Rabu, 29 Juli 2020

Biografi Dan Perjalanan Dakwah Rasulullah Muhammad Saw (bagian 4)

Biografi Dan Perjalanan Dakwah Rasulullah Muhammad Saw (bagian 4) ketika usia Nabi menginjak 35 tahun.


Ketika umur Rasulullah menginjak 35 tahun telah berlaku banjir besar di Mekah yang mengakibatkan sebahagian dinding Kaabah runtuh. Kaum Quraisy telah mengambil inisiatif untuk membina semula bahagian Kaabah. Apabila telah siap pembangunannya timbul isu siapakah yang layak untuk meletakkan kembali Hajar Aswad di tempatnya. Maka terjadilah pertikaian dan pedebatan dikalangan mereka sehingga menjurus kepada peperangan.

Kemudian bersuaralah Abu Umayyah Bin Mughirah iaitu orang yang paling tua dikalangan berpengaruh Quraisy,

"Wahai kaumku janganlah kamu semua bertentangan, buatlah peraturan antara kamu dan sesiapa pun hendaklah mematuhi peraturan tersebut."

Lalu mereka menjawab,

"Barangsiapa yang terlebih dahulu masuk ke Masjidil Haram, maka dialah berhak meletakkan Hajar Aswad."

Tiba-tiba dengan aturan Allah Baginda Nabi Muhammad adalah orang yang pertama masuk ke Masjidil Haram. Melihatkan Baginda mereka semua gembira kerana Rasulullah adalah seorang yang jujur dan sentiasa berkata benar. Kemudian berkatalah mereka,

"Inilah Muhammad Al Amin, kami rela kepadanya."

Baginda tiba lalu mereka menceritakan perihal apa yang terjadi dan persetujuan diantara mereka. Baginda telah membentangkan kain serbannya dan meminta keempat-empat pemimpin Quraisy memegang hujung penjuru serban itu yang telah diletakkan Hajar Aswad di tengahnya. Kemudian mereka mengangkat dengan memegang hujung serban itu, Apabila sampai ke Kaabah maka Rasulullah telah mengangkat dan meletakkan Hajarul Aswad di tempat asalnya. Tindakan bijak Baginda telah berjaya melapangkan hati mereka semua dan berjaya mengelakkan berlakunya perselisihan yang panjang. Ini adalah tanda kebijakkan yang dikurniakan oleh Allah kepada Baginda.

Sepanjang hidup Baginda tidak pernah menyembah berhala yang disembah oleh kaumnya. Baginda tidak pernah minum arak dan tidak pernah makan sembelihan atas nama berhala. Baginda juga tidak percaya amalan karut dan berdoa serta bersumpah atas nama Al Latta, Al Uzza dan Al Manaf. Segala bentuk hiburan dan perayaan jahiliyyah tidak pernah dihadiri oleh Baginda bahkan akan diisi oleh Baginda dengan beruzlah.

Dalam buku sirah Rahiq Maktum disebut,

Rasulullah mempunyai keistimewaan di kalangan kaumnya, dengan akhlak-akhlak terpuji, pekerti-pekerti mulia dan sifat-sifat terpuji. Baginda tokoh termulia di kalangan bangsanya, elok perangai, tinggi sikap kejiranan, lapang kesabarannya, benar percakapan, lemah lembut pergaulan, bersih jiwa, murah pemberian, mulia pekerjaan, menepati janji, beramanah dan bertanggungjawab hingga mereka menggelarnya sebagai "al-Amin " kerana Baginda memiliki pekerti dan sifat-sifat yang disenangi.

Begitulah hebatnya seorang manusia sebelum diangkat menjadi Rasul sudah lengkap ciri akhlak yang mulia. Khadijah berkata tentang Rasulullah,

"Seorang yang sentiasa menanggung beban, membantu orang yang kesempitan, memberi makan kepada tetamu dan menolong menegak kebenaran ". 

Inilah sifat yang sewajarnya dipupuk oleh sesiapa yang benar-benar cintakan Rasulullah. Dakwah bukan hanya dengan kata-kata tetapi dengan akhlak dan cara kehidupan dalam masyarakat. Moga ianya menjadi asbab orang lain tertarik dengan Islam. Namun kini ummat Islam jauh dari mengamati cara hidup Rasulullah dalam masyarakat sebaliknya hanya di beri perhatian perkara yang berkaitan ibadah khusus sahaja. 

Kisah bersambung...


EmoticonEmoticon