun ke 5 selepas kerasulan dan berlaku pada bulan Rejab.

Jumlah mereka yang berhijrah terdapat perbezaan pandangan, ada yang mengatakan 11 lelaki dan empat wanita. Ada yang mengatakan 12 lelaki dan empat wanita. Namun ada juga yang mengatakan 12 lelaki dan lima wanita. Mereka telah berhijrah secara senyap-senyap dengan menaiki kapal dan tiba dengan selamat di Habsyah. Antara yang berada dalam rombongan ini adalah Uthman dan isterinya Ruqayyah anak Rsulullah, Abu Huzaifah, Zubair, Mus’ab Bin Umair, Abu Salamah dan isterinya Ummu Salamah serta Utman Bin Maz’un.

Kemudian berlaku hijrah kali kedua ke Habsyah yang lebih ramai jumlahnya. Kesemua mereka yang berhijrah terdiri dari 83 lelaki dan 18 perempuan menurut sebahagian riwayat. Jumlah mereka yang berhijrah dan mendapat perlindungan Raja Habsyah iaitu bernama Najasyi telah menyebabkan kafir Quraisy tidak senang hati. Mereka telah merancang untuk membawa balik kesemua yang berhijrah kembali ke Mekah dengan persetujuan Raja Najasyi. Akhirnya satu keputusan di capai iaitu dengan mengirimkan wakil mereka untuk menemui Raja Najasyi bagi menyampaikan hasrat mereka. Wakil yang dihantar adalah Amru Bin ‘Ash dan Abdullah Bin Abi Rabiah. 

Wakil musyrikin ini telah membawa hadiah-hadiah untuk menyogok pembesar-pembesar Raja Najasyi agar menyokong mereka memujuk Raja Najasyi agar bersetuju mengembalikan mereka yang yang telah berhijrah. Kesungguhan yang dilakukan oleh kafir Quraisy untuk membawa balik mereka yang berhijrah adalah untuk menyiksa dan melemahkan pegangan iman mereka. 

Apakah reaksi Raja Najasyi terhadap kedatangan kafir Quraisy?
Bersambung....


EmoticonEmoticon